Monday, June 29, 2009

BERPERIKEMANUSIAANKAH CHIN PENG?

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 23 Jun 2009, Muka 10)

NAMPAKNYA isu pertelingkahan dalaman Pas ekoran daripada susulan “kerajaan perpaduan” masih belum ada kepastian. Namun ada baiknya jika kita berdoa ke hadrat Ilahi demi kebaikan dan perpaduan ummah.

Sementara menanti perkembangan seterusnya, desakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Jun lalu untuk menghalalkan “Raja Komunis Malaya” pulang atas dasar “perikemanusiaan”, membuat saya teruja untuk mengupas saranan itu.

Sebelum belayar jauh, persoalan sama ada Chin Peng itu sendiri “manusia yang berperikemanusiaan” perlu dijawab.

Keputusan kerajaan sebenarnya jelas dan wajar, malah tiada sebab pun isu itu disensasi dan diperpanjangkan lagi. Tindakan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk populis ternyata bersifat murahan, tidak sensitif dan perlu dihentikan segera.

Tidak terfikirkah tentang perasaan ahli masyarakat yang pernah hidup dalam kesengsaraan akibat kehilangan ahli keluarga gara-gara kekejaman komunis?

Perjuangan ‘Kemerdekaan’ PKM?

Menyelusuri sejarah, Parti Kuomintang dari China dengan fahaman komunisme berhasrat menubuhkan cawangan di Tanah Melayu sekitar tahun 20-an. Tetapi ia ditolak dan kemudiannya mendorong kepada penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1930.

Memang jelas di peringkat ini bibit-bibit kemunculan PKM sebenarnya tiada kena mengena pun dengan perjuangan kemerdekaan. Sememangnya, perjuangan PKM lebih berkait rapat dengan penentangan penjajahan Jepun di Tanah Melayu melalui Malayan Peoples’ Anti Japanese Army (MPAJA), di mana majoriti pendapat bersetuju bahawa ia didorong atas faktor Jepun sendiri yang merupakan musuh ketat kerajaan komunis di China.

Pandangan yang mengatakan PKM memperjuangkan kemerdekaan negara juga tidak berasas. Kita tidak menafikan bahawa PKM juga melakukan penentangan terhadap Jepun dan British.

Namun dosa PKM menumpahkan darah orang awam tidak boleh diampunkan sampai bila-bila. Tindakan membunuh dan menyeksa orang ramai selepas kekalahan tentera Jepun dan penentangan terhadap British ketika negara sudah di ambang kemerdekaan membuktikan bahawa PKM sebenarnya celaru dengan perjuangan mereka sendiri.

Kalau dinilai tindakan PKM meneruskan penentangannya lebih 30 tahun selepas kemerdekaan, untuk apa sebenarnya? Sudah terang lagi bersuluh. Jelas sekali tujuan utama PKM bukanlah untuk kemerdekaan, sebaliknya untuk menubuhkan kerajaan komunis yang menganjurkan fahaman “perhambaan minda” rakyat Malaysia!

Tanyalah mana-mana orang tua-tua dan bekas-bekas perajurit yang melalui kegetiran zaman darurat bertempur dengan komunis. Bukan sedikit jumlahnya. Tragedi Bukit Kepong menjadi bukti nyata ke atas tindakan komunis yang tidak perikemanusiaan.

Perjuangan kemerdekaan jenis apakah itu kalau sesudah merdeka pun anggota PKM masih tegar menghuru-harakan negara dan menyeksa rakyat yang tidak berdosa?

Kalau Shamsiah Fakeh boleh, mengapa tidak Chin Peng?

Ada juga kedengaran suara-suara ‘nakal’ yang bertanya: “Kalau Shamsiah Fakeh boleh, mengapa tidak Chin Peng?” Bagi saya pendapat untuk cuba menyamakan Chin Peng dan Shamsiah hanya dikeluarkan oleh mereka yang betul-betul buta sejarah.

Shamsiah pada hakikatnya adalah seorang pejuang yang memulakan perjuangannya melalui Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang jelas memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan bukan untuk “mengkomuniskannya”.

Bagaimanapun pemimpin atasan PKM pada ketika itu bernasib baik kerana berjaya menghasut beberapa pemimpin PKMM dan AWAS untuk menyertai perjuangan mereka.

Mujurlah kehadiran UMNO kemudiannya berjaya menyelamatkan suasana dan akhirnya membuktikan bahawa kemerdekaan boleh dicapai tanpa pertumpahan darah.

Malangnya ramai juga yang tidak tahu bahawa Shamsiah sebenarnya sudah dipecat oleh PKM pada 1972 sebelum rundingan damai 1989 antara kerajaan dan PKM yang menamatkan penentangan gerila PKM.

Bacaan saya dalam “Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10”, Shamsiah sendiri mengaku bahawa beliau sama sekali tidak pernah membunuh tentera kerajaan yang rata-ratanya Melayu.

Sebaliknya, Chin Peng pula tidak pernah menyatakan kekesalan apatah lagi memohon maaf di atas kekejamannya. Bahkan menyatakan kebanggaan di atas perjuangannya seperti mana yang tercatat dalam tulisannya: “Alias Chin Peng: My Side of History”.

Sebagai Ketua Utama, Chin Peng harus dipersalahkan kerana kegagalan Rundingan Baling pada 1955.

Ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman sudahpun memberi peluang kepada pembubaran PKM secara aman, bahkan memberi kebenaran kepada Chin Peng untuk bergiat dalam politik melalui parti lain.

Namun, keangkuhan Chin Peng membuatkan komunis berjuang tanpa haluan dan terus-terusan mengorbankan lebih banyak nyawa rakyat.

Saya sebenarnya yakin bahawa suara-suara yang “menghalalkan” kembalinya Chin Peng ke bumi bertuah ini tidak lain hanyalah bermotifkan politik dan mengambil kesempatan semata-mata.

Generasi muda perlu menyelusuri sejarah dan jangan terpengaruh dengan dakyah ini. Hakikatnya, pendirian kerajaan tiada kaitan dengan perkauman dan perihal berperikemanusiaan. Chin Peng tidak termasuk dalam kategori yang layak dikaitkan dengan apa yang dipanggil “perikemanusiaan”.

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Wednesday, June 17, 2009

MESYUARAT AHLI PARLIMEN PAS BINCANG TINDAKAN NIZAR

Berita Harian Rabu, 17 Jun 2009 (Muka surat 8)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa mendakwa bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak memaklumkan kepada Pas Pusat mengenai tindakannya memakai lilitan pada songkok, kepala dan lengan bertulis 'Bubar DUN' di Dewan Rakyat kelmarin.

"Tindakan beliau adalah spontan kerana tidak berpuas hati terhadap apa yang berlaku di Perak. Bagaimanapun, Nizar tidak memaklumkan tindakannya itu. Saya menyifatkan beliau mahu menarik perhatian dunia dan beliau memperolehnya," katanya.

Namun, beliau mengakui Mohammad Nizar ada menyatakan kepadanya akan memakai lilitan pada songkok tetapi bukannya melaungkan Bubar DUN.

Mengulas lanjut, Nasharuddin berkata, kelakuan Mohammad Nizar itu akan dibawa kepada mesyuarat mingguan Ahli Parlimen Pas.

Sementara itu, pelbagai pihak menyifatkan itu amat tidak wajar kerana akan memberi kesan kepada kredibiliti seluruh Ahli Parlimen dan bertentangan prinsip Rukun Negara yang meliputi penekanan kepada kedaulatan undang-undang sebagai sebahagian daripada proses membina negara.

Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun, berkata tindakan itu jelas dipengaruhi emosi yang tidak berkesudahan setelah gagal memperoleh kedudukan sebagai Menteri Besar Perak.

"Saya sendiri tidak faham tujuan Nizar melakukannya dan Dewan Rakyat bukanlah tempat yang sesuai. Beliau hanya memalukan diri sendiri dengan berkelakuan tidak sopan yang hanya akan mendatangkan keburukan kepada negara," katanya.

Pengerusi Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menyifatkan tindakan itu hanya memalukan orang Melayu, selain tidak menghormati keputusan mahkamah dan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Presiden Pertubuhan Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, Dewan rakyat seharusnya dijadikan tempat membincangkan isu negara, terutama membabitkan ekonomi dan sosial rakyat, bukannya menjadi tempat menyuarakan kepentingan peribadi.

SARANAN ANWAR BERMOTIF POLITIK, HANCURKAN PERPADUAN

Berita Harian Selasa, 16 Jun 2009 m/s-6

KUALA LUMPUR: Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibenar pulang ke negara ini bermotifkan politik dan boleh menghancurkan perpaduan dan demokrasi yang diamalkan.

Menyifatkannya sebagai saranan tidak munasabah, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar, berkata beliau terkejut dengan tindakan itu kerana ia dibuat seorang pemimpin politik yang kononnya 'disanjung' masyarakat antarabangsa. "Anwar ni kacang lupakan kulit. Dia tak tahu ke yang Chin Peng dulu membunuh orang Melayu, India dan Cina? Adakah munasabah dia memberi cadangan membawa pulang Chin Peng jika diambil kira apa yang telah dilakukan PKM dulu?

"Rakyat negara ini tidak akan melupakan apa yang dilakukan PKM. Demi keamanan dan perpaduan, kita sama sekali tidak akan membenarkan sesiapa yang berideologi komunis untuk berada di negara ini," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam. Osman juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terus menyatakan cadangan serupa kerana provokasi itu dilihat sebagai percubaan menghasut yang akan menggoyahkan kestabilan negara, Presiden Gabungan Persatuan India Malaysia, P Muguntha, berkata kepulangan Chin Peng ke tanah air hanya boleh dan wajar dibenarkan sekiranya dia 'bersedia' menjalani hukuman penjara seumur hidup.

"Jika bunuh satu orang pun, si pesalah kena menjalani hukuman, jadi apa yang membezakan Chin Peng dan menyebabkan dia tidak boleh menjalani hukuman itu? "Saya tidak nampak faedahnya membenarkan dia kembali ke negara ini kerana jika tindakan itu diambil, pastinya ia akan mengundang kemarahan mereka yang kehilangan ahli keluarga sepanjang pemberontakan parti itu di Tanah Melayu sebelum ini." katanya.

Presiden Pertubuhan Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar, berkata kenyataan Anwar yang mahu pemimpin PKM itu dibenarkan kembali ke tanah air atas dasar kemanusiaan tidak harus timbul sama sekali. "Chin Peng sendiri tidak pernah memikirkan perihal kemanusiaan ketika parti subversif militan itu melakukan kekejaman terhadap beribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu.

"Saya mempertikaikan cadangan ini kerana kita tidak mengiktiraf dan mengakui perjuangan PKM. Ideologi komunis tidak boleh diterima dan tindakannya sebelum ini boleh disifatkan sebagai tidak bertamadun. "Memang sebelum ini ada beberapa tokoh PKM dibenarkan kembali ke tanah air, tetapi Anwar perlu ingat.. mereka semua hanya sekadar pengikut, tetapi yang melahirkan falsafah dan menjadi 'guru' komunis itu adalah Chin Peng." katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya kesal masih ada pihak yang mahu kerajaan membenarkan Chin Peng ke tanah air, menggunakan alasan hubungan Malaysia dan China yang semakin baik untuk menghalalkan cadangan berkenaan.

KERAJAAN PERPADUAN PERLU DIPERJELAS

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 16 Jun 2009, Muka 11)

SELESAI sahaja Muktamar Pas ke-55 minggu lepas, topik “kerajaan perpaduan” bergema kembali. Cuma kali ini, nadanya tampak lebih serius. Lebih-lebih lagi, kelompok yang dikatakan menyokong cadangan berkenaan juga telah menang besar dalam pemilihan tampuk kepimpinan Pas.

Sememangnya topik ini tenggelam timbul sejak beberapa bulan lalu. Setiap kali timbul, tidak putus-putus dihujani dengan komen, hujah dan andaian oleh pelbagai pihak.

Hakikatnya, polemik kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan dua entiti politik Melayu terbesar negara iaitu UMNO dan Pas itu ternyata mengundang perhatian yang cukup istimewa. Ia bukan hanya di kalangan masyarakat Melayu, malah orang Cina dan India.

Tiba-tiba sahaja, pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam cadangan kerajaan perpaduan itu pun sibuk meluahkan pendapat masing-masing.

Bagi penulis, bibit-bibit kekecohan mengenai kerjasama ini bermula dengan pelawaan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli kepada Pas di negeri itu untuk membentuk kerajaan campuran pada Julai lalu.

Awal daripada itu pun sebenarnya sudah diadakan juga perbincangan “tertutup empat mata” Pas-UMNO sejurus selesai PRU-12.

Kemuncak kepada usaha-usaha kerjasama ini akhirnya ‘meletup’ apabila banyak pihak menyeru UMNO-Pas mencari persamaan dan elakkan perbezaan demi agenda Melayu dan Islam.

Di atas usaha ini jugalah idea kerajaan perpaduan tercetus. Menakjubkan ialah pemimpin-pemimpin utama dalam pakatan pembangkang sehingga kini berterusan menepis usaha mewujudkannya.

Keadaan itu akhirnya memaksa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri membuat kenyataan mengenai perkara tersebut.

Isu ini semakin menjadi-jadi apabila Pas secara terang-terangan menyatakan hasrat untuk mempertahankan usaha memegang hak 30 peratus ekuiti Bumiputera. Sedangkan pakatan pembangkang selama ini lebih dilihat masyarakat Cina dan India sebagai entiti politik yang liberal dalam hal berkaitan hak keistimewaan Melayu.

Para blogger propembangkang kelihatan seperti hilang punca dan serba tidak pasti bagaimana hendak mengulas isu kerajaan perpaduan ini.

Media-media rasmi di Internet milik pakatan pembangkang dilihat mengambil ‘jalan selamat’ dengan mengelak daripada mengulas isu berkenaan.

Ia berbeza sekali dengan ucapan-ucapan serta ulasan yang dimuatkan di dalam beberapa blog ulama Pas, yang mencerminkan sokongan mereka dalam isu ini.

Bagi pemimpin lain dalam pakatan pembangkang, terdapat banyak dakwaan yang mengatakan bahawa hal berkenaan tidak pun dibincangkan sesama mereka.

Ia sekali gus menimbulkan andaian bahawa gagasan kerajaan perpaduan itu adalah cadangan Pas, yang makin sedar betapa terbatasnya objektif dan ruang perjuangan sejati mereka dalam pakatan pembangkang itu.

Apa yang pasti, isu kerajaan perpaduan ini perlu diperjelaskan. Masing-masing masih lagi berteori. Jika pemimpin pakatan sendiri pun ada yang tidak tahu atau jelas mengenainya maka penyokong mereka juga akan keliru. Begitu juga pemimpin dan penyokong Barisan Nasional.

Jika kerajaan perpaduan ini menjadi realiti, ia tidaklah semestinya dalam bentuk “penggabungan”. Perpaduan yang dimaksudkan boleh dimulai dalam bentuk bersepakat terlebih dahulu.

Rancangan-rancangan menjana ekonomi dan memperbaiki mutu hidup rakyat yang diatur oleh kerajaan Persekutuan adalah usaha kerjasama permulaan yang baik.

Sesetengah pihak juga merasakan perlunya wujud entiti politik yang kuat sebagai timbal balas kepada kerajaan yang mentadbir. Di atas alasan ini jugalah maka usaha perpaduan harus difikirkan secara berhemah dan seteliti yang mungkin.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

Tuesday, June 9, 2009

MENCARI DAMAI DALAM DEMOKRASI

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 9 Jun 2009, Muka 10)

SEWAKTU ingin menulis artikel ini, saya langsung teringat kepada ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri kita semasa Konvensyen Ulang Tahun UMNO yang ke-50, lebih 10 tahun yang lepas. Setelah sekian lama, hari ini saya semakin terasa akan kebenaran kenyataan Dr. Mahathir. Betapa jauh dan dalamnya kemampuan beliau “berfikir dan menaksir”. Ucapan beliau yang saya maksudkan itu antara lainnya menyatakan:

“Bangsa-bangsa Barat cuba mendakwa bahawa demokrasi tidak cacat dan menganggapnya sebagai satu sistem yang tidak ada siapa boleh mempertikaikan atau mengubahnya. Mereka menciptakan slogan ‘Vox Populi, Vox Dei‘ iaitu suara ramai adalah suara Tuhan.

“Tetapi percayalah demokrasi bukan suara Tuhan dan jauh daripada sempurna, bahkan ia penuh dengan kecacatan yang boleh membinasakan pengamalnya dan menjadikan mereka mangsa kezaliman demokrasi yang tidak kurang buruknya daripada kezaliman sistem feudal atau diktator.”

Hari ini, tatkala kita menjengah suasana politik di beberapa negara jiran, kita dapat melihat sendiri kebenaran peringatan tersebut. Apa yang berlaku adalah setiap kali gagalnya parti-parti yang memerintah di negara-negara tersebut memulihkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, dakwaan rasuah dan isu salah tadbir pasti akan timbul yang akhirnya mencetuskan pula demonstrasi jalanan yang tidak berkesudahan.

Pertukaran parti yang memerintah negara bagaikan menjadi kemestian sekalipun parti berkenaan baru sahaja memerintah dan belum pun sempat membuktikan kemampuannya.

Demikian juga halnya jika kita menelusuri sejarah Afghanistan. Gara-gara dambakan demokrasi, sistem monarki sedia ada dijatuhkan. Namun ia berakhir dengan ibu kota Kabul musnah dan ribuan nyawa terkorban.

Dan setelah sekian lama, sudah amankah Afghanistan kini? Negara kita hari ini pun nampaknya tidak lagi terkecuali. Sudah kelihatan bercambahnya bibit-bibit kepada “bencana demokrasi” di negara yang kita cintai ini.

SENARIO DEMOKRASI SIHAT MENJAMIN KEAMANAN

Melihat kepada elemen-elemen asas kepada demokrasi yang menjulang suara ramai sebagai penentu keputusan, bolehlah kita katakan bahawa kalau kena gayanya, demokrasi memang mampu membawa kepada kemakmuran, kedamaian dan kemaslahatan rakyat.

Ini kerana, sebarang tindakan yang dilakukan adalah atas kehendak yang “dipercayai dan diterima” oleh sekelompok majoriti. Lazimnya, keputusan majoriti adalah betul. Namun, oleh kerana sifat demokrasi itu sendiri yang tidak sempurna, maka ada kalanya kesimpulan yang dibuat itu tidak begitu tepat dan membinasakan.

Justeru, adalah menjadi suatu tanggungjawab kerajaan yang memerintah bagi menentukan sistem demokrasi yang wujud adalah sistem yang benar-benar sihat dan “menjurus ke arah kestabilan”.

Dewasa ini kita lihat, terdapat beberapa tuntutan yang bersifat “luar batasan”, berniat jahat dan prejudis diusulkan kepada kerajaan. Ada antaranya dilihat berpotensi mengganggu suasana aman dalam negara. Adalah tepat sekali tindakan kerajaan yang telah bertegas untuk enggan melayan tuntutan-tuntutan sebegini.

Malangnya, bila mana tuntutan “mengada-ngada” ini tidak dilayan, ia dibawa pula ke jalanan. Boleh dilayan sebenarnya bagi hal yang berpatutan, tetapi jika ia melampau, mampu merosakkan suasana demokrasi yang stabil dan mengganggu-gugat ketenteraman masyarakat berbilang kaum di Malaysia, maka jalan terbaik adalah untuk mengabaikan saja.

Kalau keperluan sampai begitu mendesak dan sudah tidak ada cara lain, gunakanlah ISA dengan sebijak-bijaknya. Pertahankanlah suasana demokrasi yang sihat.

KUASA MEMILIH DI TANGAN RAKYAT

Pada ketika ini, secara jelasnya rakyat Malaysia cuma ada dua pilihan pemerintahan, pertamanya Barisan Nasional dan keduanya pakatan pembangkang. Secara peribadi, saya lihat Barisan Nasional sudah pun ada tujuan dan objektif yang jelas berbanding pembangkang yang kelihatannya masih ‘teraba-raba’, mencari ‘titik muktamad’ kepada kesepakatan parti-parti gabungannya. Yang tinggal lagi cumalah ‘menampung yang cacat’, ‘memperbaiki yang kurang’ dan ‘membuang yang sudah rosak’.

Sehingga kini, rasanya masih terdapat keraguan sama ada kesemua objektif perjuangan parti-parti politik dalam pakatan pembangkang dan slogan-slogan mereka seperti ‘Malaysian Malaysia’, Ketuanan Islam, Ketuanan Rakyat dan Pas Untuk Semua, dapat disatukan di bawah suatu ‘bumbung’ parti politik gabungan yang sah.

Dan yang paling penting, apa dan siapa yang harus ‘berkorban’? Soalan inilah yang masih lagi belum ketahuan jawapannya.

Hakikatnya, adalah tidak tepat kalau kita meletakkan untung nasib negara di tangan sekumpulan parti politik yang masih tercari-cari kata muafakat. Kalau sudah dapat kuasa memerintah negara, baru sibuk-sibuk hendak mencari persefahaman dan berakhiran dengan ‘tidak berjaya mencapai kesepakatan’ pula, saya khuatir akan berlakunya persengketaan yang membawa kepada ketidakstabilan negara.

Hari ini pun jalanan kita kadang kala terpenuh dengan rutin demonstrasi ‘aman’ yang ‘tidak aman’ oleh kumpulan-kumpulan sebegini. Apalagi jika kucar-kacir berlarutan nanti? Jika benar bahawa kuasa akhirnya di tangan rakyat. Maka fikir-fikirkanlah.

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Wednesday, June 3, 2009

DAHULUKAN PEMBANGUNAN INSAN

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 02 Jun 2009, Muka 10)


SETELAH lebih 50 tahun merdeka, sejarah membuktikan sistem pendidikan negara telah melalui pelbagai fasa transformasi dan kematangan yang disesuaikan dengan peredaran zaman.

Daripada sistem yang hanya didasarkan oleh sistem pendidikan Inggeris, kajian-kajian penambahbaikan telah dilaksanakan secara berterusan sehingga terhasilnya laporan seperti Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1961) dan Laporan Kabinet (1979). Hasil kajian-kajian tersebut telah memungkinkan kelahiran Dasar Pelajaran Kebangsaan serta falsafah pendidikan negara yang lebih jelas, sesuai dengan jiwa, cita rasa dan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Pada awalnya kita lihat, dasar dan sistem pendidikan negara ini disusun agar lebih menumpukan kepada usaha menyatupadukan semua kaum. Namun, setelah beberapa ketika, dasar pendidikan negara dilihat memberi penegasan pula ke arah pendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dan pendidikan kerohanian dan kurikulum yang lebih ala Malaysia.

Demikianlah fasa-fasa kematangan dasar pendidikan negara sehingga lahirnya suatu sistem pendidikan pada hari ini yang menekankan ke arah kecemerlangan ilmu bertaraf dunia yang dalam masa sama tidak mengabaikan aspek holistik dan perpaduan.

Dan dengan kajian, perubahan yang disusun, direncana dan dijalankan, negara melahirkan generasi Malaysia yang begitu progresif sebagaimana yang ada pada hari ini.

Fasa Transformasi Berterusan Dan Rasional Perubahan

Hakikatnya dari semasa ke semasa, kerajaan melalui kementerian pendidikan sememangnya melaksanakan pelbagai kajian dan soal selidik yang bertujuan menyesuaikan lagi sistem pendidikan sedia ada agar terus melahirkan generasi Malaysia yang berkualiti tinggi, sesuai dengan peredaran zaman dan sesuai dengan aspirasi Satu Malaysia.

Antara usaha terkini yang dapat kita lihat, ialah idea berkenaan perubahan dalam jumlah maksimum 10 mata pelajaran dan empat mata pelajaran teras yang boleh diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dengan perubahan ini, dipercayai golongan guru dan pelajar tidak akan lagi terbeban dengan mata pelajaran yang banyak untuk diajar atau dipelajari. Sebaliknya, fokus dan tumpuan dapat diberikan ke arah pemahaman pembelajaran dengan lebih baik.

Justeru itu, kita mengalu-alukan sebarang usaha kerajaan untuk menyemak dan memperbaharui semula sistem pendidikan Malaysia. Misalnya dalam aspek perpaduan, sistem pendidikan negara lagi tidak boleh menerapkan pengajaran "bertoleransi".

Sebaliknya perlu lebih menekankan kepada konsep "penerimaan" bersesuaian dengan idea Satu Malaysia yang diusulkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam aspek kerohanian dan kurikulum pendidikan pula, perubahan yang diperlukan mungkin daripada segi penambahbaikan sistem yang bersifat hafalan kepada pemahaman serta pembinaan holistik.

Kesemua intipati ini rasanya cukup perlu untuk melahirkan masyarakat Malaysia abad ke-21 yang sedang menghadapi pelbagai bentuk ancaman. Ia termasuklah usaha memecah-belahkan perpaduan rakyat, cabaran ilmu, ekonomi dan globalisasi. Dalam senario globalisasi ini, negara boleh terjerumus dalam kesusahan sekiranya generasi masa depan tidak dilengkapi dengan aspek intelektual.

Melihat kepada isu gejala rasuah, pertambahan jangkitan HIV dan AIDS serta isu penagihan dadah yang semakin meruncing, tidak hairan jika ada yang meminta agar aspek holistik dan kerohanian tidak dipandang remeh. Sebaliknya ia perlu diperkasakan dalam dasar pendidikan negara.

Sistem pendidikan harus menjadi wacana perubahan, membina generasi baru yang lebih berkualiti bukan hanya daripada aspek intelektual, tetapi juga akhlak.

Kaya Ilmu dan Kaya Peribadi Murni

Tiada guna kita melahirkan generasi yang kaya dengan ilmu tetapi miskin dengan peribadi murni.

Lahirnya generasi sedemikian yang memerintah negara pada masa depan, hanya akan memungkinkan negara terjerumus kepada "penjajahan alaf baru".

Peribadi murni akan membolehkan generasi yang lebih berwawasan dan berintegriti dalam memacu negara ke arah kemajuan.

Sekiranya garapan pembangunan modal insan itu diadun dengan tepat oleh sistem pendidikan negara, tidak mustahil untuk kita melihat anak-anak Melayu dan Islam mengulangi sejarah keagungan intelektual Islam yang dipacu oleh ilmuwan silam seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Rusyd, Al-Razi, Al-Farabi dan Al-Khawarizmi.

Kita sememangnya merindukan lahirnya generasi dari kelompok ilmuwan Islam yang melakukan penemuan terkini dalam pelbagai bidang ilmu. Bukan sekadar penterjemah sahaja.

Dapatkah "kemarau panjang" ini diakhiri? Saya rasa jawapannya bergantung kepada kejayaan kita membangunkan modal insan yang cintakan Allah, cintakan ilmu pengetahuan dan berakhlak tinggi. Dan dengan izin-Nya, kita boleh berjaya, Insya-Allah.

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)