Wednesday, July 29, 2009

LAMBAT LAUN RAKYAT PASTI SEDAR

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Rabu, 29 Julai 2009, Muka 11)

SINDROM rakyat mengundi pembangkang kerana membenci kerajaan sering kita saksikan baik pada pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil.

Seperti sudah diagak, kematian misteri mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor juga dijadikan sebagai bahan oleh pembangkang agar rakyat terus membenci kerajaan Barisan Nasional.

Begitu juga para blogger propembangkang yang mengeluarkan 'cereka fiksyen' yang diolah penuh dramatik mengenai "bagaimana berlakunya kematian mendiang Beng Hock". Ia seolah-olah penulis blog itu ada bersama dan melihat saat-saat akhir sebelum Beng Hock menemui ajalnya!

Reaksi dan tabiat buruk pembangkang dan para blogger yang propembangkang semasa berdepan dengan pelbagai senario dan isu sememangnya sudah boleh diramal. Sering kali ia memualkan kerana mereka cuba mengambil kesempatan ke atas sesuatu isu secara keterlaluan sehingga seolah-olah mencabar dan menghina kebijaksanaan kita!

Begitu juga sewaktu pengundian di Manek Urai. Pemimpin-pemimpin UMNO dikatakan berkempen menggunakan politik wang, ditohmah membazir, berjoli dengan wang rakyat dan sebagainya. Walhal, hakikat sebenar di belakang kekalahan sipi BN baru-baru ini ialah kerana kerajaan Pas tidak menjalankan amanah rakyat kepadanya.

Tidak pernah saya bayangkan kemudahan asas seperti air bersih dan elektrik, pembinaan jambatan utama dan surau serta masjid masih gagal disediakan oleh kerajaan Pas walaupun selepas berkuasa hampir 20 tahun.

Ternyata "tepuk air didulang, terpercik ke muka sendiri".

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa menjadi mangsa setiap kali keputusan pilihan raya tidak memihak kepada pembangkang. Namun suara sumbang seperti itu tidak kedengaran pada pilihan raya kecil yang dimenangi oleh pembangkang.

Menabur Kebencian Vs Menawan Hati

Sesungguhnya, kempen pilihan raya bagi pembangkang adalah "medan menabur kebencian" terhadap kerajaan. Itulah modal mereka sejak dahulu untuk menarik sokongan. Memang terbukti, mengajak rakyat membenci kerajaan adalah lebih mudah berbanding usaha menawan hati pengundi untuk menyokong pakatan pembangkang yang kini semakin bercelaru.

Tanpa ada niat mempertikaikan kemampuan kumpulan professional yang ada dalam kem pembangkang, taktik kempen mereka sehingga kini masih intim menggunakan modal kebencian.

Misalnya di Manek Urai. Pembangkang berkempen agar rakyat tidak mengundi BN di atas alasan kerajaan BN tidak pernah adil dan sebagainya. Ia berbeza berbanding kempen BN yang lebih bersih dengan cuba menawan hati rakyat dengan menawarkan pembangunan.

Akhirnya, terbukti rakyat tidak termakan 'racun kebencian' buat selama-lamanya. Sebahagian besar pengundi di Manek Urai mula menerima tawaran pembangunan anjuran BN/UMNO.

Tidak ada kerajaan di dunia yang sempurna termasuk BN. Malah "tiada gading yang tidak retak". Kelemahan kepimpinan BN sebelum ini merupakan antara penyumbang kepada kegagalan Pilihan Raya Umum Ke-12.

Rakyat berhak menilai 50 tahun pembangunan di bawah BN. Cacat-cela itu wujud dan kerana 'beberapa titik nila' ini maka 'rosak susu sebelanga'.

Kerajaan terpaksa menelan bulat-bulat kesan daripada beberapa kegagalan program tertentu sekalipun adakalanya ia disebabkan faktor luaran dan ekonomi dunia.

Sesungguhnya, ramai yang termakan "racun kebencian" yang disemai pembangkang sehingga 'menutupi' majoriti jasa BN selama ini kepada negara dan bangsa.

Masyarakat pelbagai kaum terus-terusan diajak membenci kerajaan. Kaum Cina dan India terpengaruh dengan tuduhan UMNO sebagai parti rasis. Kaum Melayu pula dijaja dengan modal bahawa UMNO ini tidak Islamik dan mengamalkan rasuah. Dalam hal ini, media Internet ternyata suatu platform utama menanam rasa benci terutama di kalangan generasi muda.

Dalam hal ini, sekalipun pihak pembangkang menang pada pilihan raya, ia hanya disebabkan faktor orang benci, menyampah dan marah kepada kerajaan BN hanya kerana hal-hal tertentu sahaja. Kemenangan mereka bukan atas faktor keyakinan kepada pakatan pembangkang.

Apakah kita buta dan tidak dapat melihat bahawa kesatuan Pas, DAP dan PKR yang berlainan kutub ini semakin serabut dengan pelbagai masalah dalaman?

Bagaimanapun kita percaya lambat-laun rakyat pasti sedar. Rakyat Malaysia yang sebenarnya matang berfikir, mempunyai intelek tulen dan betul-betul sayangkan negara akan nampak perkara ini. Siapa yang sebenarnya berusaha dan siapa juga yang membangunkan negara.

Berbanding dengan kumpulan pembangkang yang lebih sibuk berminat untuk menyemai sindrom kebencian tetapi jasa pembangunan yang dibawa tidak ke mana. Mereka berterusan menjaja isu-isu yang tidak sepatutnya demi meraih sokongan rakyat.

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, July 14, 2009

KEPUTUSAN PROFESIONAL PENUH JUSTIFIKASI

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 14 Julai 2009, Muka 11)


KEPUTUSAN yang ditunggu-tunggu penuh debaran oleh rakyat Malaysia tiba juga Rabu lepas. Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan muktamad kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Ada yang gembira, ada yang tak puas hati dan ada juga yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Paling menarik barangkali, di sebalik gambaran 'penolakan seratus peratus rakyat terhadap dasar PPSMI' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, ada juga beberapa bancian bebas yang dilaksanakan oleh beberapa blog popular membuktikan sebaliknya.

Hakikatnya, jika keputusan bancian anjuran blog bebas masih memihak kepada cadangan supaya PPSMI diteruskan sekali pun, keputusan tersebut masih boleh dipersoalkan.

Menurut perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan hanya 15 peratus di kawasan luar bandar.

Statistik ini jelas menunjukkan bahawa taburan pengguna Internet yang diambil sebagai 'sampel' bancian tersebut hanya tertumpu kepada kelompok rakyat di dalam bandar yang aktif berinternet, manakala pandangan dan undian keseluruhan rakyat luar bandar belum diambil kira dan pasti dipinggirkan.

Secara kesimpulannya, tidak kira sama ada undi pelbagai bancian di atas benar-benar boleh dipercayai atau tidak, keputusan akhir ke atas dasar PPSMI ternyata ada 'peminat' yang tersendiri!

Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.

Menyedari hasrat dan falsafah dasar PPSMI, kerajaan di peringkat awal tidak pernah putus asa untuk meneruskan dasar tersebut. Buktinya adalah melalui pelaburan ratusan juta ringgit ke atas usaha memperkasakan pengetahuan serta kebolehan guru dalam kedua-dua subjek berkenaan melalui pelbagai kursus dan latihan. Penggunaan teknik-teknik pengajaran yang terbaik juga telah diguna pakai. Namun, tiada perubahan ketara dapat dilihat.

Pelajar Melayu akan terus kecundang, keyakinan diri terbantut dan terus menganggur

Statistik Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru PPSMI tidak mampu mengajar Sains dan Matematik seratus peratus dalam bahasa Inggeris malah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu semasa mengajar dua subjek tersebut. Senario ini tidak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil kerana kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu yang semakin keliru, memperolehi keputusan peperiksaan yang terus menjunam sehingga mengakibatkan keyakinan diri terbantut. Kurang keyakinan diri inilah punca sebenar mengapa pelajar Melayu terus menganggur.

Untuk dikatakan dasar PPSMI telah gagal rasanya tidak juga. Lebih tepat barang kali kalau dikatakan ia kurang berjaya mencapai sasaran yang diingini. Bagi saya sendiri, PPSMI bukanlah tidak baik. Hasratnya, murni.

Namun demikian, menurut statistik sahih kajian Kementerian Pelajaran jelas membuktikan guru-guru belum bersedia sepenuhnya dan sebilangan pelajar luar bandar ada kekangan. Jika PPSMI diteruskan juga, kita menghadapi kekesalan berpanjangan kerana sejumlah besar anak-anak kampung yang cerdik tetapi ada kekangan pemahaman bahasa Inggeris akan menjadi korban nanti. Sanggupkah kita?

Syukurlah hikmah di sebalik pelaksanaan dasar kontroversi ini sekurang-kurangnya telah meningkatkan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Inilah natijah dan nawaitu asal PPSMI sewaktu perencanaannya diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.

Melalui transformasi sistem pendidikan Malaysia yang dirancang oleh Kementerian Pelajaran ketika ini, ia akan tetap dapat memurnikan hasrat Tun Dr. Mahathir itu dengan kaedah memperkasakan pembelajaran bahasa Inggeris melalui 12 langkah yang diutarakan oleh Muhyiddin. Saya amat setuju agar bahasa Inggeris sepatutnya diperkasakan dahulu sebelum subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa tersebut.

Saya berharap sangat jika silibus baru disusun supaya pelbagai jargon teknologi dan sains dapat diterapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga dengan subjek Geografi hari ini yang hanya fokus terhadap ilmu alam Malaysia sahaja.

Saya yakin para pelajar akan lebih tertarik jika mereka dihidangkan dengan Geografi dunia sebagai salah satu silibus dalam subjek bahasa Inggeris. Dengan silibus tersebut, ia bukan sahaja seiring dengan pendekatan saluran National Geographic dan Discovery tetapi juga memupuk pemikiran generasi muda Malaysia untuk berbahasa Inggeris apabila mereka menjelajahi dunia suatu hari nanti.

Dalam perihal memartabatkan bahasa Melayu, iltizam Kementerian Pelajaran memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan nasib bahasa kebangsaan. Apatah lagi sekarang, dalam modul transformasi pendidikan ini, Muhyiddin telah mengangkat semula martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah untuk memacu kemajuan ketamadunan Melayu masa hadapan.

Suka saya katakan, keputusan kerajaan sudah pun win-win (menang-menang) bagi semua pihak. Objektif murni PPSMI bakal diusahakan secara terbaik sementara bahasa Melayu pula akan terus dimartabatkan.

Sekalipun usaha menjurus kepada keputusan terhadap PPSMI telah dibuat, usaha untuk memperjelaskan falsafah di belakang transformasi pelajaran perlu dibuat secara crystal clear (sejelas mungkin).

Rakyat hari ini semakin peka terhadap hal ehwal semasa dan sentiasa mahukan penjelasan konkrit. Ingatlah, pihak pembangkang pula tidak pernah lelah mencari 'peluru' untuk mengelirukan rakyat daripada fakta sebenar.

Setiap keputusan perlukan penilaian profesional, penjelasan dan justifikasi rasional. Kalau ia demi kebaikan, rakyat tentu boleh menerimanya biarpun mungkin mengambil sedikit masa.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, July 7, 2009

MEMBUDAYAKAN 'GOOGLE' DI KALANGAN GENERASI 'Y'

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 7 Julai 2009, Muka 10)
PENGGUNAAN teknologi yang salah akan mengundang kelahiran generasi masa hadapan yang hanya berminat dengan hiburan semata-mata dan langsung tidak menitik beratkan pembudayaan ilmu.

Sebelum luka menjadi nanah, sebelum nasi menjadi bubur adalah suatu tanggungjawab generasi X selaku generasi semasa untuk memberi input positif kepada generasi Y melalui pelbagai dorongan sihat agar mereka dapat membudayakan penggunaan teknologi untuk menggali ilmu pengetahuan.

Sesungguhnya, pembangunan dunia semakin pesat dan arus kemodenan memungkinkan teknologi baru dicipta hampir setiap ketika sehinggakan ada kalanya alam maya mula terasa sempit.

Membicarakan mengenai dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sudah pasti pemikiran kumpulan-kumpulan perintis 'dunia tanpa sempadan' yang mencetuskan kelahiran world wide web (www) pada era akhir 1980-an dan awal 1990-an barang kali tidak menjangka pencapaian luar biasa dunia ICT pada hari ini. Setelah hampir tiga dekad berlalu, dunia teknologi kini ternyata sudah mencapai suatu dimensi baru.

Daripada hanya telefon ATUR, sambungan internet kaedah dial up, permainan konsol dan laman-laman web yang statik lagi membosankan, industri ICT berevolusi kepada telefon bimbit yang mempunyai kapasiti melayari internet, sambungan internet jalur lebar, permainan konsol 3D dan kini laman web multi fungsi (Web 2.0) seperti paparan berita terkini, forum, blog, perkumpulan komuniti atas talian dan komunikasi video.

Bagi kumpulan generasi Y yang merangkumi kumpulan anak muda 18 tahun ke bawah, jargon seperti Yahoo Messenger, Blogspot, Twitter, MySpace, Spacebook, PS3 dan XBox barang kali bukan lagi sesuatu yang asing.

Tak keterlaluan jika dikatakan, elemen-elemen sebegini bagai 'santapan' harian anak-anak pasca abad ke-21. Melihat dari suatu sudut negatifnya, kita khuatir jika fenomena teknologi yang bertali arus ini menjadi tanpa kawalan lantaran melalaikan dan akhirnya, memudarat anak bangsa kita.

Manfaatkan Teknologi Ke arah Kebaikan

Pengalaman saya semasa mengendalikan program motivasi PMR di salah sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada Khamis, 2 Julai lalu seakan-akan mengiakan keresahan saya.

Daripada penyelidikan dan pemantauan, kami dapati hampir 90 peratus pelajar memiliki telefon mudah alih sendiri. Rata-ratanya pula cenderung ke arah perisian permainan PSP dan PS3 terkini serta 'ketagihan' aplikasi Web 2.0 seperti Facebook dan Friendster.

Statistik pula menunjukkan keputusan peperiksaan penggal kedua menjunam berbanding dengan keputusan peperiksaan penggal sebelumnya. Ia cuma bagi sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah sahaja. Bagaimana agaknya jika diambil kira sekolah-sekolah yang lain?

Justeru, saya berharap langkah Kementerian Pelajaran menggubal sistem pembelajaran negara tidak akan melupakan saranan agar perkembangan teknologi terkini diterap penggunaannya kepada pelajar-pelajar dalam cara yang positif iaitu mengundang kepada pemantapan dan pembudayaan ilmu.

Teknologi sekiranya sekadar diaplikasikan untuk berhibur, tentulah tidak berfaedah. Sepatutnya, budaya menggunakan internet bagi tujuan meng'google' ilmu pengetahuan dan maklumat terkini perlu diutamakan.

Dengan jutaan laman web membanjiri dunia maya, teknologi perlu dipergunakan semaksimum mungkin untuk kebaikan, menggali ilmu dan informasi terkini di serata dunia.

Dalam hal ini, kemampuan bahasa Inggeris pelajar juga dapat ditingkatkan. Walaupun pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan internet adalah kaedah pembelajaran yang dikira 'santai', namun ia tidak boleh dianggap sebagai rutin 'kebiasaan' sehingga menjadikan generasi Y 'ketagih' dan sanggup memberontak jika keinginan mereka untuk berinternet tidak diturutkan.

Seperkara lagi yang tidak boleh diabaikan adalah apabila internet disalah gunakan untuk meng"Google" maklumat yang sesat lagi terpesong.

Justeru, pemantauan ibu bapa dituntut untuk mendorong penggunaan Internet secara betul dan tepat.

Perluaskan Jalur Lebar dan Wujudkan 'Sedikit Sempadan'

Kerajaan, di sebalik istilah dunia tanpa sempadan, mungkin boleh menilai kaedah untuk mewujudkan 'sedikit sempadan' dalam sistem perkhidmatan jalur lebar negara supaya generasi Y tidak mudah terdedah kepada perkongsian maklumat yang salah.

Natijah sebenar untuk melahirkan generasi kaya ilmu pengetahuan mungkin tidak akan dapat direalisasikan jika teknologi tidak sampai ke semua peringkat. Masalah kekangan kewangan ternyata masih wujud dan terus menghalang anak-anak luar bandar mengecapi perkembangan informasi terkini berbanding teman-teman di bandar.

Bagi yang mampu memiliki perkhidmatan jalur lebar mudah alih seperti perkhidmatan Celcom dan Maxis Broadband ada kalanya berhadapan dengan keterbatasan capaian perhubungan kerana tiada pencawang talian bukan sahaja di luar bandar malahan juga di sesetengah kawasan di dalam bandar.

Untuk mengatasi isu ini, kerajaan perlu menimbangkan secara serius cadangan yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan laluan elektrik sebagai sumber capaian internet jalur lebar.

Sudah pasti kos penggunaan jalur lebar melalui laluan elektrik ini tidak perlu terlalu tinggi agar masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.

Insya-Allah, dengan sedikit pemantauan dan galakan sihat, adalah tidak mustahil untuk kita mengecapi cita-cita murni bgi melahirkan generasi baru yang membudayakan ilmu melalui teknologi ICT.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Monday, July 6, 2009

RUGI MELAYU TOLAK PERPADUAN, 1MALAYSIA

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 30 Jun 2009, Muka 10)


KETIKA pertama kali Datuk Seri Najib Tun Razak melontarkan idea tentang aspirasi 1Malaysia, pelbagai pihak dilihat cuba memberikan takrifan dan andaian terbaik mereka mengenai istilah berkenaan.

Bermula dari bual bicara pemimpin negara, ahli politik, ahli akademik dan professional hinggalah ke cakap-cakap kedai kopi, segenap lapisan masyarakat bagai tercari-cari apakah intipati sebenarnya di sebalik konsep 1Malaysia.

Dalam begitu banyak teori yang dikemukakan, yang paling menyakitkan hati ialah andaian tidak bertanggungjawab beberapa pihak tertentu yang cuba menyamakan konsep 1Malaysia dengan perjuangan 'Malaysian Malaysia' dokongan DAP. Memang sah ia adalah suatu tuduhan yang berniat jahat bertujuan untuk mencalar imej kerajaan Barisan Nasional (BN) di kalangan masyarakat Melayu!

Sabtu lepas, setelah pelancaran logo dan lagu 1Malaysia, nampaknya masih ada sebilangan kecil masyarakat Melayu yang salah faham, ragu-ragu atau kabur dengan makna kepada saranan perpaduan melalui aspirasi tersebut.

Salah tanggap dan kekaburan sebegini banyak dipengaruhi oleh sikap orang Melayu sendiri. Antaranya, sikap yang berkecenderungan untuk memperoleh maklumat dari sumber yang tidak betul seperti laman-laman blog yang dikendali oleh bloggers yang buta hati dan jiwa yang murni.

Bukankah media-media perdana dan laman-laman web kerajaan sudah pun memberi informasi tentang hal ini dengan cukup terperinci.

Sudah sampai masanya, masyarakat Melayu merujuk kepada media-media perdana dan jika perlu, media alternatif yang menganjurkan kupasan pemikiran yang 'bebas', matang lagi mementingkan keharmonian rakyat dan bukannya melayan hujah-hujah beremosi.

1Malaysia hanyalah satu 'aspirasi' yang dicetuskan untuk mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan di kalangan rakyat Malaysia. Ia adalah asas pembentukan senario kehidupan yang harmoni dan memupuk semangat erat seiring dengan kehendak prinsip Rukun Negara.

Terdapat lapan penerapan nilai murni di bawah 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Sewaktu pertama kali slogan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' dilaungkan, Perdana Menteri sengaja mahukan seluruh rakyat Malaysia terlibat sama dalam menterjemahkan aspirasi tersebut.

Kita akui bahawa Wawasan 2020 sudah pun menjadi wawasan jangka masa pendek kerana ia bakal menemui kita beberapa tahun lagi. Malaysia hari ini perlukan suatu wawasan, visi dan misi baru yang berterusan.

Di atas kesedaran ini juga, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama sepatutnya mula menunjukkan gerakan-gerakan positif untuk bersatu padu dalam menentukan wawasan visi dan misi negara yang baru.

Nampaknya bagi bangsa Melayu, keutamaan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan bangsa dan agama sendiri bukan menjadi keutamaan. Sebaliknya, dalam isu Pas menolak usul perpaduan ummah UMNO-Pas yang kian memuncak, falsafah politik pula yang didahulukan sehingga meranapkan hak Melayu untuk menentukan hala tuju negara dalam menetapkan visi dan misi memajukan bangsa dan agama.

Begitu juga mengenai dakwaan yang mengatakan 1Malaysia bakal menindas nasib orang Melayu dan hak Bumiputera adalah tidak benar sama sekali.

Asas kepada dakwaan ini, konon-kononnya ialah tindakan kerajaan yang memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) sedangkan hal yang sebenar ialah fungsi MeCD sudah pun diserap sepenuhnya ke Jabatan Perdana Menteri bagi tujuan menambah kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Dasar afirmatif yang bersifat menolong kaum Bumiputera sebetulnya tidak pun disentuh, malah bakal dilaksanakan dengan lebih telus.

Konsep 1Malaysia yang 'sebenar' ternyata bertujuan baik demi keharmonian pelbagai ras dan keturunan di Malaysia. Melalui nilai murni 'Penerimaan', masyarakat Malaysia dituntut agar menerima perbezaan kaum dan agama.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya perspektif perpaduan negara diubah berbanding sekadar bertoleransi sebelum ini. Sikap sebegini membuat kita maju setapak ke hadapan kepada rasa hormat dan saling menerima.

Justeru, 1Malaysia sepatutnya menjadi ruang di mana masyarakat Melayu melupakan agenda politik buat sementara dan berpadu demi menyokong agenda perpaduan nasional. Ambil iktibar daripada kaum Cina di Malaysia, yang mana sekalipun wujud beberapa entiti politik yang menjaga kepentingan orang Cina, badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Dong Zhong dan Shiu Qiu sentiasa menjadi tempat kaum Cina menyatakan kesatuan pendapat mereka.

Orang Melayu sajalah yang nampaknya begitu berpecah bagaikan tiada langsung titik temu hingga kini. Inilah punca kepada komentar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang begitu kecewa dengan kegagalan perpaduan Melayu Pas dan UMNO bersatu baru-baru ini.

Saya menyeru seluruh umat Melayu menyokong aspirasi 1Malaysia yang dibawa oleh Najib dan melupakan perbezaan yang ada buat seketika demi kepentingan negara. 1Malaysia hakikatnya adalah rangkuman kepada elemen fundamental yang cukup perlu bagi merealisasikan cita-cita Wawasan 2020.

Seperti golongan Yahudi yang menetapkan cita-cita 100 tahun untuk kembali dan menguasai Baitulmaqdis, hendaknya orang Islam di Malaysia juga tidak perlu ralat untuk bersatu hati, mengejar wawasan yang sudah sedia termaktub ini.

Ayuh, mari kita terjemahkan konsep perpaduan 1Malaysia dan tentukan misi dan visi negara!

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)