Tuesday, November 17, 2009

LELAKI KINI LEBIH 'BERGANTUNG' DARI BERDIKARI

(UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi: Selasa, 17 November 2009, Muka 10)

SEKITAR tahun 1982, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah melancarkan dasar “Ke Arah 70 Juta Penduduk”. Ketika pertemuan bulanan saya dengan beliau baru-baru ini, topik berkenaan sekali lagi diutarakannya. Dr. Mahathir menekankan bahawa objektif dasar ini adalah penting bagi meningkatkan lagi kekuatan produktiviti negara.

Namun hakikatnya, dasar tersebut adalah terlalu ke hadapan dan mustahil dicapai dalam tempoh singkat. Jumlah 70 juta penduduk Malaysia itu hanya mungkin tercapai pada tahun 2100 yakni hampir 100 tahun lagi!

Gara-gara itulah Malaysia terpaksa menggunakan 100 peratus jumlah penduduknya yang juga melibatkan 14.0 juta wanita.

Kini, wanita diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dan sekali gus juga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Jelas di sebalik kelembutan wanita, mereka telah berjaya melonjakkan ekonomi negara bersama-sama dengan kaum Adam.

Kaum Hawa Abad 21 Lebih Progresif

Di Kelantan misalnya, wanita dilihat penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui kegiatan perniagaan sedangkan golongan lelaki nampaknya lebih cenderung dalam aktiviti politik.

Contoh paling ketara adalah di menara gading. Statistik menunjukkan bilangan penuntut dari kaum Hawa mendominasi majoriti institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dalam sektor pertahanan pula, semakin ramai wanita mula memegang senjata dan menjadi polis serta ada yang menjadi juruterbang jet pejuang.

Entah ke mana perginya adik-adik lelaki kita? Yang kita tahu, kumpulan-kumpulan belia ini bagaikan lebih gemar bersenang-lenang dan terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat. Kalau tidak, masakan wujud samseng jalanan yang pernah dikenali sebagai "Mat" Rempit?

Jika ada yang cuba mempertikaikan perkara ini, sila semak rekod semasa dari pihak-pihak yang bertanggungjawab. Hampir 80 peratus penagih dadah juga adalah lelaki!

Fenomena semasa ini bagaikan suatu petanda bahawa kaum wanita telah dan akan lebih ramai terpelajar berbanding lelaki. Jika ini berterusan tidak mustahil suatu trend atau senario "dominasi intelek" boleh berlaku.

Jika suatu ketika dahulu, lelaki terlalu banyak mengadu tentang isteri-isteri mereka yang kurang pendidikan, sekarang terbalik pula keadaannya. Kaum Adam pula yang lebih banyak “bergantung” kepada isteri berbanding "berdikari".

Sekiranya ini berlaku, jangan terkejut jika lelucon Cerekarama yang tidak pernah kita fikirkan seperti wanita menghalau suami mereka keluar rumah terjadi dan berleluasa.

Ya, ketawalah sekarang tetapi jangan fikir ini terlampau mustahil kalau golongan belia lelaki terus-terusan hanyut dalam arus ketidakmatangan dan tanpa kita mengawasinya!

Kuasa Sebenarnya di Tangan Koloni Yang Bekerja Lebih Keras

Situasi yang sama sebenarnya berlaku apabila pendatang asing lebih keras bekerja daripada penduduk negara tersebut. Mereka akhirnya akan membentuk suatu koloni yang lebih kuat dan mengambil alih penguasaan negara.

Sejarah telah berulang kali membuktikan apabila sesebuah negara maju dan bertamadun, rakyat akan mula malas dan menyerahkan urusan pertahanan negara kepada golongan pendatang. Senario menyerah senjata sebegini telah terbukti suatu faktor penyumbang kepada kejatuhan empayar kuno seperti Rom dan Sepanyol.

Demikianlah dalam situasi ini, sekiranya lelaki tidak gigih bekerja, mereka akan kehilangan kuasa pengaruh ke atas keluarga dan masyarakat sekeliling yang dipimpinnya. Memang benar sektor korporat dan institut pengajian tinggi belum dikuasai oleh kaum Hawa sepenuhnya.

Namun, jika kaum Adam selalu berfikir bahawa mereka adalah tuan atau ketua, asyik mencuri tulang dan sering menyerahkan tugas kepada orang lain, akhirnya kaum Adam akan menjadi terlalu malas untuk menghalang kaum Hawa.

Kaum Adam Pula Kenalah Gigih !

Perlu diingatkan lagi bahawa kaum lelaki mesti matang atas tanggungjawabnya di masa depan.
Ada hati dan usaha pasti boleh! Lihat sahaja, kaum wanita yang dahulu pernah menjadi jaguh di dapur, kini chef-chef di dapur adalah terdiri dari kaum lelaki. Justeru, sekiranya kaum Adam bekerja lebih keras daripada kaum Hawa, KDNK secara keseluruhannya pasti akan melonjak dengan lebih baik.

Namun dalam pada itu, kaum Hawa janganlah menjadi golongan terlampau sehingga hendak melanggar syariat seperti dalam isu Amina Wadud yang mengimamkan solat jemaah lelaki.

Seperti Dr. Mahathir, saya juga bersetuju bahawa kaum wanita kelihatan begitu menjelekkan jika mereka mula melibatkan diri dalam sukan gusti!

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Melayu Profesional dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

PENEMBUSAN JALUR LEBAR AKAN DITERUSKAN, KATA NAJIB - 50% AKSES PADA HUJUNG 2010

(ARTIKEL INI DICETAK DI MUKA HADAPAN KEBANYAKAN AKHBAR-AKHBAR MALAYSIA SEHARI SELEPAS ARTIKEL BERTAJUK "PERKENALKAN JALUR LEBAR GUNA WAYAR ELEKTRIK" DIPAPARKAN DI RUANGAN FERIZ OMAR, UTUSAN MALAYSIA)

Komen saya, "Alhamdulillah Syukur kepada Allah SWT. Ia tidak mengambil masa lama untuk YAB Datuk Seri Najib untuk bertindak ke atas cadangan jalur lebar seperti yang saya kongsikan dalam artikel saya semalam. Sememangnya YAB Perdana Menteri amat peka terhadap keperluan rakyat Malaysia.

Namun demikian, saya tetap merasakan bahawa gentian optik tetap mahal dan mengambil masa lama untuk melengkap jaringan internet sehingga mencapai tahap 50% akses pada hujung 2010. Sesungguhnya, 'Broadband Over Powerline' atau 'Jalur lebar Guna Wayar Elektrik' lebih cepat dan murah kerana pendekatan ini menggunakan aset yang telah tersedia wujud di setiap rumah seluruh Malaysia".

[KERATAN AKHBAR]

PUTRAJAYA, 11 November 2009 : Kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk meningkatkan penembusan jalur lebar kepada 50 peratus menjelang 2010 berbanding 24 peratus pada masa ini, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata ia mengambil kira laporan Bank Dunia baru-baru ini yang menyebut setiap peningkatan 10 peratus dalam penembusan jalur lebar akan membantu meningkatkan keluaran dalam kasar negara (KDNK) sebanyak 1.3 peratus.

"Kita juga menjangkakan perkara yang sama di Malaysia. Ia bukan klise (kata-kata basi). Ia hakikat yang sudah terbukti. Korea Selatan sebagai contoh. Mereka melakukan usaha besar-besaran untuk pembangunan kandungan dan penembusan jalur lebar. Ia telah menyemarakkan ekonomi, malah lebih baik daripada Jepun," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia Koridor Raya Multimedia (MSC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Mesyuarat itu adalah yang pertama dipengerusikan oleh Najib selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata Malaysia mahu meningkatkan penembusan jalur lebar secara berperingkat-peringkat dan menjelang akhir tahun depan, ia mahukan kadar penembusan berkisar sekitar 50 peratus, disokong oleh perkhidmatan 4G oleh para penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

4G ialah perkhidmatan yang mengoperasikan pelbagai rangkaian berbeza dengan pemindahan berkelajuan tinggi.

"Negara memerlukan penembusan yang lebih tinggi... menghubungkan tempat seperti hospital-hospital utama atau sekolah di kawasan terbabit. Kita boleh menyediakan garis panduan yang lebih jelas apabila kita menyediakan model ekonomi baharu menjelang akhir tahun.

"Model ekonomi itu menjangkau semua sektor dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang akan digunakan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan tidak bercadang menyuntik dana tambahan untuk merealisasikan sasaran penembusan jalur lebar, ia sedang meneliti insentif untuk sektor swasta bagi menjayakannya.

"Kita sudahpun mempunyai RM2.4 bilion dalam inisiatif usaha sama awam-swasta. Telekom Malaysia sudah menyediakan kira-kira RM9.0 bilion untuk inisiatif jalur lebar...kami merasakan ia mencukupi untuk mencapai sasaran itu," katanya. - BERNAMA

Wednesday, November 11, 2009

PENEMBUSAN JALUR LEBAR AKAN DITERUSKAN, KATA NAJIB - 50% AKSES PADA HUJUNG 2010


(ARTIKEL INI DICETAK DI MUKA HADAPAN KEBANYAKAN AKHBAR-AKHBAR MALAYSIA SEHARI SELEPAS ARTIKEL BERTAJUK "PERKENALKAN JALUR LEBAR GUNA WAYAR ELEKTRIK" DIPAPARKAN DI RUANGAN FERIZ OMAR, UTUSAN MALAYSIA)

Komen saya, "Alhamdulillah Syukur kepada Allah SWT. Ia tidak mengambil masa lama untuk YAB Datuk Seri Najib untuk bertindak ke atas cadangan jalur lebar seperti yang saya kongsikan dalam artikel saya semalam. Sememangnya YAB Perdana Menteri amat peka terhadap keperluan rakyat Malaysia".

PUTRAJAYA, 11 November 2009 : Kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk meningkatkan penembusan jalur lebar kepada 50 peratus menjelang 2010 berbanding 24 peratus pada masa ini, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata ia mengambil kira laporan Bank Dunia baru-baru ini yang menyebut setiap peningkatan 10 peratus dalam penembusan jalur lebar akan membantu meningkatkan keluaran dalam kasar negara (KDNK) sebanyak 1.3 peratus.

"Kita juga menjangkakan perkara yang sama di Malaysia. Ia bukan klise (kata-kata basi). Ia hakikat yang sudah terbukti. Korea Selatan sebagai contoh. Mereka melakukan usaha besar-besaran untuk pembangunan kandungan dan penembusan jalur lebar. Ia telah menyemarakkan ekonomi, malah lebih baik daripada Jepun," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia Koridor Raya Multimedia (MSC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Mesyuarat itu adalah yang pertama dipengerusikan oleh Najib selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata Malaysia mahu meningkatkan penembusan jalur lebar secara berperingkat-peringkat dan menjelang akhir tahun depan, ia mahukan kadar penembusan berkisar sekitar 50 peratus, disokong oleh perkhidmatan 4G oleh para penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

4G ialah perkhidmatan yang mengoperasikan pelbagai rangkaian berbeza dengan pemindahan berkelajuan tinggi.

"Negara memerlukan penembusan yang lebih tinggi... menghubungkan tempat seperti hospital-hospital utama atau sekolah di kawasan terbabit. Kita boleh menyediakan garis panduan yang lebih jelas apabila kita menyediakan model ekonomi baharu menjelang akhir tahun.

"Model ekonomi itu menjangkau semua sektor dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang akan digunakan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan tidak bercadang menyuntik dana tambahan untuk merealisasikan sasaran penembusan jalur lebar, ia sedang meneliti insentif untuk sektor swasta bagi menjayakannya.

"Kita sudahpun mempunyai RM2.4 bilion dalam inisiatif usaha sama awam-swasta. Telekom Malaysia sudah menyediakan kira-kira RM9.0 bilion untuk inisiatif jalur lebar...kami merasakan ia mencukupi untuk mencapai sasaran itu," katanya. - BERNAMA

Tuesday, November 10, 2009

PERKENALKAN JALUR LEBAR GUNA WAYAR ELEKTRIK

(UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi: Selasa, 10 November 2009, Muka 10)

SEMENJAK pengumuman Bajet 2010 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, rakyat semakin terdedah dengan persaingan sengit para penyedia kemudahan perkhidmatan Internet 'broadband'. Kadang kala saya sekeluarga tergelak besar melihatkan pendekatan iklan mereka yang mencuit hati.

Saya baru sahaja meneliti laporan yang dikeluarkan oleh beberapa badan penyelidikan tersohor dunia berkenaan kesan daripada kemudahan Internet broadband terhadap sesebuah negara. Perincian kajian jelas membuktikan perkhidmatan Internet 'broadband' ataupun jalur lebar ini nyata ada impak positif yang signifikan terhadap perkembangan ekonomi dan sosial sesebuah negara.

Dalam suatu perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan 15 peratus di kawasan luar bandar.

Kesan daripada itu, masyarakat 'urban' dilihat semakin mudah memperolehi maklumat semasa dan berita terkini. Akses kini tidak terhad hanya melalui komputer sahaja, tetapi juga melalui telefon bimbit dan PDA.

Potensi ekonomi perkhidmatan jalur lebar Internet memberi kesan keuntungan besar kepada syarikat dan individu ekoran daripada peningkatan produktiviti.

Bayangkan kemampuan manusia berlipat ganda gara-gara akses jalur lebar Internet. Jualan dan pendapatan meningkat, kos perniagaan dan sara hidup berkurang sementara masa untuk satu-satu transaksi pula disingkatkan. Rangkaian informasi serta ruang networking menjadi semakin luas secara 'menegak' mahupun 'melebar'.

Suatu kajian berkaitan telah dijalankan ke atas tiga negara yakni Bangladesh dengan jumlah penduduk seramai 150 juta orang (KDNK AS$513); Thailand yang mempunyai 62 juta orang penduduk (KDNK AS$4,099) dan Serbia dengan jumlah penduduk seramai 7.4 juta (KDNK AS$7,054).

Daripada bancian 100 responden yang dilakukan ke setiap negara tersebut, 10 orang di Bangladesh, 26 orang di Thailand manakala 42 orang di Serbia adalah pengguna Internet. Dan perkembangan pesat Serbia (selepas era peperangan Bosnia-Serbia 1990-an) daripada segi KDNK ini sebenarnya adalah ekoran fokus pelaburan ke atas Internet jalur lebar.

Dalam dunia maya perbankan pula, internet sudah membuktikan ia selamat dan murah. Infrastruktur perbankan Internet juga membantu kerajaan dalam menyediakan statistik penganalisisan dengan segera ke atas polisi-polisi mikro dan makro ekonomi.

Hasil ke atas pelaburan jalur lebar Internet juga, ia secara langsung membantu menambahkan peluang pekerjaan dan merancakkan lagi pertumbuhan inisiatif-inisiatif perniagaan baru berbentuk inovasi dan membuka peluang kerjaya untuk menyelesaikan masalah pengangguran negara.

Internet kini diiktiraf menjadi tulang belakang kepada ekonomi dunia. Ia bertindak sebagai katalis untuk meluaskan lagi rangkaian perniagaan, membantu secara langsung pertumbuhan perniagaan berkonsepkan 'penjenamaan'.

Dalam erti kata lain, merebut peluang ekonomi dalam perkhidmatan jalur lebar bukan sekadar memastikan akses kepada maklumat tidak terbatas kepada masyarakat, tetapi juga faktor penyumbang kepada kelestarian ekonomi negara.


Antara Mutu dan Masa Hadapan

Berdasarkan fakta-fakta di atas, kerajaan perlu mencari inisiatif untuk merancakkan lagi perkembangan penggunaan khidmat Internet jalur lebar negara. Salah satu pendekatan cepat untuk mencapai objektif ini dalam masa singkat adalah dengan memperkenalkan kemudahan 'broadband over powerline' - di mana kemudahan Internet disediakan melalui wayar elektrik.

Dengan adanya kemudahan ini, perkhidmatan internet tersedia di setiap rumah seluruh Malaysia yang mempunyai bekalan elektrik yang dibekalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sekiranya ini direalisasikan, maka aset berbilion ringgit yang dilaburkan TNB selama ini akhirnya digunakan dengan kapasiti maksimum dan memberikan pulangan balik kepada pelabur-pelabur TNB yang sebahagian besarnya adalah pemegang-pemegang Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera (ASN & ASB), pencarum-pencarum KWSP dan ratus ribuan pemegang deposit Tabung Haji.

Persoalan yang belum terjawab adalah siapakah yang akan menjadi operator perkhidmatan 'broadband over powerline' ini. Adakah ia akan melibatkan Celcom, Maxis, DiGi atau akan wujudnya pemain baru dalam pasaran?

Atau senario ini tidak akan berlaku kerana kerajaan telah berbelanja ratusan juta ringgit untuk membina rangkaian Internet yang asalnya dipegang MIMOS dan kini dimiliki oleh Telekom Malaysia Berhad (TM)?

Siapa pun yang bakal menjadi terajunya, kita berharap tidak akan wujud monopoli 'melampau' yang mengakibatkan mutu perkhidmatannya nanti sekadar 'boleh tahan'. Mestilah juga ada pemantauan kualiti secara serius.

Sekarang kita lihat, dengan adanya beberapa pemain semasa dalam industri broadband, wujud suatu persaingan sihat daripada aspek harga. Namun demikian, isu mutu pula dilihat masih menjadi perdebatan dan bicara sinis di kalangan para pengguna!

Kerajaan perlu sedar bahawa kehendak kepada mutu perkhidmatan Internet yang berkualiti kini sudah menjadi keperluan bagi setiap rakyat dan sesungguhnya ia mampu menjadi katalis trend positif pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)