Tuesday, February 24, 2009

KUASA MENGHUKUM SIMBOL RAJA BERDAULAT?







UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 24 Februari 2009 Muka 10)

SEPANJANG minggu lalu, Malaysia terus-terusan dilanda pelbagai isu hangat yang bukan sahaja mengganggu-gugat kedudukan ekonomi dan politik negara, malahan dasar kerangka penubuhan Malaysia yang berasaskan Raja Berperlembagaan turut dicabar oleh pelbagai pihak yang giat mengatur cara untuk merebut kuasa mentadbir negara.

APAKAH KUASA UNTUK MENGHUKUM, SIMBOL RAJA BERDAULAT?

Saya kecewa melihatkan kerenah Pengerusi Parti DAP, Karpal Singh yang berani menerjah dan bercadang untuk menyaman DYMM Sultan Perak. Karpal sendiri mengakui bahawa tindakan beliau bukan suatu lakonan. Lakonan? Lakonan filem Bollywood sudah pastinya tidak. Tetapi filem yang bangsa Melayu gambarkan adalah watak Hang Jebat yang dibawa oleh Karpal di mana akhirnya, beliau sendiri akan tewas dihukum Raja akibat menderhaka.Sepatutnya, institusi diraja adalah benteng pertahanan terakhir untuk bangsa Melayu dan agama Islam.

UMNO pula diberi amanah sebagai benteng pertama untuk menerajui wadah perjuangan agama dan bangsa. Persoalan utama dalam isu ini, apakah Karpal sengaja menutup mata dan lupa bahawa secara langsung atau tidak, institusi diraja adalah pemilik sebenar Malaysia? Apakah Karpal juga telah mungkir janjinya untuk berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara?

Atau mungkin sudah lupa bahawa beliau dapat hidup bersenang-lenang mencari rezeki untuk keluarganya di tanah air tercinta ini sebagai seorang warganegara Malaysia yang perlu setia kepada Raja dan Negara?

Yang kita tidak mahu saksikan adalah apabila institusi diraja perlu membuktikan kedaulatan mereka melalui kuasa menghukum.

Mungkin Karpal perlu diingatkan kembali kepada kes "Penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong" yang dianjurkan Perkumpulan Al-Ma'unah pada tahun 2000 di mana tiga pemimpin tertinggi mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan 16 pula dipenjara seumur hidup dalam perbicaraan yang berakhir pada tahun 2003.

Mungkin buat Karpal sudah pasti institusi diraja tidak akan menjatuhkan hukuman yang sama ke atasnya kerana ia adalah hukuman yang terlalu berat. Sebaliknya, apa pula reaksi beliau jika kewarganegaraan beliau ditarik balik atas alasan gagal mematuhi Rukun Negara? Adakah ini mungkin pengajaran yang lebih berkesan ke atas Karpal?

Atau hukuman tersebut sepatutnya dikenakan ke atas dalang sebenar di belakang isu penderhakaan terhadap institusi diraja ini?

LETAK JAWATAN BUKTI INTEGRITI?

Baru-baru ini kita juga dikejutkan dengan tindakan YB Elizabeth Wong yang memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan ekoran daripada penyebaran gambar bogel peribadi beliau di internet.

Keputusan penawaran diri untuk meletakkan jawatan disebabkan oleh isu sebegini umpama sudah menjadi tindakan rutin yang mana akan disusuli dengan penawaran diri semula dalam pemilihan parti apabila kesnya reda. Sejarah seolah-olah berulang kembali.

Di Amerika Syarikat (AS), Presiden Bill Clinton terus memegang jawatan sebagai Presiden setelah kes skandal seks beliau dengan Monica Lewinsky dibicarakan di hadapan Senat. Di Malaysia pula tidak kurang hangatnya dengan kes skandal seks Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dahulu yang mengakibatkan beliau melepaskan kesemua jawatannya di dalam kabinet, parti dan juga kerusi Parlimen Labis.

Yang menakjubkan dalam hal ini, rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli MCA masih boleh menerima Soi Lek sehinggakan beliau mampu meraih undian terbanyak dalam pertandingan merebut kerusi Timbalan Presiden MCA.Mungkin jika Clinton boleh, Soi Lek boleh, maka Elizabeth juga boleh!

Tetapi kita sebagai bangsa Melayu dan beragama Islam tidak boleh menerima kepimpinan negara yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bermoral. Inilah budaya demokrasi yang dianjurkan oleh jentera-jentera rejim AS yang sentiasa mencari jalan untuk memartabatkan kuasa rakyat mengatasi prinsip moral mana-mana agama di dunia, terutamanya Islam.

Budaya menghalalkan cara memilih pemimpin melalui suara rakyat terbanyak dalam konteks ini membuktikan kelemahan sistem demokrasi antarabangsa anjuran jentera-jentera rejim AS semakin berleluasa di negara kita.

Ini akhirnya, akan menjadi penyebab keruntuhan bangsa dan tamadun negara yang telah lama kita bina dalam sekelip mata disebabkan rakyat masih memilih pemimpin-pemimpin yang tidak berintegriti.

HANYA MUKHRIZ BELUM DIBERI PELUANG

Saya merasakan peranan yang dimainkan oleh Profesor Muhammad Agus Yusof setelah menggantikan saya sebagai Moderator Hujah TV9 adalah amat profesional dan independent dalam mengendalikan pertemuan Mukhriz - Khairy - Khir Toyo yang dibawakan secara langsung dari Dewan Bahasa dan Pustaka pada 17 Februari lalu.

Semasa program Hujah TV9 tersebut, Profesor Agus telah melontarkan kenyataan bahawa sekali pun Khairy Jamaluddin pernah dianggap sebagai 'liabiliti' UMNO dan sekalipun Datuk Seri Mohd. Khir Toyo adalah penyebab kekalahan teruk kerajaan Barisan Nasional yang diketuainya di Selangor, tetapi mereka berdua masih lagi sanggup menebal muka mengejar jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Walaupun Khairy dan Mohd. Khir dapat menepis tanggapan ramai terhadap mereka, peringkat akar umbi sememangnya mengenali siapakah mereka yang sebenarnya. Ini kerana kedua-dua individu ini pernah diberi peluang untuk memimpin dalam UMNO.

Namun yang belum lagi diberi peluang ialah Datuk Mukhriz Mahathir dan tambahan pula beliau jugalah sebenarnya yang paling awal mencetuskan perjuangan supaya UMNO berubah.

Demi mengelakkan kecelaruan berlaku di peringkat Pemuda UMNO, sudah sampai masanya untuk bakal Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan signal sebenar kepada semua perwakilan UMNO sebelum Pemilihan Agung UMNO pada Mac 2009 nanti agar orang Melayu dan ahli-ahli UMNO terutamanya tidak terus berpecah-belah.

BERATUS SINGA MELAYU DIPERLUKAN SEGERA !

Ada juga sebilangan kecil rakyat Malaysia mencadangkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memilih calon Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO yang kurang agresif daripada beliau.

Gabungan yang digambarkan adalah seperti era Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Allahyarham Tun Ghafar dahulu.

Hakikatnya, lebih ramai rakyat Malaysia di peringkat akar umbi yang mahukan bukan sahaja satu singa Melayu malahan jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran UMNO dan Malaysia itu juga perlu diisi oleh singa Melayu yang segarang singa pertama.

Ini kerana dalam senario kecelaruan politik dan ekonomi negara, bukan sahaja kita perlukan satu singa malahan puluhan dan ratusan singa Melayu untuk memimpin agama Islam, bangsa Melayu dan Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran perubahan.

Singa-singa baru ini perlu pula merujuk kepada singa yang paling berpengalaman dan bijaksana dalam menangani konflik dan sekali gus memantapkan kembali kedudukan politik dan ekonomi negara.

Saya ucapkan selamat datang Singa-Singa Melayu dan selamat tinggal Sang Singa yang tidak bergigi !

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Sunday, February 8, 2009

MELAYU PERAK BUKAN PATUNG WAYANG KULIT


MUKA DEPAN MINGGUAN MALAYSIA (Ahad 08/02/2009 m/s-1)


Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. – DR. MAHATHIR MOHAMAD (Bekas Perdana Menteri)

Tindakan mahu menyaman Sultan Perak adalah suatu langkah yang tidak bijaksana, berbaur politik, agenda pakatan pembangkang dan tidak menghormati hak raja di dalam Perlembagaan. Ia adalah amat memalukan, raja perlu dihormati. – MUHYIDDIN YASSIN (Naib Presiden UMNO)

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, institusi raja dilibatkan begitu agresif sehingga ke peringkat perundangan hanya akibat daripada kekecewaan politik segelintir pihak. – DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Seolah-olah kita (orang Melayu) jadi patung wayang kulit, Karpal Singh pula menjadi `tok dalang’, manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengadu domba. – JAMALUDIN YUSOF (Presiden Pekida)

Tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan. Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu tidak akan berdiam diri. – IBRAHIM ALI (Presiden Perkasa)

Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu. Tindakan mereka membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat. – FERIZ OMAR (Presiden ProWaris)

DALAM NEGERI
Muka Dalam - Mingguan Malaysia Ahad 08/02/2009 m/s-2


'Melayu Perak bukan patung wayang kulit'


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Pengerusi DAP Karpal Singh dan pemimpin pakatan pembangkang hari ini diberi amaran keras supaya berhenti memperlekehkan Raja-raja Melayu dan jangan menjadikan Melayu Perak patung wayang kulit.

Orang Melayu di negeri itu juga diingatkan supaya tidak lagi membiarkan diri mereka diperkudakan untuk menyanggah institusi beraja yang merupakan 'urat nadi' orang Melayu selama ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu memberi amaran tersebut ekoran sikap biadap pemimpin pakatan pembangkang sewenang-wenangnya 'memijak' Raja-raja Melayu ekoran keengganan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, tindakan Karpal dan sekutunya yang melakukan provokasi termasuk menyaman Sultan Perak sebenarnya adalah satu bentuk penghinaan amat dahsyat kepada orang Melayu.

Tegas beliau, pihaknya melihat penderhakaan secara terang-terangan terhadap Sultan Azlan Shah sebagai malapetaka terhadap kaum Melayu.

Lebih menyedihkan, katanya, orang Melayu yang berjubah dan berserban telah dihasut untuk berdemonstrasi menentang titah baginda.

"Seolah-olah orang Melayu menjadi patung wayang kulit, Karpal pula menjadi 'tok dalang', manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak mengadu domba," ujar beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan liar penyokong pakatan pembangkang yang merusuh di perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat semalam untuk menghalang pelantikan Menteri Besar baru daripada Barisan Nasional (BN) yang diperkenan oleh Sultan Azlan.

Terdapat antara mereka yang berdemonstrasi itu bertindak berbaring di atas jalan raya bagi menghalang kenderaan rasmi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selain menghamburkan kata-kata kesat.

Hampir keseluruhan mereka yang menyertai perhimpunan haram untuk mempertahankan kerajaan pakatan pembangkang yang didominasi oleh parti DAP itu terdiri daripada orang Melayu.

Menurut Jamaludin, Pekida berpendapat, Pengerusi DAP itu mungkin mempunyai motif lain untuk menimbulkan kekacauan dan menarik perhatian masyarakat dunia bahawa
Sultan Azlan adalah seorang raja yang berat sebelah.

Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula berkata, tindakan biadap Karpal mahu mengemukakan saman terhadap Sultan Azlan Shah dikhuatiri boleh menanam perasaan benci terhadap institusi beraja.

Presiden Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) dan Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan itu menegaskan, tindakan DAP itu seolah-olah menggambarkan Sultan Perak membelakangkan peruntukan undang-undang.

"Dalam hal ini, saya mengingatkan pemimpin pembangkang terutama Anwar, Karpal dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar bertindak secara profesional dan menerima hakikat kegagalan mereka memerintah negeri ini," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Hilmi berkata, GMP telah membuat laporan di Balai Polis Sea Park, Ipoh, semalam kerana perbuatan Karpal itu dilihat sebagai ugutan bagi menghalang Sultan Perak melaksanakan bidang kuasa di bawah peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Menurutnya, tindakan saman itu jika dibiarkan sudah pasti akan mengakibatkan kaum Melayu bangkit membuat bantahan keras.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, menyifatkan tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan perasaan orang Melayu.

"Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu sudah semestinya tidak akan berdiam diri melihat keadaan tersebut," katanya.

Ibrahim meminta Karpal Singh agar jangan bersikap emosional secara membabi-buta memandangkan negara ini merupakan sebuah kerajaan raja berperlembagaan.

"Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, jika beliau masih berdegil dengan tindakannya, lihatlah nanti bagaimana orang Melayu akan bersatu serta bangun menentangnya," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Generasi Profesional Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar menyifatkan cadangan saman itu merupakan strategi Anwar dalam menggunakan Karpal sebagai wakil pembangkang.

Katanya, Anwar mungkin berasa masih perlu 'bersembunyi' dan tidak mendedahkan diri sebagai dalang dalam cadangan saman itu.

"Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu.

"Tindakan mereka berdua membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat," ujarnya.

Justeru, tegas Feriz, kerajaan perlu menggunakan badan perisikan yang ada untuk membuktikan peranan Anwar dalam pelbagai isu yang memporak-perandakan keamanan negara.