Tuesday, March 31, 2009

PEMIMPIN MELAYU PERLU ‘KECERDASAN SPIRITUAL’ TINGGI

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 31 Mac 2009 Muka 10)


Laungan janji keramat Datuk Seri Najib Tun Razak-Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan terakhir Mesyuarat Agung UMNO untuk menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan ‘Rakyat-Parti-Kerajaan’ bergema kuat sehingga menembusi dinding Dewan Merdeka di PWTC, melalui jalan-jalan kota raya, merentasi sungai-sungai, meredah belukar, mendaki bukit-bukau, melepasi lautan sehingga sampai ke pendengaran menusuk sanubari setiap orang Melayu dan orang Islam.

Sekalipun ia suatu janji yang belum lagi dikotakan, namun nada komitmen ke atas janji itu setidak-tidaknya memberi ‘harapan masa depan’ rakyat Malaysia secara keseluruhan.

NAJIB-MUHYIDDIN - PEMIMPIN PUNYA ‘SQ’ TINGGI

Seiring dengan artikel saya seminggu lalu yang menyentuh tentang “Strategi Blue Ocean – Formula Memulih Kembali UMNO”, Datuk Seri Najib berjanji akan mengembalikan kuasa akar umbi dengan mewujudkan hubungan harmoni ‘Rakyat-Parti-Kerajaan’ di luar jangkauan seperti mana di tahap Blue Ocean yang pasti tidak terdaya disaingi parti-parti pembangkang.

Kebanyakan usaha yang disarankan beliau tertumpu untuk menarik semula generasi muda yang sebenarnya memenuhi 70 peratus pengundi Malaysia.

Golongan ini telah dikategorikan oleh beliau sebagai pencetus idealisme ekonomi, politik dan masyarakat. Golongan yang berpendidikan tinggi ini adalah pejuang-pejuang siber yang hebat. Golongan ini pernah dicantas daripada memegang jawatan dan diketepikan oleh sebilangan pemimpin UMNO sekalipun ikhlas berkhidmat.

Buat permulaan, UMNO akan menganjurkan Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi membincangkan cadangan syarat minimum kuota pencalonan bagi memudahkan laluan pemimpin yang difikirkan layak untuk bertanding.

Selain daripada itu, cadangan untuk menambahkan jumlah perwakilan sehingga mencapai jumlah 60,000 orang bagi memerangi gejala politik wang juga akan dibincangkan.

Cadangan-cadangan di atas menampakkan bahawa gandingan Najib-Muhyiddin telah melakukan homework untuk muhasabah diri serta menyahut jeritan Spiritual Quotient (SQ) atau Kecerdasan Spritual dalaman mereka. Sesungguhnya, SQ adalah suara hati yang jernih, tidak mungkin ditipu oleh sesiapa pun, termasuk diri kita sendiri dan sentiasa bertindak dengan penuh kesedaran.

Menurut kajian dalam buku Spiritual Intelligence – The Ultimate Intelligence, SQ kini telah dibuktikan sebagai kecerdasan ‘masa depan hakiki’ mengatasi Intelligent Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ) yang ditemui sekitar 1990-an.

Pengkajinya, Zohar dan Marshall mendefinisikan IQ seperti kecekapan, kecerdikan, dan berfikir secara logik komputer. EQ pula seperti reaksi haiwan yang bertindak mengikut persekitaran sekeliling. Manakala SQ seperti kebolehan untuk memalingkan pelbagai senario kehidupan ke arah psikologi ketuhanan, ini termasuk nilai-nilai Islam.

Kita mengakui bahawa psikologi sebilangan ahli UMNO masih cenderung ke arah kehidupan serba materialistik dan konsumerisme duniawi. Jikalau tidak, budaya menghalalkan cara politik wang tidak akan berlaku di tengah-tengah kemelut bangsa Melayu dan Islam yang memerlukan barisan kepimpinan UMNO berteraskan kearifan, kebijaksanaan dan kerohanian yang mana nilai-nilai ini adalah pegangan universal umat manusia.

‘DIPERHAMBAKAN’ PEMIMPIN TIADA SQ

Isu terbesar dalam setiap Mesyuarat Agung UMNO adalah apabila beberapa pemimpin yang tiada nilai SQ sanggup menjual roh dan mengambil kesempatan menabur wang serta memanipulasi pemikiran perwakilan.

Tindakan penyogok politik wang itu seolah-olah merendahkan martabat sebilangan perwakilan UMNO sama seperti kelompok yang mudah ‘diperhambakan’, kelompok yang berpemikiran lemah, kelompok yang tidak yakin dengan Islam serta tidak takut dengan laknat Allah terhadap mereka. Lantaran sentiasa menawarkan diri untuk ditunggang dengan bebas sewenang-wenangnya.

Saya berharap saranan struktur Rakyat-Parti-Kerajaan dilaksanakan segera agar UMNO benar-benar wujud atas kekuatan akar umbi sekali gus membanteras gejala politik wang yang kian meruncing.

Sementara menantikan struktur perwakilan dan pemilihan UMNO itu menjadi realiti, kita perlu menjawab persoalan sama ada keputusan yang baru dibuat oleh lebih kurang lima ribu perwakilan UMNO, Wanita, Puteri dan Pemuda kali ini juga dipersetujui oleh lebih 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada Pilihan Raya Ke-13 nanti di mana sebahagiannya bakal kita temui dalam pilihan-pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air pada 7 April 2009 nanti.

Saya ucapkan syabas kepada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, barisan Majlis Tertinggi UMNO, barisan sayap UMNO dalam Mesyuarat Agung 2009. Kami akan terus menyokong dari luar dan sedia bergerak masuk!

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Thursday, March 26, 2009

RENUNG-RENUNG PILIHAN PEMUDA UMNO MALAYSIA


Pertama kali saya saksikan senario sebegini dalam Mesyuarat Agung UMNO Malaysia.

http://depa-kata.blogspot.com/2009/03/kjrasuahkjrasuah.html

Ketua Pemuda UMNO yang baru dipilih menang dengan 304 undi.

Adakah 11 juta pengundi Malaysia setuju dengan 304 perwakilan itu?

Kepada 304 perwakilan Pemuda UMNO, tahniah saya ucapkan ... !

Wednesday, March 25, 2009

MAJLIS PEGUAM TERUS DIKECAM

UTUSAN MALAYSIA - DALAM NEGERI (Mukasurat 34) Oleh Andika Wahab pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Mac - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Majlis Peguam yang sering memainkan isu menyentuh sensitiviti agama Islam.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar berkata, Majlis Peguam perlu dikenakan tindakan tegas memandangkan ini bukan kali pertama majlis tersebut bermain dengan isu melibatkan sensitiviti Melayu dan agama Islam.

Katanya, majlis itu yang berlatar belakangkan perundangan sepatutnya tidak bermain dengan isu-isu sensitif kaum dan agama apatah lagi ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Majlis Peguam perlu tahu ruang lingkup dan bidang kuasanya dan tidak perlu mencampuri urusan keagamaan.

''Majlis ini juga kadangkala bertindak seperti NGO dan persatuan hak asasi sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat tentang peranannya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin dalam kenyataan meminta supaya kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas Majlis Peguam kerana telah melakukan tinjauan penggunaan kalimah Allah di laman webnya.

Setakat 12 Mac lepas, sebanyak 1,000 pengunjung laman web tersebut membuat undian dalam tinjauan itu.

Menurut Feriz, Majlis Peguam semakin berani bermain dengan isu-isu sensitif kerana tahu Melayu kini berpecah-belah kerana sentimen politik.

''Tapi perlu diingat, walaupun berpecah-belah dari sudut pandang politik, perpaduan menerusi benteng Islam mampu mengetepikan elemen perbezaan politik,'' tegasnya.

Feriz menambah, sebarang provokasi terhadap keputusan kerajaan terutama Majlis Raja-Raja mewartakan penggunaan kalimah Allah di seluruh negara (kecuali empat negeri) seolah-olah mencabar kedaulatan raja dan Perlembagaan negara.

Justeru, mereka perlu dikenakan tindakan tegas selain mengkaji semula Akta Profesion Guaman serta membuat pindaan segera berkenaan bidang tugas Majlis tersebut.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan juga berpendapat, Majlis Peguam perlu dikenakan tindakan tegas kerana beberapa kali melakukan provokasi ke atas agama Islam.

Katanya, hukuman perlu dikenakan kepada majlis itu sebagai pengajaran kerana sering kali bermain isu akidah dan hak-hak yang melibatkan sensitiviti Melayu dan agama Islam.

''Islam adalah benteng terakhir orang-orang Melayu. Jika sebelum ini soal Melayu yang dipersoalkan kita masih boleh mendongak dan menuding jari di antara satu sama lain.

''Kali ini soal agama. Walaupun Melayu kelihatannya berpecah-belah, tapi soal agama ia boleh membangkitkan perpaduan dan bakal mencetuskan persengketaan," katanya.

Menurut Fuad, Majlis Peguam yang berlatar belakangkan undang-undang sepatutnya tahu akan beberapa tindakannya sebelum ini telah melanggari peruntukan Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam.

Selain itu, katanya, Majlis Peguam juga telah membelakangkan keputusan kerajaan dan raja-raja Melayu yang telah mewartakan penggunaan kalimah Allah.

''Dakyah ke atas Muslim, pluralisme keagamaan dan usaha kesamarataan yang dilakukan Majlis Peguam ini perlu dihentikan.

''Oleh itu, perlu dikenakan tindakan tegas agar tidak lagi mencerobohi bidang keagamaan terutama agama Islam," katanya.

Tuesday, March 24, 2009

PILIH PEMIMPIN BERI HARAPAN 'MASA DEPAN' DAN TIADA KAITAN 'MASA SILAM'

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 24 Mac 2009 Muka 11)

PADA 25 Mac 2009 akan terungkailah persoalan rakyat mengenai jangka hayat UMNO sebagai wadah perjuangan ketamadunan Melayu dunia. Tarikh ini juga akan menentukan sama ada ia akan mengakhiri atau memanjangkan lagi krisis politik dan ekonomi Malaysia yang secara kebetulan, jatuh pada jangka masa yang sama.

PUTARAN GANAS KRISIS POLITIK DAN EKONOMI – SECARA KEBETULAN?

Sebenarnya, putaran ganas krisis politik berlaku setiap 10 tahun bermula sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 1946-1947, Datuk Onn Jaafar menentang kewujudan Malayan Union melalui UMNO yang baru ditubuhkan oleh beliau. Pada 1957: Sekali pun Malaya dimerdekakan namun keganasan komunis menjadikan rakyat musykil tentang status kemerdekaan tanah air.

Pada 1967-1969: Ketegangan antara kaum memuncak apabila jumlah kerusi ADUN Selangor terpecah sama rata antara BN dan parti pembangkang. 1974-1977: Revolusi mahasiswa menentang kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 1987: Pertandingan sengit antara Tun Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh sebelum UMNO diharamkan. 1997: Datuk Seri Anwar Ibrahim pemimpin kedua tertinggi UMNO dan kerajaan disingkir. 2008: Revolusi akar umbi dipelopori oleh NGO berlaku setelah kekalahan paling dahsyat UMNO-BN dalam sejarah 50 tahun merdeka, manakala pembangkang mengambil kesempatan atas kecelaruan politik dan ekonomi tanah air.

Senario 10 tahun putaran ganas juga berlaku dalam sektor ekonomi dunia. 2007: Kehancuran ekonomi kapitalis anjuran rejim Yahudi-Amerika akibat kenaikan harga minyak melampau. 1997: Ekonomi Asia tergugat setelah diserang penyangak mata wang George Soros. 1987: “Black Monday” memperlihatkan kerugian terbesar bursa-

bursa dunia ekoran daripada jual beli saham berlebihan. 1977: Ekonomi Amerika lembap menarik sama kebanyakan blok ekonomi ekoran daripada peperangan Vietnam.

Dunia pada ketika itu dipengaruhi oleh najis dadah serta budaya hippie sebagai alasan untuk mengalihkan generasi muda daripada isu pengangguran dan penyakit mental askar-askar peperangan Vietnam. 1967: Pound sterling Inggeris, mata wang dunia paling kukuh menjunam dan turut menjejaskan ekonomi dunia sehingga Presiden Indonesia ketika itu, Soekarno menganjurkan “Ganyang Malaysia” bagi mengalihkan pandangan rakyat ke luar negara.

Pada tahun yang sama, ASEAN ditubuhkan untuk menangani dan memaju pelbagai usaha politik, ekonomi dan sosial serantau.

Memang benar penganalisisan saya terhadap kronologi fenomena 10 tahun tersebut menarik namun sebagai seorang Islam, saya anggap ia adalah suatu kebetulan.

Apa yang lebih penting kejayaan dalam menangani krisis politik dan ekonomi di atas bergantung kepada gerak kerja efektif yang lahir dari barisan kepimpinan yang mempunyai kriteria ‘faktor-X’, berkredibiliti, berintegriti dan berintelektual tinggi.

STRATEGI BLUE OCEAN – FORMULA MEMULIH KEMBALI UMNO

Mengaitkan kandungan buku bertajuk Blue Ocean Strategy tulisan Kim and Mauborgne yang kini menjadi rujukan ramai pemimpin negara dan tokoh korporat dunia, UMNO yang sekian lama wujud dan matang dalam Red Ocean kini sudah sedia mewujudkan kekuatan baru di arena yang tidak terdaya disaingi parti-parti pembangkang.

(28 November 2009 : Gambar ini baru saya temui, rupa-rupanya Datuk Sri Najib juga minat membaca buku "Blue Ocean Strategy" juga).

Datuk Seri Najib perlu memimpin UMNO ke arah “mencari kekuatan melalui persamaan bukan persaingan” demi mewujudkan keharmonian antara hubungan rakyat-kerajaan sebagai mana penyedia perkhidmatan memenuhi cita rasa pelanggan dengan menyediakan keselesaan luar jangkauan.

Namun secara realitinya, UMNO terpaksa menghadapi pelbagai rintangan. Antara lain adalah krisis ekonomi dunia, asas perwakilan politik pelbagai kaum dan agama, kerakusan ramai calon pemimpin UMNO yang popular tetapi tidak berintegriti, golongan generasi muda yang menganggap UMNO sebagai parti dinosaur dan paling dahsyat adalah rasuah politik.

Oleh demikian pemilihan barisan kepimpinan UMNO serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada 25 Mac 2009 adalah suatu proses paling kritikal dalam sejarah penubuhannya.

Tetapi mungkin ramai perwakilan masih keliru dengan calon kepimpinan yang mana hendak dipilih.

Mengimbas kembali kata-kata Pengurus Kempen Barack Obama, Robert Fisk mengenai formula kemenangan mereka. Beliau menyatakan, presiden itu adalah pemimpin yang membawa harapan untuk “masa depan”.

Demi perubahan dan demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara, pilihlah dan sokonglah calon-calon pemimpin yang memberi harapan “masa depan” dan yang tiada kaitan dengan “masa silam”.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Monday, March 23, 2009

PROWARIS PRESIDENT'S STATEMENT IN RELATION TO UMNO ELECTION ON 25 MARCH 2009

Bismillahirrahmanirrahim.

You will see the work that we have critically structured with the support of Allah SWT to defeat EVIL due to their wrong doings towards ummah in the Pemilihan UMNO 2009. Pak Lah, the weakest Malay leader in the last 50 years will be removed.

Thank you for praying to Allah so that TS Muhyiddin and Datuk Mukhriz will win against their contenders.

Please also pray so that the "hard core" and "diehard" leaders and supporters of the EVIL GROUPS to come to their senses to return to Allah and Islam. May they realise that their likings towards titles, power, positions, money and women that they are chasing for in this life is temporary, cheap and ugly in the eyes of Allah.

Tell them to leave their positions and give way for the faithful Malay professionals who uphold the Malay and Islamic agendas to replace them.

Bertaubatlah!

FERIZ OMAR
President
ProWaris Malaysia

Sunday, March 22, 2009

MUHYIDDIN, NAJIB GANDINGAN SERASI

MINGGUAN MALAYSIA - ARKIB BERITA: AHAD, 22 MAC 2009
KUALA LUMPUR 21 Mac - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan gandingan paling serasi menerajui hala tuju parti dan negara pada masa hadapan.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, Muhyiddin merupakan calon terbaik digandingkan dengan Najib bagi membawa perubahan dan harapan baru kepada parti serta negara.

Katanya, beliau mempunyai pengalaman yang luas memimpin parti dan mampu membantu Najib sebagai pemimpin nombor satu negara dan parti kelak.

''Selain itu, Muhyiddin juga seorang yang berpengalaman dan mempunyai bidang kemahiran khusus dalam pentadbiran ekonomi dalam dan luar negara.

''Ini akan membantu Najib berhadapan dengan tekanan ekonomi yang dialami negara di samping memacu perjalanan hala tuju parti,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin dalam satu kenyataan menerusi akhbar berbahasa Inggeris memberitahu yang beliau merupakan calon yang tepat dan saling melengkapi jika digandingkan dengan Najib menerajui kepimpinan parti dan negara akan datang.

Menurut Feriz, Muhyiddin juga seorang pemimpin yang agresif dan sesuai untuk memimpin parti bersama-sama Najib menzahirkan aspirasi generasi muda hari ini.

''Orang luar UMNO terutama orang muda mahukan parti ini membuat perubahan secara agresif dan menzahirkan aspirasi rakyat secara lantang.

''Jika kedua-duanya agresif dan serasi, diharap dapat membuahkan hasil, khususnya menarik semula keyakinan rakyat kepada parti ini menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak,'' ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat, Muhyiddin merupakan calon yang tepat untuk digandingkan dengan Najib bagi menerajui hala tuju parti tersebut akan datang.

Katanya, gandingan favourite ini bakal mencetuskan fenomena dan momentum baru dalam usaha memartabatkan hala tuju perjuangan parti dan negara.

''Keyakinan ini bukan sekadar persepsi dan perspektif dari kaca mata politik, malah mengambil kira aspek keupayaan pentadbiran, kepimpinan dan pengalaman kedua-dua tokoh tersebut.

''Saya mengatakannya serasi kerana Muhyiddin mempunyai latar belakang, keupayaan dan pengalaman yang luas dalam aspek pentadbiran ekonomi, manakala Najib mempunyai nilai dan etika kepimpinan serta pengalaman politik yang luas,'' katanya.

Menurut Ahmad Atory, negara kini berhadapan dengan dua masalah yang perlu diselesaikan iaitu berkenaan politik dalaman dan kelembapan ekonomi sejagat.

''Oleh itu, kearifan dan kepakaran Muhyiddin yang juga bekas Menteri Besar Johor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat korporat akan membantu meringankan beban Najib menyelesaikan permasalahan yang dihadapi negara,'' katanya.

Tuesday, March 17, 2009

ISU PPSMI - BAHASA MELAYU TETAP UNGGUL

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 17 Mac 2009 Muka 10)

Tunjuk perasaan jalanan terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) minggu lalu telah memaksa saya menyelami perjuangan mengenai isu ini.

TUNJUK perasaan jalanan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) minggu lalu telah memaksa saya menyelami perjuangan mengenai isu ini.

Memang benar, sekalipun Matematik dan Sains adalah dua mata pelajaran sahaja tetapi kedua-dua mata pelajaran itu adalah asas kepada pelbagai pecahan ijazah serta sijil profesional seperti kejuruteraan, perubatan, arkitektur dan sebagainya. Apa yang ditakuti adalah apabila bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ilmu ketamadunan Melayu dunia.

Namun demikian, ramai juga rakyat merasakan niat murni kerajaan dalam PPSMI patut diteruskan dalam membentuk serta menyiapkan bangsa yang mempunyai tahap survival tinggi demi memudahkan ia bersaing di pentas dunia.

Bagi saya ini adalah dua cadangan yang perlu dipertimbangkan sebijak mungkin kerana PPSMI adalah suatu saranan yang bernatijahkan kebaikan namun ditentang sebilangan rakyat Malaysia.

Jika kita kaji usaha pembangunan e-book digital dunia di peringkat akhir yang diusahakan syarikat Amazon.Com, kita akan dapati buku berbentuk digital bakal mengambil alih percetakan buku masa hadapan.

Struktur percetakan buku di peringkat global juga menunjukkan martabat golongan penterjemah bahasa diangkat menjadi golongan terpenting yang memegang amanah utama untuk membawa generasi masa hadapan memenuhi ilmu di luar jangkauan.

Oleh demikian, persoalan mengenai sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia sudah pun terjawab sebenarnya! Kedua-duanya masih relevan selagi golongan penterjemah bahasa Melayu dan Inggeris terus wujud, masih belum malas, masih boleh menaip dan masih boleh dipertanggungjawabkan.

Yang kesalnya, tindakan tunjuk perasaan jalanan dirasakan agak keterlaluan sedangkan semua tahu bahawa keputusan kajian mengenai isu PPSMI sedang dirumuskan oleh pihak kerajaan. Untuk menyedapkan hati, biarlah saya yakin ia didalangi pihak pembangkang.

KRISIS EKONOMI PALING DAHSYAT SEJAK PERANG DUNIA KEDUA

Pada hari Jumaat lalu, Indeks Komposit Bursa Malaysia (KLCI) terus menjunam di bawah 850 mata, suatu tahap yang amat rendah sejak tahun 2006. Sekalipun saya masih tidak setuju dengan kebanyakan rakyat meletakkan KLCI sebagai indeks kedudukan ekonomi Malaysia, namun indeks ekonomi lain seperti peratus pertumbuhan ekonomi, KDNK, indeks pengguna dan pelaburan asing langsung (FDI), juga rata-rata menunjukkan ekonomi Malaysia sudah berada di tahap zon kritikal.

Ini terbukti setelah Datuk Seri Najib mengisytiharkan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua Malaysia, disusuli pula dengan tindakan Perdana Menteri Jepun minggu lalu yang mengeluarkan arahan untuk menyiapkan Pakej Rangsangan Ekonomi Jepun Ketiga. Senario ekonomi kini diistilahkan Jepun sebagai ‘krisis ekonomi paling genting selepas Perang Dunia Kedua’.

Kenaikan harga minyak saranan Iran melalui OPEC sememangnya berjaya membuat rejim Amerika-NATO terkedu terhadap cadangan tindakan untuk menyerang Iran; negara yang dituduh Bush memiliki senjata pemusnah nuklear. Sekalipun cadangan Iran itu adalah untuk sementara, namun kesannya berjaya menghancurkan empayar ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi bukan sahaja di Amerika tetapi juga menarik jatuh sama blok-blok ekonomi lain. Ini kerana sistem ekonomi kapitalis termasuk sistem perdagangan bebas WTO/AFTA sudah berakar umbi di serata dunia.

Ternyata dakwaan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap penyangak matawang Soros sekitar 1997-1998 membuatkan saya begitu yakin bahawa sistem kapitalis akan musnah seperti sistem ekonomi sosialisme dan komunisme.

Membuat keuntungan daripada sistem tukaran asing melalui ‘spekulasi serta ramalan’ adalah haram. Konsep sistem kewangan Islam yang bersandarkan aset secara realitinya adalah hakiki dan kini dibuktikan kebal daripada mana-mana krisis ekonomi.

Buka-bukalah mata, sekalipun kita berdiri megah sebagai pusat kecemerlangan sistem kewangan Islam dunia, Malaysia masih lagi belum terlepas daripada krisis ekonomi kerana kebanyakan sistem ekonomi kita dipengaruhi kuat oleh ‘spekulasi serta ramalan’ terutamanya dalam jual-beli saham dan komoditi, kadar penetapan pembiayaan kewangan dan harga bon-bon terbitan, kelulusan pembiayaan perbankan dan keputusan untuk menentukan harga minyak.

Selagi sistem ekonomi Malaysia tidak bersandarkan pada realiti dan kewujudan sebenar, selagi itulah kita tidak akan merdeka dan sentiasa terjerumus bersama setiap kali berlakunya krisis ekonomi dunia.

Secara ringkasnya, banyak lagi perlu kita lakukan untuk menghadapi krisis ekonomi dunia, tetapi sebaliknya kita masih lagi khayal berseronok melayan kerenah politik negara. Krisis ekonomi paling dahsyat selepas Perang Dunia Kedua sudah pun tiba dan tidak lagi dapat kita elakkan bak kata pepatah Melayu, ‘membujur lalu melintang patah’.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Wednesday, March 11, 2009

KRITERIA PEMIMPIN: INTEGRITI VS POPULARITI (Unedited Version)

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 10 Mac 2009 Muka 10)

Dalam perbincangan saya bersama tokoh-tokoh politik, cendekiawan dan pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) di Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 26 Februari lalu, saya mengambil kesempatan untuk mengupas kecenderungan rakyat Malaysia yang sudah mula meletakkan integriti pemimpin-pemimpin sebagai kriteria nombor dua selepas populariti.

Secara realiti pada hari ini, ramai antara kita tidak lagi boleh mencongak kedudukan terakhir kecelaruan politik Malaysia. Jerebu kekeliruan yang tebal anjuran pelbagai media sesekali membuat kita sesak dada dalam mengikuti arus perkembangan politik negara.

Ternyata, King Makers boleh menjadikan seseorang pemimpin itu popular biarpun pemimpin itu mempunyai masalah integriti yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Gara-gara inilah, rakyat kini mudah mual melihatkan liputan melampau ke atas sesetengah pemimpin sehingga boleh menjadikan kita malas membaca atau menonton propaganda media.

Mujur bagi kita yang mempunyai ‘mata hati yang tajam’ mengetahui hakikat sebenar bahawa pemimpin-pemimpin yang lebih menonjol di dada akhbar ataupun media elektronik sebegini tidak semestinya menjadi calon lebih hebat berbanding pemimpin-pemimpin yang jarang mendapat liputan media.

MEMBINA MATA HATI YANG TAJAM

Sempena Maulidur Rasul 1430H semalam, mari kita imbas kembali senario peperangan Badar yang merupakan peperangan pertama golongan kafirun dan Islam.

Bayangkanlah betapa payahnya Nabi Muhammad SAW dan para sahabat mengumpulkan kekuatan tentera pada ketika Islam masih baru di bumi Arab.

Tentera kecil Islam seramai 313 orang adalah tentera yang mempunyai ‘mata hati yang tajam’ dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT sehingga berjaya mengalahkan ribuan gerombolan askar kafirun.

Begitu jugalah hendaknya Melayu UMNO sempena pemilihan hujung Mac 2009 nanti. Yakinlah dan sedar-sedarlah bahawa Allah Yang Maha Pencipta sebenarnya masih baru lagi berbicara melalui junjungan Nabi Muhammad SAW pada 610 Masihi iaitu hanya lebih kurang 1,400 tahun yang lalu melalui lima ayat pertama Iqra’ bermaksud ‘Bacalah’ yang sebenarnya disasarkan juga kepada golongan cerdik pandai untuk memimpin ummah.

Dalam membina keyakinan kepada Allah dan mengasah ‘mata hati yang tajam’, ayat 3 surah Al-Maidah juga jelas menunjukkan Allah SWT menyeru umat Islam untuk yakin beriman hanya kepada-Nya dengan berfirman, Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agama mu, dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagi mu.

Dengan merumuskan kedua-dua ayat suci al-Quran ini, kembalilah kepada Allah dan Islam! Ingatlah bahawa peraturan hidup kita di muka bumi ini telah diatur dengan sempurna melalui al-Quran, Hadis dan Sunnah, Ijma’ serta Qiyas.

Atas keyakinan ini juga, insya-Allah kita sebagai golongan cerdik pandai yang dipilih untuk memimpin ummah akan diberikan-Nya lorong jelas untuk memperolehi ‘mata hati yang tajam’, insya-Allah.

INGATLAH PEMIMPIN ADALAH IKON INTEGRITI RAKYAT

Rencana tulisan saya bertarikh 24 Februari yang lalu ada menyentuh kes-kes skandal seks Presiden Bill Clinton di Amerika Syarikat dan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek di Malaysia sebagai bukti kepincangan sistem demokrasi anjuran rejim Amerika Syarikat yang berleluasa di serata dunia.

Sistem demokrasi suara rakyat kini telah menghalalkan semua cara menurut kehendak manusia untuk mengetepikan persoalan integriti pemimpin sehingga melanggar falsafah pegangan agama-agama dunia, terutamanya Islam.

Seorang pemimpin yang berkerjaya sebagai ahli politik perlu sentiasa ingat bahawa dia adalah public figure (personaliti awam) yang secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai public property (hak awam) yang mana setiap tutur kata, tingkah laku dan cara hidup pemimpin tersebut sentiasa dipantau lantaran terdedah kepada kritikan rakyat terhadap integriti pemimpin.

Justeru, rakyat sememangnya berhak untuk mengkritik tentang kemungkinan terdapat unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam isu-isu berbangkit.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Sunday, March 8, 2009

Kursus Waja Diri Puteri UMNO Pasir Gudang

Kursus Waja Diri Puteri UMNO Pasir Gudang

August 3, 2009
Dari http://www.umnopg.com.my/2009/08/770

Puteri UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG melalui Biro Belia & NGO, Biro Penerangan dan Pelajaran telah menganjurkan Kursus Waja Diri 3 hari 2 malam pada 31 Julai hingga 2 Ogos di Tunjuk Laut, Tanjung Leman.

Kursus dikendalikan oleh DZN Consultant ini telah membabitkan seramai 93 orang Puteri dan Belia kawasan Pasir Gudang. Tidak ketinggalan 2 buah institut Pengajian iaitu Kolej Komuniti Pasir Gudang dan Yayasan Pelajaran Johor telah menyertai kursus ini.

Program berkonsep ketahanan, keselamatan, kepimpinan, ketuhanan dan kenegaraan ini disusun bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat waja dalam mempertahankan negara.

Seawal malam pertama, peserta telah diuji dengan Kembara Malam apabila perlu melalui tepian hutan pada malam pekat.

Pada hari kedua ketahanan fizikal dicabar dengan teknik mengapungkan diri dilaut, menuruni lurah, panjat tiang, merangkak dalam terowong, melalui kawat duri dan sebagainya.

Kursus ini telah mendapat kerjasama daripada Belia 4B Kawasan Pasir Gudang yang telah menjemput Pengasas ProWaris, saudara Feriz Omar yang telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai kepimpinan muda.

Pihak JASA Parlimen Pasir Gudang juga telah menjemput turun penceramah JASA iaitu Ustaz Azmi Madon yang telah mengupas mengenai 1 Malaysia. Sementara Majlis Keselamatan Negara selaku penaja terbesar En Najib Dawod telah meniup semangat patriotisme.

Bagi pihak Puteri UMNO Bahagian mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Bersama Puan Zurina Hassan, Cik Nurain Hj Abd Rahman dan Cik Siti Aminah Mahat yang telah berusaha bagi menjayakan program ini, dan kepada Ketua Puteri, Naib Ketua Puteri dan semua jawatankuasa yang terlibat telah memberi kerjasama bagi memastikan kelancaran program ini. Tahniah!

Tuesday, March 3, 2009

MAHASISWA ISLAM PERLU FAHAMI KONSEP KEUTAMAAN


UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 3 Mac 2009 Muka 10)




KETERBATASAN MAHASISWA BANTUT KEPIMPINAN MASA DEPAN ?

Simposium Mahasiswa Islam 2009 (SIDANA ‘09) yang diadakan di Universiti Malaya pada hari Sabtu, 28 Februari 2009 lalu telah menarik ratusan kepimpinan mahasiswa dari seluruh negara. Dalam mengimbangi kecelaruan politik negara di luar kampus dan juga penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang ketat, program perbincangan intelektual aman sebegini sepatutnya mendapat perhatian penuh kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan sekurang-kurangnya menghantar wakil pengurusan tertinggi ke majlis perasmian SIDANA 09 yang lalu.

Ini sebenarnya cabaran kali ke-4 yang saya terima untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa di kampus di bawah tajuk perbandingan “Mahasiswa Luar Negara dan Mahasiswa Dalam Negara.”

Jemputan saya untuk mewakili kepimpinan NGO-NGO Malaysia telah saya guna sebaik-baik mungkin untuk berkongsi ilmu dalam merungkai pelbagai isu yang membelenggu warga kampus semua universiti di Malaysia.

Harapan ikhlas saya adalah untuk melihat mahasiswa-mahasiswi negara terus diwakili oleh kepimpinan yang mempunyai critical mind dan tidak mudah dimanipulasikan atau ditunggang oleh kepimpinan politik luar kampus.

ISLAM, JAWAPAN KEPADA SEMUA KEKELIRUAN

Hari ini begitu ramai pemimpin Melayu yang menyeru bangsa Melayu untuk bangkit dan mencapai wawasan-wawasan besar seperti pembentukan personaliti agung (towering personality), memartabatkan ketuanan Melayu dan sebagainya.

Memang benar mereka cuba menjadi pemimpin-pemimpin Melayu yang idealis namun seingat saya, sewaktu berdialog bersama pemimpin-pemimpin begini, persoalan asas yang saya duga seperti “Siapakah aku seorang Melayu?" masih lagi gagal dijawab mereka dengan baik.

Kegagalan untuk menjawab persoalan fundamental seperti itu adalah jawapan mengapa permasalahan hari ini berlaku. Sudah terang lagi bersuluh. Permasalahan hari ini berpunca daripada isu jati diri dan isu roh yang lemah. Apabila roh lemah, kita mudah dilanda kekeliruan dan ramai juga yang mengambil kesempatan. Sebaliknya apabila roh kita kukuh, biar dilanda pelbagai cabaran sekalipun, Melayu dan Islam tetap utuh.

MELAYU DAN ISLAM PERLU BERSATU

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita Ehud Olmert dari parti Kadima yang diangkat menjadi Perdana Menteri Israel sekalipun jumlah peratusan undi rakyat yang diperolehnya kurang satu peratus daripada parti yang sebenarnya meraih undian terbesar pada pilihan raya umum Israel yang lalu.

Dalam situasi sama pada tahun 1969, Parti Perikatan yang diketuai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak berjaya mentadbir Pulau Pinang sekalipun kalah dalam pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri setelah parti Gerakan yang diterajui oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Atas membuat keputusan untuk menyertai Perikatan.

Kedua-dua senario ini dicapai atas kata sepakat parti-parti bukan komponen kerajaan yang masih mahu wawasan bangsa dan agama dicapai sekalipun mereka memegang manifesto perjuangan yang sedikit berbeza.

Dalam kecelaruan politik hari ini, Melayu dan Islam juga perlu bersatu agar kita terus dapat memastikan isu-isu negara berada dalam ruang lingkup yang masih boleh dikawal. Adalah menjadi amanah kita juga sebagai kepimpinan muda untuk merancakkan usaha mencari persamaan dan bukannya perbezaan agar bangsa Melayu dan agama Islam bersatu di Malaysia.

Tetapi dalam keadaan kita perlu bersatu, ada juga yang tergamak menganjurkan perbahasan terbuka semata-mata untuk meraih populariti.

GERAK KERJA KEPIMPINAN EFEKTIF

Kepimpinan mahasiswa di kampus dan parti-parti politik perlu mengkaji visi, aspirasi dan kerangka gerak kerja efektif yang menjadi driving force kepada tindak balas NGO-NGO terhadap permasalahan masyarakat.

Selain daripada berjuang berpandukan al-Quran, Hadis dan Sunnah, Ijma’ serta Qiyas, terdapat empat prinsip gerak kerja yang saya amalkan dan boleh diguna pakai dalam perjuangan kepimpinan muda.

Pertamanya, Islam adalah agama syumul yang cukup lengkap mengatur cara politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Kedua, keutamaan hidup adalah mendahulukan (i) Allah; (ii) diri sendiri; (iii) keluarga; (iv) jiran, sahabat dan saudara mara; dan (v) masyarakat. Ketiga, memegang keyakinan tinggi bahawa Allah jualah yang sebenar-benarnya memberikan rezeki. Keempat, laksanakan amanah dan tanggungjawab seperti tiada hari esok.

Dalam prinsip gerak kerja kedua, keutamaan seorang mahasiswa dalam pendidikan jatuh dalam kategori keutamaan untuk diri sendiri. Ini bermaksud, sekiranya pemimpin mahasiswa itu tidak cemerlang dalam pelajarannya maka dia tidak layak untuk mengutamakan orang ramai yang dipimpinnya.

Fikir-fikirkanlah, ramai juga pemimpin mahasiswa masa kini yang tidak memahami konsep keutamaan ini. Sebagai contoh, graduan yang keluar universiti, pandai-pandai terjun ke arena politik mendahulukan masyarakat, sedangkan belum lagi masuk ke dunia kerjaya sebenar dan memperoleh pendapatan kukuh untuk menyara keluarga.

Tidak kira sama ada kita belajar di institusi mana sekalipun tetapi jika pendidikan awal tidak diasuh dengan pendidikan agama Islam dan sejarah bangsa Melayu dan Malaysia, maka pemimpin yang kita lahirkan akan memakan diri, menjual negara dan mengamalkan strategi ‘politik gila-gila’ !

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)