Wednesday, April 15, 2009

UTUSAN MALAYSIA : AMBIL TINDAKAN AKTA HASUTAN – NGO

KUALA LUMPUR 14 April - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan ke atas Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar kerana mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan. Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, amalan politik jalanan yang cuba diterapkan oleh Pas boleh menyebabkan perpecahan. "Pihak berkuasa perlu menyiasat kenyataan ini.

Apa tujuan dia (Kamaruddin) mengeluarkan kenyataan senario politik di Thailand mungkin berlaku di Perak. "Jika terbukti kenyataan seperti itu mempunyai asas untuk menghasut rakyat supaya melakukan kekacauan ambil tindakan keras di bawah Akta Hasutan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Osman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kamaruddin dalam lidah rasmi Pas, Harakah Daily yang berbaur ugutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lidah rasmi parti tersebut Ahad lalu menyiarkan kenyataan Kamaruddin yang mendakwa, tidak mustahil rakyat Perak akan melakukan rusuhan seperti di Pattaya, Thailand, jika Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan tidak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin kanan Pas itu semalam, menyifatkan kenyataan Kamaruddin itu sebagai tidak bertanggungjawab, provokasi dan satu hasutan.

Turut mendesak tindakan yang sama diambil ke atas Kamaruddin ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar. Katanya, kenyataan Kamaruddin tersebut sebagai isyarat supaya penyokong Pas melakukan rusuhan di Perak.

Feriz dalam pada itu turut menyelar Kamaruddin kerana mengeluarkan kenyataan tidak berlandaskan fakta berhubung proses pembubaran DUN negeri Perak. Katanya, urusan untuk membubarkan DUN adalah kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan bukannya Perdana Menteri. "Janganlah demi kepentingan politik menafikan fakta dan mengeluarkan bayangan rusuhan mungkin berlaku. "Kalau Sultan tidak mahu DUN dibubarkan, maka mereka perlu tunggu Pilihan Raya Umum Ke-13," jelasnya. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berharap keselamatan rakyat dan negara tidak diperjudikan demi kepentingan politik.

Menurutnya, Pas tidak perlu mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Perak. "Saya percaya senario di Thailand tidak akan berlaku di Perak kerana asas politik kita berbeza. Saya fikir rakyat negara ini memilih keharmonian," katanya.

No comments: