UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 7 April 2009 Muka 10)

Upacara tersebut jatuh pada Jumaat, hari yang mulia buat umat Islam. Saya begitu terharu kerana peristiwa bersejarah itu ditakdirkan Allah SWT jatuh pada tarikh ulang tahun saya yang ke-38. Ternyata ia adalah hadiah istimewa buat saya, ProWaris, sahabat-sahabat NGO Melayu serta para bloggers yang berjuang sekian lama tatkala UMNO berada dalam serba “keterbatasan” untuk bertindak sebagai barisan pertahanan pertama bangsa Melayu dan Islam.
ProWaris yang telah berjuang selama lapan tahun sejak 2001 sentiasa memenuhi saf pertama dalam memastikan Agenda Melayu dan Islam terbela, tercapai dan terus terpelihara. Bagi kami, hak perjuangan Agenda Melayu bukannya 100 peratus hak mutlak UMNO. Perjuangan Agenda Islam adalah bukan 100 peratus hak mutlak Pas dan perjuangan menuntut keadilan adalah bukan hak mutlak Parti Keadilan Rakyat.
ProWaris mula lantang pada 2003 agar profesional Melayu tidak “terkebelakang” dalam mengharungi cabaran globalisasi dan bertindak sebagai katalis ekonomi negara.
Pada 2004, ProWaris mencadangkan pen- strukturan semula operasi dan kewangan Penerbangan Malaysia kerana MAS pernah diiktiraf sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia dengan majoriti pekerja dan pemegang sahamnya adalah Melayu. Tahun 2006, seluruh Malaysia dikejutkan apabila ProWaris membangkitkan isu keretakan jambatan MRR2; risiko nyawa dan kemungkinan berlakunya penyelewengan – sehinggakan MRR2 ditutup untuk pembaikan dan penyiasatan.
Pada 2007, Profesional Melayu berpadu tenaga menghasilkan 20 Tuntutan ProWaris-Mapan terhadap Iskandar Malaysia melalui Buku Merah-Hitam demi mempertahankan hak bangsa Melayu, kesucian agama Islam, kedaulatan negara serta institusi raja di Malaysia.
Sekalipun telah dipersembahkan berkali-kali dengan penuh berhemah, usaha kami tidak dilayan oleh pucuk pimpinan negara. Sejak saat itu, kami berpendapat kepincangan pentadbiran negara sudah mencapai tahap kritikal sehingga diterjemahkan rakyat dalam PRU12 dengan kekalahan paling dahsyat BN-UMNO dalam sejarah 51 tahun merdeka. Senario itu telah dijangka awal-awal lagi oleh ProWaris melalui kajian “protes rakyat” sebelum pilihan raya.
Teras gerak kerja ProWaris terhadap isu-isu ini sentiasa dipasak oleh integriti roh Melayu profesional dan Islam yang kukuh. Kukuh kerana berjuang menurut fakta. Fakta yang begitu padat. Padat dengan analisis, akta perundangan dan statistik terperinci. Terperinci namun dipermudahkan melalui hujah yang jelas lagi efektif. Faktor inilah yang menarik ramai teman seperjuangan lain yang mahukan perubahan sekali gus tidak terus alpa dengan kelemahan pemimpin. Di sinilah bermulanya gerakan akar umbi melalui revolusi NGO-NGO Melayu.
ProWaris pernah diiktiraf Pas sebagai “pasukan elit Islam” yang profesional lagi berani, manakala sebilangan besar Melayu lain pula mengaitkan ProWaris sama seperti kumpulan “Selendang Merah” yang bangkit pada zaman 13 Mei 1969.
Tidak ramai tahu bahawa ProWaris pernah dikecam hebat sebagai “mencari publisiti murah”, pernah diugut oleh mereka yang bencikan perubahan, laman web rasmi juga pernah digodam dan pernah dikejar sehingga ke Mersing sewaktu menuntut peralihan kuasa disegerakan. Pengalaman yang paling memalukan adalah apabila saya sendiri dihalau keluar dari studio TV sewaktu siaran langsung program ulasan PRU12. Namun, inilah adat berjuang bak kata pepatah, kita perlu “tegak pada yang datar, berpegang pada yang benar”.
INI SUARA MUDA MEWAKILI 70 PERATUS PENGUNDI MALAYSIA!
Sebagai sebuah NGO yang memantau kedudukan UMNO-BN dari luar, kami yakin Najib-Muhyiddin tidak akan mempersia-siakan jerih-perih, ratapan-tangis, perahan minda, doa-zikir, waktu dan wang yang rakyat korbankan supaya transformasi politik ini berlaku. Memandangkan masa yang singkat, Najib dan Muhyiddin perlu menggunakan kuasa secekap mungkin agar momentum terbina hingga tercapainya kejayaan pada PRU13 kelak.
Antara perkara perlu dilaksanakan ialah merealisasikan segera janji struktur “Rak yat-Parti-Kerajaan”, memilih menteri Kabinet di kalangan individu yang mempunyai roh Islam murni, bijaksana, tidak dibenci rakyat, bersih rasuah serta berintegriti tinggi biarpun tidak begitu popular.
Selain itu, selesaikan isu sebilangan Pemuda UMNO yang menafikan ucapan Presiden pada Mesyuarat Agung 2009; buru dan perkenalkan dari sekarang ikon-ikon pemimpin muda yang boleh mewakili rakyat di bawah 40 tahun (70 peratus suara pengundi Malaysia) dan pergunakan kekuatan NGO dan bloggers yang membantu proses transformasi politik agar mereka turut sama memulihkan kecelaruan politik dan ekonomi negara bagi mengelakkan kesan ‘boomerang’ jika mereka diabaikan.
Pastikan pembentukan roh dan jati diri Islam di kalangan ahli UMNO secara berterusan.
Penyerahan pentadbiran kepada NajibMuhyiddin adalah bukti berakhirnya satu lagi tugas ProWaris. Sekalipun demikian, bagi kami ia juga adalah titik permulaan sebuah perjuangan Agenda Melayu dan Islam supaya ia “tidak terdaya dicabar” oleh sesiapa pun selepas ini !
FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)
2 comments:
Tersebutlah kisah palsu yang direka-reka untuk memanaskan lagi senario politik negara,sumber dari akhbar tabloid Harian Meloya yang selalu mengeluarkan kenyataan lain dari apa yang diucapkan oleh yang ditemuramah, dipetik sebagai berkata:
Betapa para pembangkang kini sedang giat membela dan berasa simpati akan nasib si KJ apabila seolah-olah tidak diiktiraf oleh pucuk kepimpinan tertinggi dek kerana langsung tidak ditempatkan dalam kabinet, sedangkan naib presidennya, si Razali dan pesaingnya, si Mukhriz dapat jadi timbalan menteri.
Ada seorang wakil pembangkang yang tercalit kotor longkang ini turut bersuara mempertikaikan kabinet baru tanpa jurucakap PPSMI agung mereka iaitu si KJ, akan mencerminkan imej Datuk Najib dan UMNO sebagai pengkhianat bahasa Melayu.
Si KJ yang sejak awal tidak menyokong dasar PPSMI telah menyatakan itu dengan jelas dan terang dalam artikel yang beliau tulis dan diterbitkan dalam media Inggeris terkenal The New Straits Times pada 30 Nov 2008.
Ada juga ura-ura pelesu dan palsu mengkhabarkan bahawa di akhir kerjaya politik si KJ,
perasuah terkemuka dan popular ini mungkin akan lompat parti dan join si Anwar Ibrahim, bekas tok gurunya suatu ketika dulu. Mungkin ini boleh berlaku kerana si KJ dan rakan-rakan munafiknya yang sebelum ini bersikap menyondol-nyondol main redah untuk maju ke depan ala-ala gaya babihutan berasakan mereka semakin jauh dari puncak goal idaman mereka serta tersekat untuk mencapai cita-cita dengan jalan 'short cut' nya dalam UMNO walaupun menjawat jawatan Presiden Pemuda.
Yang jelas, jawatan je ada, tapi tak berkuasa.
Persoalan dari wartawan Harian Meloya: Adakah bekas tok gurunya akan berdendangan melambai
welcome si KJ dan 304 penyokong munafiknya itu? Oh, jawapan yang Harian Meloya terima: Sudah
150% tentu! Ini kerana rentak tarian yang mereka mainkan selama ini pun memang dah serupa. Tarian si KJ senada dan seirama bak sehati berdansa dengan pihak pembangkang dalam memperkatakan isu PPSMI.
Kuang! Kuang! Kuang!
Itulah lawak paling lesu dan kertu yang dikeluarkan oleh Harian Meloya pelesu pada abad ini.
Assalamualaikum..
Teruskan Perjuangan Saudara Feriz! Semoga Perjuangan Suci Ini Akan Mendapat Keberkatan Di Dunia Dan Di Akhirat Kelak..
Abdul Qaiyum Borhan
Post a Comment