Thursday, April 16, 2009

UTUSAN MALAYSIA : KAMARUDDIN PERTAHAN KENYATAAN

KUALA LUMPUR 15 April - Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar mempertahankan kenyataannya bahawa rusuhan berdarah di Pattaya, Thailand baru-baru ini mungkin berlaku di Perak jika Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan segera.

Pada masa sama, beliau turut menafikan kenyataannya itu sebagai satu bentuk hasutan yang bertujuan menimbulkan huru-hara di Perak.

"Kenyataan itu bukan bertujuan menghasut kerana saya tidak menyuruh penyokong Pas turun ke jalanan membuat rusuhan.

"Saya hanya menyuarakan pandangan agar DUN Perak segera dibubarkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kamaruddin mengulas kecaman dan kritikan kepadanya selepas mengeluarkan kenyataan yang disifatkan banyak pihak sebagai berbaur ugutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Kenyataan beliau yang disiarkan dalam lidah rasmi Pas, Harakah Daily Ahad lalu mendakwa, rusuhan seperti di Pattaya mungkin berlaku di Perak sebagai manifestasi kemarahan rakyat ekoran kerajaan pilihan mereka disingkirkan.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pemimpin kerajaan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disifatkan cuba membawa budaya politik jalanan.

Mengulas kecaman dan kritikan itu, Kamaruddin berkata, beliau menerima dengan lapang dada jika pandangannya tidak dipersetujui tetapi untuk mendakwa beliau di bawah Akta Hasutan adalah tidak adil.

No comments: