Wednesday, May 20, 2009

GURU, BELIA AGEN KEJAYAAN 1 MALAYSIA

WAKTU kecil dahulu, ibu saya sentiasa berpesan agar saya mencari jalan untuk merebut saf hadapan setiap kali ke masjid. Namun, sering juga saya dihalau ke belakang oleh qariah dewasa yang datang lewat semata-mata untuk mengambil tempat saya di hadapan. Alasan kononnya kanak-kanak yang belum berkhatan adalah ‘najis’ dan sepatutnya memenuhi saf khas untuk kanak-kanak di belakang adalah salah dan ternyata, "khurafat"!

Ketika Ibn Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah SAW bersolat dan memegang telinga atau kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi baginda. Kata Ibn Abbas: "Rasulullah bangun bersolat malam. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda. (Riwayat al-Bukhari).

Malangnya, budaya masjid di Malaysia gagal berfungsi sedemikian rupa dan kurang mesra terhadap remaja dan kanak-kanak. Atas alasan ini, sesetengah kanak-kanak dan remaja berasa kurang senang dengan layanan orang masjid, takut dimarahi jika tersilap lantas terdorong untuk ke pusat-pusat hiburan yang sudah pastinya memberi layanan lebih mesra dan menyediakan suasana yang selesa kepada mereka.

Begitu juga dengan pandangan orang-orang dewasa terhadap belia pada hari ini. Sememangnya orang-orang dewasa tidak boleh meminggirkan Belia Malaysia seperti meletakkan mereka di saf khas. Sebaliknya, Belia Malaysia perlu terus diberi perhatian penuh dan dibimbing agar mereka dapat berdiri di saf yang sama. Barisan kepimpinan hari ini juga perlu mengakui bahawa mereka hanyalah pemegang ‘amanah’ untuk mentadbir Malaysia bagi pihak generasi negara masa hadapan. Oleh itu, pihak kerajaan dan belia tidak boleh terpisah malah suara belia perlu terus didengar dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Sesiapa juga jika ditanya mengenai apakah keutamaan sebagai seorang belia? Jawapan jujur mereka adalah untuk melihat ekonomi Malaysia terus stabil agar mereka mampu menjana rezeki berterusan untuk keluarga tercinta. Saya yakin bahawa tidak ada kumpulan pemikir dari kerajaan lain yang mampu melaksanakan formula pertahanan ekonomi efektif yang mana pada hari ini, Malaysia berjaya diselamatkan dari krisis ekonomi dunia paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua. Buktinya, Komposit Indeks Bursa Malaysia (KLCI) juga telah menunjukkan lantunan positif sejak kepimpinan barisan baru UMNO mengambil alih dan aliran pelaburan asing langsung (FDI) yang kian bertambah. Dalam keadaan ekonomi Malaysia yang agak eksklusif ini dan disertakan pula dengan pelbagai pakej rangsangan yang ‘wajib’ dibelanjakan, Belia Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk bergerak maju dalam perniagaan atau segera memenuhi pekerjaan-pekerjaan baru yang diwujudkan melalui pelaburan FDI.

Selain ekonomi, keharmonian negara yang dibina lebih 5 dekad lamanya adalah aset terpenting kemakmuran Malaysia. Rakaman pengalaman saya bersekolah di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Johor Bahru antara 1983-1988 adalah pengalaman ‘1 Malaysia’ yang tidak dapat saya lupakan. Sekalipun kini 20 tahun sudah berlalu, English College masih cemerlang dalam pendidikan dan sukan berpaksikan kekuatan kepelbagaian bangsa dan agama.

Seingat saya, suasana kepelbagaian inilah memaksa kami ‘mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan’ sehingga kami boleh belajar, bersukan, bersaing, makan bersama, berhibur, berselisih pendapat hinggalah kepada menyelesaikan masalah harian, perhubungan kami tetap kukuh dan utuh sehingga ke hari ini. Saya yakin kepelbagaian budaya di English College inilah yang menjadi asas kepada kelahiran ikon-ikon yang mempunyai faktor-X seperti Datuk Onn Jaafar (Ikon UMNO); Tan Sri Robert Kuok (Ikon Terkaya Asia); Profesor Ungku Aziz (Ikon Akademik); Tan Sri Amirsham A.Aziz dan Tan Sri Jaffar Hussein (Ikon Perbankan); Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dan Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Seth (Ikon Angkatan Bersenjata); Tun Hussein Onn, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Musa Hitam (Ikon-Ikon Kepimpinan Negara) dan ratusan ikon-ikon negara di pelbagai bidang pengkhususan.

Kalau dibagaikan English College itu seperti Malaysia, guru-gurunya sebagai pemimpin negara, penuntut-penuntutnya pula adalah Belia Malaysia yang menjadi tunjang kepada kesatuan utuh “1 Belia”. Kejayaan menggabungkan kepelbagaian budaya dan pengalaman, mencari pengetahuan, membentuk aspirasi serta menterjemahkan dedikasi dalam bentuk lahiriah inilah bakal mengangkat martabat negara bangsa melalui konsep ‘1 Malaysia’. Sebagaimana English College, Penuntut dan Guru bergerak bersama, begitu juga sepatutnya Malaysia, Pemimpin dan Belia.

Mengambil iktibar model English College sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan sukan yang berjaya melahirkan ikon-ikon negara dan antarabangsa, Belia Malaysia pada hari ini perlu melakukan pembukaan minda dan perubahan budaya agar ia kaya dari segi peradaban, kefahaman dan kreativiti serta berupaya membentuk jati diri negara bangsa. Ini penting dalam mengembalikan semula kedudukan keharmonian serta kemakmuran negara yang sengaja digugat oleh pengaruh budaya ekstrim yang lahir dari fahaman politik ‘gila-gila’.

Selamat Hari Guru, Selamat Hari Belia – 1 Suara, 1 Belia, 1 Malaysia !

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

1 comment:

mylivingwall said...

Komen yang bermanfaat.

Akan terbitkan semula di laman web http://mylivingwall.com dan paut kembali ke blog saudara.

Teruskan berblog...

http://mylivingwall.com