Synopsis on Feriz Omar






LATARBELAKANG

FERIZ OMAR (37) - Anak Melayu Bugis yang merupakan anak kedua dari dua beradik ini mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Agama Rakyat Johor, Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) dan English College, Johor Bahru.

English College adalah merupakan pusat kecemerlangan pendidikan yang melahirkan ikon-ikon seperti Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tan Sri Robert Kuok, Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Dr Ismail, YM Profesor Di-Raja Ungku Aziz dan ramai lagi tokoh-tokoh negarawan yang lain.

Sekalipun beliau berketurunan aristokrat Melayu, ramai yang tidak mengetahui bahawa sejak kecil lagi Feriz dibesarkan dari keluarga yang tergolong di bawah garis kemiskinan negara semenjak pemergian bapanya, Allahyarham Omar bin Abdul Samad semasa beliau berusia 4 tahun.

Di atas sebab-sebab serba kekurangan di rumah, Feriz sentiasa mencari peluang untuk memenuhi masa lapang dan bergaul dengan anak-anak Melayu, Cina dan India dari pelbagai segmen sosio ekonomi. Di peringkat awal inilah Feriz mula menghulur kemampuannya untuk memimpin.

Feriz kini bahagia dengan pasangan rumahtangganya Fifi Noor Hafiza Saharuddin (Fifi), seorang personaliti TV, yang didirikan pada Jumaat, 8 Ogos 2008. Mereka berdua sedang menantikan kelahiran putera sulung mereka pada 15 Jun 2009, insyaAllah.

PEMIMPIN MUDA YANG DIHORMATI DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Selepas pendidikan awal di English College serta lulus cemerlang dalam Diploma Perakaunan Institut Teknologi MARA (kini UiTM), Feriz terus melanjutkan pengajian beliau dalam bidang parakaunan dan kewangan di De Montfort Universiti, England, sebuah
universiti yang mendapat pengiktirafan tertinggi oleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di peringkat dunia.

Kepetahan Feriz berhujah dalam bahasa Inggeris dan disenangi oleh teman-teman universiti membolehkan beliau melibatkan diri dalam banyak aktiviti mahasiswa di England. Kecenderungan beliau dalam bidang politik dan ekonomi antarabangsa serta penglibatan diri dalam perbincangan formal di kalangan pemimpin pelajar antarabangsa telah menyebabkan beliau dipilih khas untuk mewakili universiti dalam pertemuan dan perbincangan bersama HRH Ratu Elizabeth ke-II di Leicester, England pada tahun 1993.

TERUS MENIMBA ILMU DAN MENGASAH KECEKAPAN YANG CEMERLANG

Feriz kembali pulang ke tanahair pada tahun 1994 dengan membawa pulang Sarjana Muda BA (Hons) Combined Studies in Accounting terus menerima tawaran untuk bekerja dengan KPMG di Johor Bahru. Di sinilah, Feriz menggunakan semua pengetahuan yang dipelajarinya menjalankan kerja-kerja audit ke atas syarikat-syarikat daripada pelbagai sektor dan industri.

Pada tahun 1995, Feriz sekali lagi ke London untuk menyambung pengajiannya dalam ACCA di Emile Woolf, London.

Sewaktu dalam pengajiannya lagi, Feriz telah ditawarkan kerja oleh YBhg Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan RHB Berhad. Feriz diberi kepercayaan dalam pengendalian pengambil-alihan D&C Bank, Sime Bank, Kwong Yik Bank dan Bank Niaga Indonesia.

Kecemerlangan beliau pada usia muda terserlah apabila dilantik sebagai Penasihat Khas kepada YBhg Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Pada tahun 2000, beliau berhijrah ke PriceWaterhouseCoopers (PwC), sebuah rangkaian firma perakaunan dan jururunding kewangan terbesar dunia pada ketika itu.

Kemudian, seawal umur 33 tahun dilantik menjadi Pengarah Malaysian International Merchant Bankers Berhad (MIMB) dan berjaya menguruskan pembiayaan tidak kurang dari RM2.5 billion sepanjang bersama MIMB.

BINA PERNIAGAAN : MENGOLAH PENGALAMAN DAN KECEKAPAN
Bersama beberapa pakar ekonomi, ahli perbankan pelaburan (Investment Bankers) dan bekas Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Feriz kini menerajui firma Feriz Omar & Partners (Strategists & Advisors) dengan gabungan lebih 40 tahun pengalaman perbankan, koperat dan pelaburan dan jumlah pembiayaan serta pelaburan tidak kurang dari RM25.0 billion.

KE ARAH PEMBENTUKAN MELAYU DAN ISLAM YANG GEMILANG

Feriz Omar juga adalah Pengasas, Peneraju Utama serta Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) sebuah pertubuhan yang mewakili ribuan ahli-ahli professional Melayu di dalam dan luar negara.

ProWaris yang dahulunya dikenali sebagai ”Generasi Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa” kini mewakili ribuan Profesional Melayu di dalam dan di luar negara hari ini berdiri megah sebagai salah sebuah pertubuhan paling berpengaruh bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam Majlis Permuafakatan NGO-NGO Malaysia (MAPAN) dengan tidak kurang daripada 500,000 orang ahli dari pelbagai persatuan, kelab serta pertubuhan di dalam dan luar Malaysia.

PROWARIS : KATALIS KEBANGKITAN BANGSA MELAYU

Pergerakan ProWaris, daripada sengkatan "Pertubuhan Profesional dan Pewaris Bangsa", bermula pada tahun 2001 sebagai sebuah kumpulan diskusi informal yang berpengangkan kepada wadah perjuangan Profesional Melayu Abad Ke-21.

Inisiatif ini dipelopori oleh Feriz dan sekumpulan Profesional Melayu di tengah-tengah kemelut Bangsa Melayu menghadapi tekanan serius ekoran daripada isu-isu ”Pengantarabangsaan", "Global" dan "Hak-Hak Kesaksamaan" daripada dalam dan luar negara.

BERMULANYA PERJUANGAN

Gerakan ProWaris hari ini bermula daripada penganalisaan statistik yang menunjukkan jurang serius dalam jumlah Profesional Melayu berbanding jumlah Profesional Bukan Melayu di beberapa buah firma profesional.

ProWaris bersependapat dengan Pemimpin-Pemimpin Melayu dan merasakan bahawa Agenda Melayu dan Agenda Islam perlu didahulukan agar Peristiwa 13 Mei 1969 akibat ketidakseimbangan ekonomi tidak berulang.

Sekiranya agenda ProWaris membangkitkan Bangsa Melayu dan Islam berjaya, agenda Malaysia untuk Cemerlang, Gemilang dan Terbilang juga akan tercapai, InsyaAllah. Feriz berpendapat bahawa Bangsa Melayu perlu elakkan sikap terlalu mengejarkan agenda Malaysia kerana ia akan mengakibatkan anak Bangsa Melayu kita hidup melarat dan merempat di tanah air sendiri.

ProWaris mengorak langkah pertama dengan menfokuskan usaha untuk mempertahankan hak Melayu Profesional kerana ia merupakan tunggak dominasi ekonomi negara pada hari ini.

Golongan Profesional telah diberi amanah untuk mengimplementasikan dasar-dasar dan polisi-polisi Kerajaan dan mereka jugalah yang mengetahui keluh-resah rakyat apabila polisi dan dasar Kerajaan dilaksanakan ke atas mereka. Di atas alasan inilah Feriz berpendapat bahawa, golongan Profesional adalah golongan paling layak untuk memimpin kerana kedudukannya yang jelas berada di antara Kerajaan dan Rakyat.

MENGATUR LANGKAH
Pergerakan ProWaris telah bermula pada tahun 2001 bertujuan untuk menghimpunkan pelbagai kecekapan, bakat dan pengalaman yang bersepadu untuk bersama-sama memimpin negara ke arah menjadikannya sebagai sebuah "Pusat Kecemerlangan" di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Hari ini, ramai Pemimpin Bangsa Melayu menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kurangnya Profesional Melayu yang berjiwa "Melayu". Isu ini merupakan suatu isu yang perlu diselesaikan segera sebelum Agenda Melayu jauh tersasar daripada sasaran strategiknya.

Oleh itu, Feriz melalui ProWaris menyahut cabaran untuk menyatupadukan komuniti Profesional Melayu dari pelbagai disiplin dan kerjaya bagi mempertahankan Agenda Islam dan Agenda Melayu daripada cabaran dari dalam dan luar negara.

ProWaris di bawah Feriz Omar juga telah mengambil posisi sebagai sebuah Katalis Kebangkitan Bangsa Melayu dan berjanji meletakkan Agenda Islam dan Melayu sebagai perjuangan utama ProWaris.

MISI 100 TAHUN BERASASKAN ISLAM DAN MELAYU

Aspirasi ProWaris adalah untuk membentuk suatu gagasan Profesional Melayu daripada pelbagai bidang kerjaya dan menghimpunkan pelbagai kecekapan, bakat dan pengalaman yang bersepadu untuk bersama-sama memimpin negara ke arah menjadikannya sebagai sebuah pusat kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

ProWaris secara agresif akan bertindak sebagai salah sebuah Katalis Kebangkitan Agama Islam dan Bangsa Melayu yang berdaya maju.

Sebagai salah sebuah ”Katalis” yang membangunkan dan mencorakkan lanskap Profesional Melayu, visi gagasan ProWaris ini adalah untuk, mencapai objektif-objektif, berikut :-
1. Untuk menyatupadukan komuniti Profesional Melayu daripada pelbagai disiplin dan bidang kerjaya bersama-sama dalam membangunkan negara dan menangani cabaran-cabaran dari dalam dan luar negara.
2. Untuk menyediakan pentas bagi mempertahankan hak-hak Bangsa Melayu dan Islam.
3. Untuk memberi pendedahan Profesional Melayu dalam polisi-polisi kerajaan, pelbagai bidang kepakaran, hak-hak intelek dan inovatif.
4. Untuk membudayakan gerak kerja terbaik berbentuk profesional, kemasyarakatan dan patriotik berdasarkan lunas-lunas Islam.

PROWARIS : PEGANGAN DAN PRINSIP

Sebagai sebuah pertubuhan bertindak untuk Agama dan Bangsa, ahli-ahli ProWaris sentiasa berpegangkan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

Manakala gerak kerja ProWaris pula berpandukan prinsip-prinsip berikut:-
1. Keyakinan tinggi bahawa Allah jugalah yang sebenar-benarnya memberikan rezeki;
2. Laksanakanlah amanah dan tanggungjawab seperti tiada esok;
3. Keutamaan hidup adalah mendahulukan (a) Allah; (b) diri sendiri; (c) keluarga; (d) jiran, sahabat dan saudara mara; dan (e) orang ramai.
4. Islam adalah agama syumul yang cukup lengkap mengatur cara politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

PENGLIBATAN DALAM PELBAGAI ISU SEMASA DAN AKTIVITI KEMASYARAKATAN


Isu Jambatan MRR2

Isu nasional hangat yang mendapat liputan media hampir sebulan mengenai ketidakcekapan Dato’ Seri Samy Vellu, Menteri Kerja Raya dalam memberi jaminan bahawa Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong selamat digunakan.

Desakan ProWaris yang berterusan akhirnya YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Jambatan MRR2 Kepong diarahkan tutup untuk dibaiki.

Isu Koridoraya Wilayah Pembangunan Iskandar

Feriz dan Barisan Peneraju ProWaris-MAPAN mengambil inisaitif memanjangkan 20 Tuntutan ProWaris-MAPAN untuk mempertahankan (1) Kesucian Agama Islam; (2) hak-hak Bangsa Melayu; dan (3) Kedaulatan Raja dan Negara yang perlu diberi keutamaan tertinggi ini kepada YAB Perdana Menteri Malaysia.

Namun demikian, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memandang remeh terhadap tuntutan ProWaris-MAPAN dan menolaknya sama-sekali.

Siri Bicara Melayu ProWaris

Feriz melalui ProWaris juga rajin menyusun beberapa acara yang melibatkan dialog terbuka di antara pemimpin dan Rakyat di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak di mana tidak kurang dari 500 orang hadir dalam majlis tersebut.

Kunjungan Hormat ke Atas Pemimpin-Pemimpin

Feriz juga telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan kunjungan hormat serta perbincangan intelek bersama pemimpin-pemimpin negara melalui pelbagai aktiviti bersama antara NGO-NGO seperti dengan Gabungan Penulis-Penulis Nasional (GAPENA), Yayasan Kepimpinan Perdana, INQKA, PPIM dan lain-lain lagi.

Projek Kebangkitan di UiTM dan UIA anjuran ProWaris

Feriz dan ProWaris telah masuk ke kampus-kampus universiti bagi melahirkan golongan pemimpin pelapis melalui Projek Kebangkitan dan Kem Kerjaya. Mahasiswa Melayu menemubual ahli-ahli Profesional Melayu yang sudah berpengalaman dan menjadi ”mentor” kepada mahasiswa-mahasiswa yang masih menduduki pengajian.

Melalui program ini, tidak kurang dari 20 firma yang terlibat dan menawarkan pekerjaan kepada bakal-bakal graduan.

Isu Kekalahan Kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Ke-12

Isu kekalahan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya ke-12 sebenarnya telah diramal lebih awal oleh Feriz berdasarkan pengamatan dan penganalisaan yang dianjurkannya melalui ProWaris.

Feriz juga yang paling awal menggerakkan Bangsa Melayu melalui NGO-NGO Melayu seluruh tanah air bagi mengekalkan dominasi bangsa Melayu yang dalam keadaan goyah dan berusaha mencari jalan agar pucuk pimpinan ditukar demi Melayu dan Islam.


*****