Saturday, February 4, 2006

PROWARIS MENYAHUT CABARAN PEMIMPIN-PEMIMPIN MELAYU UNTUK MEMAINKAN PERANAN SEBAGAI SALAH SEBUAH KATALIS KEBANGKITAN BANGSA MELAYU BERDAYA MAJU

February 4th, 2006

PROWARIS, sebuah kumpulan diskusi informal, yang dipelopori oleh Barisan Peneraju yang terdiri daripada ahli-ahli professional seperti peguam, akauntan, arkitek, jurutera, doktor, ahli-ahli ekonomi dan perbankan, berikrar untuk membentuk suatu gagasan professional Melayu yang berjiwa Melayu yang akan bertindak sebagai salah sebuah Katalis Kebangkitan Bangsa Melayu berdaya maju.

“Hari ini terlalu banyak cabaran yang mengganggu-gugat kedudukan Bangsa Melayu sehinggakan ramai pemimpin negara menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peranan ahli profesional Melayu yang memimpin masa hadapan anak bangsa”.

PROWARIS yang diterajui oleh 2 Peneraju Utama, Feriz Omar dan Wan Jauhari Ismail ditemuramah mengenai objektif, aspirasi dan strategi perjuangan PROWARIS.

Feriz, menerangkan bahawa sudah sampai masanya untuk golongan professional menggerakkan jentera-jentera Kebangkitan Bangsa Melayu melalui pemikiran strategik dan gerakan-gerakan yang efektif. “Hari ini terlalu banyak majlis forum, dialog dan seminar membincangkan pelbagai masalah orang Melayu tanpa tindakan susulan yang berkesan”.

Feriz, 33, yang berasal daripada sebuah keluarga yang terlibat di dalam politik daripada Negeri Johor dan juga seorang Pengarah sebuah Bank Saudagar menyatakan bahawa gerakan PROWARIS yang bermula pada tahun 2001 secara “low profile” telah membuahkan hasil dalam mempertahankan hak-hak Profesional Melayu. Baginya, Profesional Melayu adalah tunggak dominasi ekonomi Bangsa Melayu dan oleh itu, kedudukan mereka perlu diberi tumpuan sepanjang masa.

Ujarnya lagi, “Senario politik antarabangsa hari ini juga telah berubah. Sekiranya berlaku sekali lagi Peristiwa 13 Mei 1969 ekoran daripada ketidak-seimbangan taburan ekonomi negara, kita akan melihat kuasa-kuasa barat mengambil kesempatan untuk kononnya menyelesaikan masalah dalaman negara dengan tujuan sebenar untuk menjajah”.

“Seperti pemimpin-pemimpin Melayu yang lain, saya bersependapat dan merasakan bahawa agenda Bangsa Melayu perlu didahulukan. Sekiranya agenda kita membangkitkan Bangsa Melayu berjaya, agenda Malaysia untuk Cemerlang, Gemilang dan Terbilang juga akan tercapai”.

Apabila ditanya mengenai strategi perjuangan PROWARIS, Wan Jauhari menyatakan bahawa PROWARIS akan meneruskan gerakan-gerakan halus untuk mempertahankan hak-hak Bangsa Melayu ibarat menarik rambut di dalam tepung. Rambut ditarik, tepung tidak berselerak.

Wan Jauhari, 35, yang juga seorang Pengarah sebuah syarikat teknolgi maklumat di ibu negara berkata “Pada hari ini, terlalu ramai pemimpin kita yang sering meluahkan strategi dan usaha mereka membantu Bangsa Melayu. Mungkin sesetengah daripada mereka sudah pasrah dengan sikap Bangsa Melayu yang tidak mahu berubah”.

Gerakan ikhlas seperti yang dijalankan oleh PROWARIS perlu diterima dengan baik oleh Pemimpin-Pemimpin Melayu kerana ia adalah usaha untuk mempertahankan masa depan Bangsa Melayu itu sendiri. Barisan Peneraju PROWARIS menjemput individu-individu dan kumpulan-kumpulan yang ingin bersatu tenaga dalam wadah perjuangan Profesional Melayu Abad Ke-21 dan bagi yang berminat sila layari laman web PROWARIS di www.prowaris.org atau email prowaris@yahoo.com.

No comments: