Saturday, February 4, 2006

BANGSA MELAYU AKAN TERUS GAGAL SEHINGGALAH MEREKA DAPAT MENGENALI DIRI MEREKA SENDIRI !

04/ FEBRUARI 2006 1 Muharam 1426H

Sempena sambutan Maal Hijrah 1426, Feriz Omar dengan beraninya mengambil jalan radikal untuk menyemarakkan kebangkitan anak Bangsa Melayu melalui penulisan beliau mengenai Islam dan Melayu serta hala tuju Bangsa Melayu masa hadapan.
BANGSA MELAYU TELAH HILANG IDENTITINYA SENDIRI

Soalan “Siapakah aku sebagai seorang Melayu?” sudah menjadi soalan rumit yang boleh membuat ramai di antara kita tergamam dan tidak mampu menjawab. Sekiranya akta tidak menyebut bahawa seorang Melayu itu adalah seorang yang beragama Islam dan mengamalkan adat budaya Melayu, pastinya kita masih lagi mengambil masa yang lama untuk menjawab soalan “Siapakah aku sebagai seorang Melayu?”

Melayu hari ini tidak mempunyai Kod Bangsa sendiri. Adalah lebih mudah sekiranya kita hidup di Zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana Adat Temenggong dijadikan sebagai Kod Melayu harian yang digunakan dalam pelbagai senario kehidupan sebagai seorang Melayu.
Kod sesuatu bangsa adalah dasar penting sebagai pemacu kebangkitan bangsa tersebut.
Seperti kebangkitan bangsa-bangsa lain di dunia, doktrin Nazi merupakan pemacu kebangkitan Bangsa Jerman di zaman Hitler, Bangsa Jepun pula sehingga hari ini masih berpegangkan kepada Konsep Bushido, Bangsa China dengan falsafah Confucsius dan Bangsa Yahudi dengan Doktrin Zionis.

Tanpa mengenal diri sendiri, bangsa Melayu akan menjadi di antara bangsa di dunia yang mudah dipengaruhi dan lemah. Terimalah hakikat bahawa Bangsa Melayu pada hari ini adalah seumpama orang buta yang teraba-raba untuk mencari jalan pulang ke rumah.

Daripada masalah sumbang muharam, penagihan dadah, masalah GRO dan seribu satu lagi isu generik yang membelenggu Bangsa Melayu itu sendiri, Bangsa Melayu hanya dapat bergantung kepada pemimpin-pemimpin yang dipilih untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.
Malangnya, harapkan pagar, pagar makan padi. Kebergantungan Bangsa Melayu kepada pemimpin-pemimpin politik yang terus mengamalkan budaya rasuah dan politik wang akhirnya menjadikan Bangsa Melayu terus lemah.


BANGSA MELAYU AKAN TERUS SESAT KERANA HIDUP DALAM KEADAAN PENUH CURIGA

Budaya rasuah dan politik wanglah yang membuatkan Bangsa Melayu sentiasa hidup dalam keadaan yang penuh curiga. Bukan saja kerana ketidak-percayaan kepada barisan kepimpinan tetapi ia merumitkan lagi urusan perniagaan dan ekonomi di kalangan ahli perniagaan bangsa Melayu itu sendiri.
Ini akhirnya membuat Bangsa Melayu mengalih kepercayaan kepada bangsa lain dan mengakibatkan ekonomi Bangsa Melayu semakin mengecil.


ISLAM ADALAH PEMACU KEBANGKITAN EMPAYAR MELAKA DAN MERUPAKAN IDENTITI BANGSA MELAYU SEBENAR

Kajian membuktikan bahawa di zaman kegemilangan Melayu Melaka, kehebatan saudagar dari Timur Tengah memang terserlah. Mereka bukan hanya pedagang-pedagang yang pintar dan bijaksana malahan mempunyai budi pekerti yang mulia dan sentiasa berdisiplin dalam mentadbir-urus perdagangan mereka.
Inilah sahsiah yang disanjung tinggi terbentuk daripada sifat kesyumulan agama Islam itu sendiri.

Maka dengan keunikan ini juga, ramai di antara anak-anak dara Bangsa Melayu pada ketika itu berkahwin dengan saudagar-saudagar Arab sehingga ia menjadi titik permulaan tersebarnya agama Islam serantau. Apabila generasi Melayu-Islam lahir daripada perkahwinan ini, budaya dan kepintaran untuk mentadbir-urus perdagangan terus diwarisi sehinggalah terbentuknya empayar Melayu Melaka dan Empayar Melayu Johor-Riau yang wujud lebih daripada 500 tahun lamanya.

Kita perlu menerima hakikat bahawa agama Islamlah merupakan tunggak kehebatan empayar Melaka sebenar. Kesatuan negara-negara di bawah taklukan jajahan Bangsa Melayu pada ketika itu daripada masyarakat Melayu Champa di Indochina sehinggalah Matarram di Pulau Jawa, Melayu-Islam pada ketika itu gagah gemilang.

Sekiranya kekuatan Bangsa Melayu dilihat daripada sudut tanpa sempadan, kesatuan Melayu boleh diwujudkan di kalangan Bangsa Melayu di Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Indochina, Pulau Seychelles dan Afrika Selatan. Begitu juga kekuatan Islam sekiranya dilihat daripada sudut tanpa sempadan, ummat Islam sudahpun menakluki satu pertiga dunia.

Tetapi ummat Islam pada hari ini mengamalkan agama melalui 1000 definisi yang bercanggah dan sentiasa mempunyai perasaan curiga di kalangan sesama sendiri. Ini merupakan punca mengapa ummat Islam sentiasa hidup bersendirian tanpa kesatuan dan terpaksa bertindak secara ekstrim terhadap propoganda barat.
Adalah lebih mudah untuk mematahkan propoganda barat sekiranya ummat Islam mempunyai sikap kebolehpercayaan yang tinggi sesama sendiri dan bergerak di dalam suatu kumpulan yang efektif. Untuk menuju ke arah ini, Islam yang kita amalkan perlu diterjemahkan di bawah satu definisi yang hakiki.

Terserah kepada Bangsa Melayu yang memimpin dan dipimpin. Sekiranya kita gagal mengiktiraf Islam sebagai identiti Bangsa Melayu sebenar, Bangsa Melayu akan terus gagal sehinggalah mereka dapat mengenal diri mereka sendiri.

Ya Allah, Semoga Melayu-Islam terus Gagah Gemilang.

FERIZ OMAR
1 Muharram 1426

No comments: