Tuesday, October 6, 2009

'MENILIS' SEMULA MASA DEPAN UMNO

(UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 10 Oktober 2009, Muka 10)

SEIRING Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi, tulisan saya kali ini berkisar di bawah perspektif Re-Writing The Future History of UMNO atau 'Menulis Semula Sejarah Depan UMNO'. Ia saya wacanakan bersama cetusan emosi setelah meneliti pelbagai emel daripada mereka yang membaca ruangan ini.

Ada di antara e-mel berkenaan yang mempersoalkan kedudukan artikel-artikel saya yang sesekali condong 'menyokong UMNO' dan menuduh saya begitu serius mempertahankan UMNO. Malah terdapat juga sebilangan kecil pengirim mempersoalkan "apa perlunya berbuat demikian?"
Menjawab persoalan-persoalan ini, cukuplah barangkali kalau saya katakan bahawa saya masih melihat perjuangan memperkasa dan memperbetulkan UMNO sebagai jalan terbaik demi masa depan orang Melayu di Malaysia. Rasionalnya, sehingga kini belum ada parti - termasuk Pas - yang cukup layak, berkredibiliti dan berkemampuan daripada aspek intelektual untuk terus memacu Islam, Melayu dan Malaysia ke mercu kejayaan.

Pengalaman mengendalikan negara berbilang kaum, menyusun rancangan ekonomi, hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa dan mengatasi ancaman musuh luar yang dimiliki UMNO adalah terlalu essential dan tidak boleh diperolehi dalam masa singkat.

Dalam kata lain, sekiranya ada kelompok Melayu yang berhajat untuk menggantikan UMNO seluruhnya, ia akan mengakibatkan orang Melayu terpaksa 'belajar semula dari bawah'.

Begitu juga selama mana orang Melayu masih gagal bersatu padu sepenuhnya, selagi itulah UMNO masih perlu dipertahankan dan perjuangan perlu dipertingkatkan. Apatah lagi di saat-saat kumpulan Melayu terlerai kepada tiga pecahan besar ketika ini.

Hari ini orang Melayu bagaikan semakin hilang punca dan tidak keruan melihat pendekatan politik 'gila-gila' perikatan pembangkang yang kononnya mewakili Melayu dan Islam dalam usaha menggapai kuasa.

Soal moral dan asas perjuangan seolah-olah sudah boleh dijual beli. Sebagai contoh, orang Melayu sehingga terpaksa meminta bantuan NGO-NGO Islam dalam kes kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam.

Makin parah lagi apabila tali persaudaraan demi survival bangsa yang dihulurkan UMNO ditolak mentah-mentah oleh Pas atas alasan 'sengketa lama'.

Oleh itu, UMNO sebenarnya tidak ada jalan lagi melainkan memperbetulkan semula kesilapannya jika mahu meraih kembali sokongan Melayu demi masa depan negara.

UMNO Bukan Zombie Yang Mempunyai Jasad Tanpa Mata Hati

Sebenarnya, ini boleh dilakukan jika pimpinan UMNO jujur dan tidak hipokrit. Hentikan pendekatan branding yang melampau tanpa pengisian roh Islam kerana ia bakal menjadikan UMNO seperti zombie.

Selain itu, pemimpin perlu mencari jalan untuk memenuhi pengharapan, tuntutan dan keinginan khususnya daripada kumpulan pengundi muda Melayu.
Antaranya termasuklah pengharapan tinggi agar UMNO terus memperkasakan elemen Islam yang menjadi jati diri akhlak dan budaya Melayu.
Resolusi 1Malaysia bagi saya hanyalah pendekatan untuk menyelesaikan isu perbezaaan bangsa, bahasa dan budaya sahaja tetapi bukan perbezaan agama. Kalau digunakan formula yang sama juga, tidak masuk akal jika kita wujudkan kempen '1Agama' sedangkan gagasan Inter Faith Commission (IFC) juga ditentang habis-habisan oleh masyarakat Islam Malaysia.

Atas dasar inilah, jasa-jasa UMNO dalam memartabatkan Islam perlu digali dan dihebahkan seluas mungkin sebagai sebuah organisasi Melayu yang memperjuangkan Islam selama ini.

Pelaksanaan agenda Islam melalui pelbagai dasar dan pelaksanaan kerajaan melalui agensi-agensi negeri dan organisasi seperti Tabung Haji, mahkamah syariah, UIA dan Jakim.

Begitu juga hukuman sebat terhadap Kartika Sari baru-baru ini. Ia menunjukkan pengamalan undang-undang Islam yang diusahakan kerajaan UMNO.

Zaman berubah, Islam yang dipertahankan oleh UMNO kini berdepan dengan pelbagai cabaran baru. Antara lain ialah lahirnya aliran-aliran baru dukungan 'ikon-ikon Islam ternama' yang diiktiraf oleh media dan beberapa NGO yang bercanggah dengan syariah Islam aliran Ahli Sunah Wal Jamaah.

Justeru itu, saya menyarankan agar Fasal 3(3) Perlembagaan UMNO bahawa parti itu akan terus menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia diberi keutamaan khusus oleh pemimpin UMNO. Islam perlu terus-terusan diperkasa dan dijadikan identiti utama UMNO.

Perlembagaan juga perlu mensyaratkan ahli dan pemimpin UMNO agar jujur, bermaruah dan "berjiwa Islam".

Sekiranya perkara utama ini dapat diperkemas dan diperbetulkan, tidak sepatutnya ada sebarang isu lagi yang boleh menghalang penyatuan umat Islam di Malaysia dan UMNO pasti mampu 'menulis' semula masa depannya dan perpaduan Melayu.

UMNO sebagai parti Melayu dan Islam perlu memberi keutamaan kepada ahli-ahlinya. Jangan sampai undi yang dikejar dari kaum lain tak dapat, undi Melayu sendiri pula keciciran.

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

1 comment:

Anita Morah Abas said...

Saya amat tertarik dengan tulisan saudara Feriz dan tergerak untuk mengukuhkan pandangan saudara berhubung dengan persoalan yang berlegar di sekitar UMNO. Yang pasti, kita tidak boleh mengubah sejarah, tetapi kita mampu mengubah masa depan orang Melayu dan UMNO. Sentuhan UMNO suatu ketika dahulu berupaya menyatukan bangsa Melayu dengan satu nada, 1Melayu, sekalipun berpecah kepada beberapa kumpulan yang punya kepentingan dan misi masing-masing. Pemimpin terdahulu amat komited dalam perjuangan bangsa dan berjaya meletakkan nama Melayu ke tahap sekarang. Kenapa Melayu sekarang terlalu emosi apabila bercakap pasal UMNO? Bahang kemarahan meluap-luap, terlalu sensitif untuk dijadikan tajuk perbincangan dan perbahasan kerana sikap pemimpin Melayu dewasa ini terlalu mengecewakan. Terlalu banyak isu yang bergolak di sekitar masyarakat Melayu yang gagal ditangani dengan baik oleh UMNO, menjadi sindiran dan momokan bangsa lain. Apa yang menyebabkan kita gagal bersatu? Perbezaan pandangan politik dan agama? Tidak juga. UMNO harus melihat ke akar umbi kemelut yang bersimpang-siur dalam masyarakat Melayu itu sendiri. UMNO wajar membuat post-mortem di mana silapnya kepimpinan mereka yang menyebabkan masyarakat Melayu merasa jauh hati dan tawar hati untuk menyokong parti politik Melayu itu sendiri hingga sanggup beralih ke parti lain. Jelas sekali, masyarakat Melayu sudah hilang kepercayaan terhadap UMNO. UMNO wajar memperbetulkan imej dan reputasi kegemilangannya. Tangani kepincangan masalah dalam masyarakat Melayu. Jangan biarkan ia merebak menjadi krisis, jangan biarkan kudis menjadi nanah. Melayu secara umum melihat dari jauh bagaimana pemimpin UMNO menangani masalah yang bergolak dalam UMNO itu sendiri dan pendekatan mereka dalam menangani isu-isu orang Melayu. Keputusan menyokong UMNO terletak di tangan orang Melayu, bukan di tangan pemimpin. Pemimpin dilantik, pemimpin datang dan pergi. Undi orang Melayu tetap di sini, yang membezakan pengiraan undi dan juga bilangan ahli terletak pada misi dan perjuangan UMNO dalam memartabatkan dan memperkasakan orang Melayu dan agama Islam dewasa ini.
Satu persoalan yang masih belum terjawab ke arah mana UMNO ingin membawa anak bangsa Melayu? Manusia berpegang pada janji. Kita bangsa yang bermaruah, jangan janji hanya tinggal janji, jangan cakap hanya tinggal cakap...

Anita Morah Abas