Thursday, April 8, 2010

ROH ISLAM, KETURUNAN MELAYU, JIWA MALAYSIA

KESEMPATAN bercuti bulan lepas telah saya gunakan sepenuhnya untuk membawa keluarga makan angin di Taiping. Taiping yang terkenal dengan pelbagai tarikan, juga adalah ‘pemilik’ kepada zoo tertua di Malaysia iaitu Zoo Taiping. Pastinya, ia suatu peluang menarik untuk putera kecil saya mengenali dan memerhati gelagat ratusan spesis binatang liar.

Namun, melihat senario Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini, agaknya putera kecil saya, Fahd tidak perlu pun jauh berkelana ke Taiping untuk melihat gelagat dan ‘budaya’ Zoo. Cukup agaknya kalau dijamu dengan siaran tertunda parlimen di kaca TV pada lewat malam, melihat perangai beberapa ahli ‘Yang Berhormat’ dari perikatan pembangkang yang bergelagat dan berbudaya tak ubah macam dalam ‘kandang Zoo’!

Sudahlah adegan bersahutan, menjerit-jerit dan memanggil orang lain dengan nama-nama yang tidak senonoh masih lagi ‘seronok’ diamalkan, ketika ini soalan-soalan yang tidak berfaedah pun menjadi semakin kerap dibawa ke dewan yang mulia.

Sekalipun ahli-ahli Dewan Rakyat diberi kekebalan dari tindakan undang-undang untuk mengajukan apa saja bentuk persoalan, namun soalan provokasi yang berniat jahat seperti yang dibuat oleh ahli parlimen pembangkang ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu membuktikan sekali lagi bahawa kepimpinan pembangkang sebenarnya tidak berminat mendahulukan amanah rakyat yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

“Malay First, Malaysian Second”; Apa salahnya?

‘Tabik hormat’ saya buat Tan Sri Muhyiddin yang gagah menjawab persoalan provokasi biadap Yang Berhormat tersebut dengan penuh yakin bahawa beliau adalah ‘Malay First, Malaysian Second’. Kalau bukan kerana roh yang kuat, pasti Tan Sri Muhyiddin tergugat dan tersentap serta mengambil masa yang lama untuk menjawab soalan yang begitu mudah itu.

Ternyata Datuk Seri Najib juga, memahami persoalan tersebut lantas mengakui bahawa jawapan Muhyiddin sama-sekali tidak bercanggah dengan konsep 1Malaysia. Selagi jiwa adalah ‘jiwa Malaysia’, saya tidak nampak canggungnya jati diri dan roh Melayu itu terus diperkasa dan kekal unggul.

Malahan, dalam artikel awal saya suatu ketika dahulu bertajuk “Melayu Akan Terus Gagal Sehinggalah Mereka Mengenal Diri Sendiri”, yang kini masih terpapar di beberapa laman web terkenal, saya sendiri pernah menyentuh bahawa “tanpa menghayati semangat jati diri Melayu yang sebenar, bangsa bernama Melayu tidak mungkin mengembalikan era kegemilangannya”.

Hakikatnya, jati diri Melayu itu sendiri mempunyai fundamental paling ampuh iaitu ROH ISLAM. Ya! Roh Islam. Berlarilah hingga ke ceruk mana pun, roh Islam itulah yang sebenarnya yang menjadikan Melayu itu pernah perkasa suatu ketika dulu di tanah bergelar Semenanjung Tanah Melayu ini. Bagi bangsa Arab pula, roh Islam pernah membawa mereka ‘menawan’ separuh dunia !

Tak perlu lagilah bangkitkan isu BODOH !

Saya fikir, cukup-cukuplah kalau pembangkang masih hendak bersikap murahan dan membangkitkan ‘isu-isu bodoh’ di dewan yang mulia. Saya minta, berhentilah demi rakyat yang mengamanahkan anda membawa permasalahan mereka untuk diperdengarkan di dewan !

Satu Malaysia pun sudah tahu betapa kerangka masyarakat majmuk yang diamalkan kita sejak dari merdeka telah terbukti membawa kemakmuran selama ini. Keturunan Melayu di tanahair ini juga adalah suatu kelompok ‘bangsa’ yang unik dalam sesebuah negara malah di Nusantara sendiri. Ternyata kerangka masyarakat di negara ini berbeda berbanding dengan negara lain.

Cuba ambil contoh negara-negara jiran kita.

Di Indonesia misalannya, asimilasi berlaku secara hampir ‘total’ di mana perbedaan antara keturunan hampir tidak kelihatan samada melalui nama ataupun didasarkan oleh majoriti penduduk sesuatu tempat. Di Singapura, mungkin kita boleh katakan konsep komunitinya hampir sama dengan Malaysia tetapi pada peratusan keturunan penduduk pasti berlainan. Di Thailand pula, asimilasi bangsa berlaku lebih awal berbanding Indonesia, dari zaman-zaman kerajaan beraja Thailand lebih 300 tahun yang lalu.

Mengikut pengamatan saya dalam media perdana dan alternatif, sekalipun proses asimilasi berlaku di Indonesia dan Thailand, rakyatnya masih hidup dalam suasana keharmonian yang rapuh dan senang digoyahkan apabila rakyatnya berhadapan dengan isu-isu kecil dan besar.

Singapura pula di sebalik kemajuan dan pembangunan ekonomi positif, keharmonian rakyatnya dikatakan tidak sejujur mana kerana ianya dikongkong oleh kerajaan. Dalam kesederhaan yang dipamerkan oleh kerajaan BN selama ini, Malaysia tetap jaguh dari segala aspek terutamanya memastikan rakyat Melayu, Cina dan India yang kaya dengan pelbagai agama, bangsa dan budaya duduk aman makmur sebagai Rakyat Malaysia.

Jika kita bandingkan negara barat dengan Malaysia, ternyata Soviet yang dipimpin Vladimir Putin itu ‘kaya’ dengan pelbagai sub-keturunan, hakikatnya mereka masih dari runut bangsa yang sama, iaitu bangsa Rusia. Dari sudut tertentu, Amerika Syarikat sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan Malaysia tetapi ianya bukan sebuah negara beraja! Namun Barrack Obama sendiri diakui sebagai seorang pemimpin berketurunan Afro-Amerika, beragama Kristian dan berjiwa Amerika! Jadi apa salahnya jika Tan Sri Muhyiddin diterima sebagai seorangt pemimpin Melayu dan berjiwa Malaysia?

Seandainya pada hari ini di dalam kad pengenalan kita masih lagi mencatatkan keturunan Melayu, Cina, India, Kadazan dan Bidayuh contohnya, dan kita pula masih lagi mampu berjenaka dan duduk minum teh tarik semeja, hendak diungkitkan apanya tentang persoalan keturunan ini? Apa faedahnya untuk rakyat?

Semangat kekitaan dan saling ’bertoleransi’ atas perbezaan antara satu sama lain inilah yang melahirkan Malaysia suatu ketika dulu. Kita telah terbukti berjaya dengan semangan kekitaan selama ini, dan kini pula diperkukuhkan lagi dengan semangat 1Malaysia.

Kalaulah saya ditanya dengan persoalan sama suatu hari nanti, saya akan pasti jawapan saya akan tetap sama!

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

No comments: