Tuesday, July 13, 2010

HARIAN METRO : DIALOG DEDAH YAHUDI ZALIM

2 SUKARELAWAN BAKAL BONGKAR KEKEJAMAN TENTERA ISRAEL

JOHOR BAHRU : Orang ramai khususnya warga belia berpeluang mendengar ceramah dan sesi dialog bersama dua pemimpin Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei lalu, di Dewan Besar Kompleks Belia dan Sukan negeri jam 7 malam ini.

Menerusi Program Rintihan Gaza itu, Norazman Shamsudin dan Dr Arbaie Shahwal yang terselamat dalam serangan kejam rejim Zionis akan berkongsi pengalaman semasa berdepan saat getir dikepung, diserang dan ditawan lebih 16 jam.

Selain it, solat hajat beramai-ramai juga akan dijalankan dalam program anjuran Barisan NGO Malaysia (BNM) bersama Haluan.

Ketua Umum BNM Peringkat Negeri Johor, Feriz Omar, berkata penganjuran program ini bukanlah untuk menghuru-harakan keadaan namun sebagai satu usaha sejagat tanpa mengira warna kulit, bangsa mahupun agama dalam mendedahkan kekejaman Zionis terhadap rakyat Gaza serta sukarelawan yang terbabit dalam misi berkenaan.

“Tindakan kejam terhadap rakyat Gaza serta sukarelawan kemanusiaan antarabangsa yang turut disertai 12 rakyat Malaysia iti bukan saja dianggap keterlaluan malah mencabul undang-undang dan tidak boleh dipandang remeh.

“Dengan adanya dua sukarelawan yang turut menjadi magsa kekejaman Zionis itu, kami harap peserta yang hadir terutama golongan belia dapat menilai betapa kejamnya rejim terbabit selain bersatu menyokong rakyat Palestin serta Gaza,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Persatuan Pembela Melayu Malaysia (PPMM), Pertubuhan Professional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Majlis Belia Daerah Negeri Johor Bahru, Majlis Belia Kulaijaya, Aqsa Syarif, Cycle Motion Johor dan Kelab Sukan Painball OSB.

Katanya, program ini bakal menjadi perhimpunan terbesar di peringkat negeri yang mengecam tindakan Zionis sekiranya jumlah sasaran mencapai 2,000 hingga 3,000 peserta.

“Sekiranya berjaya mencapai matlamat berkenaan, kita merancang untuk mengadakan program sama dilokasi lain”, katanya.

Turut dijemput menghadiri program berkenaan ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Khaled Nordin, Ahli Parlimen Kulaijaya, Tan Sri Ong Ka Ting dan ramai lagi.

No comments: