MINGGUAN MALAYSIA - ARKIB BERITA: AHAD, 22 MAC 2009

KUALA LUMPUR 21 Mac - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan gandingan paling serasi menerajui hala tuju parti dan negara pada masa hadapan.
Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, Muhyiddin merupakan calon terbaik digandingkan dengan Najib bagi membawa perubahan dan harapan baru kepada parti serta negara.
Katanya, beliau mempunyai pengalaman yang luas memimpin parti dan mampu membantu Najib sebagai pemimpin nombor satu negara dan parti kelak.
''Selain itu, Muhyiddin juga seorang yang berpengalaman dan mempunyai bidang kemahiran khusus dalam pentadbiran ekonomi dalam dan luar negara.
''Ini akan membantu Najib berhadapan dengan tekanan ekonomi yang dialami negara di samping memacu perjalanan hala tuju parti,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin dalam satu kenyataan menerusi akhbar berbahasa Inggeris memberitahu yang beliau merupakan calon yang tepat dan saling melengkapi jika digandingkan dengan Najib menerajui kepimpinan parti dan negara akan datang.
Menurut Feriz, Muhyiddin juga seorang pemimpin yang agresif dan sesuai untuk memimpin parti bersama-sama Najib menzahirkan aspirasi generasi muda hari ini.
''Orang luar UMNO terutama orang muda mahukan parti ini membuat perubahan secara agresif dan menzahirkan aspirasi rakyat secara lantang.
''Jika kedua-duanya agresif dan serasi, diharap dapat membuahkan hasil, khususnya menarik semula keyakinan rakyat kepada parti ini menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak,'' ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat, Muhyiddin merupakan calon yang tepat untuk digandingkan dengan Najib bagi menerajui hala tuju parti tersebut akan datang.
Katanya, gandingan favourite ini bakal mencetuskan fenomena dan momentum baru dalam usaha memartabatkan hala tuju perjuangan parti dan negara.
''Keyakinan ini bukan sekadar persepsi dan perspektif dari kaca mata politik, malah mengambil kira aspek keupayaan pentadbiran, kepimpinan dan pengalaman kedua-dua tokoh tersebut.
''Saya mengatakannya serasi kerana Muhyiddin mempunyai latar belakang, keupayaan dan pengalaman yang luas dalam aspek pentadbiran ekonomi, manakala Najib mempunyai nilai dan etika kepimpinan serta pengalaman politik yang luas,'' katanya.
Menurut Ahmad Atory, negara kini berhadapan dengan dua masalah yang perlu diselesaikan iaitu berkenaan politik dalaman dan kelembapan ekonomi sejagat.
''Oleh itu, kearifan dan kepakaran Muhyiddin yang juga bekas Menteri Besar Johor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat korporat akan membantu meringankan beban Najib menyelesaikan permasalahan yang dihadapi negara,'' katanya.
No comments:
Post a Comment