Showing posts with label Kenyataan Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Akhbar. Show all posts

Wednesday, November 11, 2009

PENEMBUSAN JALUR LEBAR AKAN DITERUSKAN, KATA NAJIB - 50% AKSES PADA HUJUNG 2010


(ARTIKEL INI DICETAK DI MUKA HADAPAN KEBANYAKAN AKHBAR-AKHBAR MALAYSIA SEHARI SELEPAS ARTIKEL BERTAJUK "PERKENALKAN JALUR LEBAR GUNA WAYAR ELEKTRIK" DIPAPARKAN DI RUANGAN FERIZ OMAR, UTUSAN MALAYSIA)

Komen saya, "Alhamdulillah Syukur kepada Allah SWT. Ia tidak mengambil masa lama untuk YAB Datuk Seri Najib untuk bertindak ke atas cadangan jalur lebar seperti yang saya kongsikan dalam artikel saya semalam. Sememangnya YAB Perdana Menteri amat peka terhadap keperluan rakyat Malaysia".

PUTRAJAYA, 11 November 2009 : Kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk meningkatkan penembusan jalur lebar kepada 50 peratus menjelang 2010 berbanding 24 peratus pada masa ini, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata ia mengambil kira laporan Bank Dunia baru-baru ini yang menyebut setiap peningkatan 10 peratus dalam penembusan jalur lebar akan membantu meningkatkan keluaran dalam kasar negara (KDNK) sebanyak 1.3 peratus.

"Kita juga menjangkakan perkara yang sama di Malaysia. Ia bukan klise (kata-kata basi). Ia hakikat yang sudah terbukti. Korea Selatan sebagai contoh. Mereka melakukan usaha besar-besaran untuk pembangunan kandungan dan penembusan jalur lebar. Ia telah menyemarakkan ekonomi, malah lebih baik daripada Jepun," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia Koridor Raya Multimedia (MSC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Mesyuarat itu adalah yang pertama dipengerusikan oleh Najib selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata Malaysia mahu meningkatkan penembusan jalur lebar secara berperingkat-peringkat dan menjelang akhir tahun depan, ia mahukan kadar penembusan berkisar sekitar 50 peratus, disokong oleh perkhidmatan 4G oleh para penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

4G ialah perkhidmatan yang mengoperasikan pelbagai rangkaian berbeza dengan pemindahan berkelajuan tinggi.

"Negara memerlukan penembusan yang lebih tinggi... menghubungkan tempat seperti hospital-hospital utama atau sekolah di kawasan terbabit. Kita boleh menyediakan garis panduan yang lebih jelas apabila kita menyediakan model ekonomi baharu menjelang akhir tahun.

"Model ekonomi itu menjangkau semua sektor dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang akan digunakan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan tidak bercadang menyuntik dana tambahan untuk merealisasikan sasaran penembusan jalur lebar, ia sedang meneliti insentif untuk sektor swasta bagi menjayakannya.

"Kita sudahpun mempunyai RM2.4 bilion dalam inisiatif usaha sama awam-swasta. Telekom Malaysia sudah menyediakan kira-kira RM9.0 bilion untuk inisiatif jalur lebar...kami merasakan ia mencukupi untuk mencapai sasaran itu," katanya. - BERNAMA

Wednesday, June 17, 2009

MESYUARAT AHLI PARLIMEN PAS BINCANG TINDAKAN NIZAR

Berita Harian Rabu, 17 Jun 2009 (Muka surat 8)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa mendakwa bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak memaklumkan kepada Pas Pusat mengenai tindakannya memakai lilitan pada songkok, kepala dan lengan bertulis 'Bubar DUN' di Dewan Rakyat kelmarin.

"Tindakan beliau adalah spontan kerana tidak berpuas hati terhadap apa yang berlaku di Perak. Bagaimanapun, Nizar tidak memaklumkan tindakannya itu. Saya menyifatkan beliau mahu menarik perhatian dunia dan beliau memperolehnya," katanya.

Namun, beliau mengakui Mohammad Nizar ada menyatakan kepadanya akan memakai lilitan pada songkok tetapi bukannya melaungkan Bubar DUN.

Mengulas lanjut, Nasharuddin berkata, kelakuan Mohammad Nizar itu akan dibawa kepada mesyuarat mingguan Ahli Parlimen Pas.

Sementara itu, pelbagai pihak menyifatkan itu amat tidak wajar kerana akan memberi kesan kepada kredibiliti seluruh Ahli Parlimen dan bertentangan prinsip Rukun Negara yang meliputi penekanan kepada kedaulatan undang-undang sebagai sebahagian daripada proses membina negara.

Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun, berkata tindakan itu jelas dipengaruhi emosi yang tidak berkesudahan setelah gagal memperoleh kedudukan sebagai Menteri Besar Perak.

"Saya sendiri tidak faham tujuan Nizar melakukannya dan Dewan Rakyat bukanlah tempat yang sesuai. Beliau hanya memalukan diri sendiri dengan berkelakuan tidak sopan yang hanya akan mendatangkan keburukan kepada negara," katanya.

Pengerusi Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menyifatkan tindakan itu hanya memalukan orang Melayu, selain tidak menghormati keputusan mahkamah dan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Presiden Pertubuhan Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, Dewan rakyat seharusnya dijadikan tempat membincangkan isu negara, terutama membabitkan ekonomi dan sosial rakyat, bukannya menjadi tempat menyuarakan kepentingan peribadi.

SARANAN ANWAR BERMOTIF POLITIK, HANCURKAN PERPADUAN

Berita Harian Selasa, 16 Jun 2009 m/s-6

KUALA LUMPUR: Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibenar pulang ke negara ini bermotifkan politik dan boleh menghancurkan perpaduan dan demokrasi yang diamalkan.

Menyifatkannya sebagai saranan tidak munasabah, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar, berkata beliau terkejut dengan tindakan itu kerana ia dibuat seorang pemimpin politik yang kononnya 'disanjung' masyarakat antarabangsa. "Anwar ni kacang lupakan kulit. Dia tak tahu ke yang Chin Peng dulu membunuh orang Melayu, India dan Cina? Adakah munasabah dia memberi cadangan membawa pulang Chin Peng jika diambil kira apa yang telah dilakukan PKM dulu?

"Rakyat negara ini tidak akan melupakan apa yang dilakukan PKM. Demi keamanan dan perpaduan, kita sama sekali tidak akan membenarkan sesiapa yang berideologi komunis untuk berada di negara ini," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam. Osman juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terus menyatakan cadangan serupa kerana provokasi itu dilihat sebagai percubaan menghasut yang akan menggoyahkan kestabilan negara, Presiden Gabungan Persatuan India Malaysia, P Muguntha, berkata kepulangan Chin Peng ke tanah air hanya boleh dan wajar dibenarkan sekiranya dia 'bersedia' menjalani hukuman penjara seumur hidup.

"Jika bunuh satu orang pun, si pesalah kena menjalani hukuman, jadi apa yang membezakan Chin Peng dan menyebabkan dia tidak boleh menjalani hukuman itu? "Saya tidak nampak faedahnya membenarkan dia kembali ke negara ini kerana jika tindakan itu diambil, pastinya ia akan mengundang kemarahan mereka yang kehilangan ahli keluarga sepanjang pemberontakan parti itu di Tanah Melayu sebelum ini." katanya.

Presiden Pertubuhan Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar, berkata kenyataan Anwar yang mahu pemimpin PKM itu dibenarkan kembali ke tanah air atas dasar kemanusiaan tidak harus timbul sama sekali. "Chin Peng sendiri tidak pernah memikirkan perihal kemanusiaan ketika parti subversif militan itu melakukan kekejaman terhadap beribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu.

"Saya mempertikaikan cadangan ini kerana kita tidak mengiktiraf dan mengakui perjuangan PKM. Ideologi komunis tidak boleh diterima dan tindakannya sebelum ini boleh disifatkan sebagai tidak bertamadun. "Memang sebelum ini ada beberapa tokoh PKM dibenarkan kembali ke tanah air, tetapi Anwar perlu ingat.. mereka semua hanya sekadar pengikut, tetapi yang melahirkan falsafah dan menjadi 'guru' komunis itu adalah Chin Peng." katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya kesal masih ada pihak yang mahu kerajaan membenarkan Chin Peng ke tanah air, menggunakan alasan hubungan Malaysia dan China yang semakin baik untuk menghalalkan cadangan berkenaan.

Thursday, April 30, 2009

SEDAR DAN INSAF?

HASRAT NIK AZIZ DIALU-ALUKAN Oleh Tarmizi Rahim
(Utusan Malaysia, 29 April 2009)

KUALA LUMPUR 28 April - Pas sepatutnya tidak meletakkan syarat tertentu jika ikhlas mahu merealisasikan kerjasama kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN).

Para pimpinan UMNO dan parti komponen BN berpendapat syarat yang ditetapkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seolah-olah parti itu mempunyai agenda tersembunyi dalam membantu membangunkan negara ini.

Mereka bagaimanapun pada asasnya mengalu-alukan kesediaan parti pembangkang itu untuk bekerjasama yang secara tidak langsung memperlihatkan kesedaran dan keinsafan untuk menggembeling tenaga memajukan negara bersama-sama dengan BN.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, pergerakan itu sendiri sedia mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan Pas bagi menjayakan kerjasama tersebut.

"Syarat kita, mereka perlu ikhlas dan jangan letakkan sebarang syarat, Pemuda sedia bertindak proaktif dan berbincang jika mereka jujur dan ikhlas".

"Pemuda juga sebenarnya gembira dengan situasi ini yang menunjukkan Pas telah sedar dan insaf," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kesediaan Nik Abdul Aziz untuk menerima kerajaan perpaduan seperti dicadangkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan syarat BN memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.

Kenyataan Menteri Besar Kelantan itu dipetik dalam blog anaknya, Nik Abduh.
Sementara itu, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, titik persefahaman di antara Pas dan BN itu perlu diperkembangkan bagi mencapai persamaan yang lebih jitu dan konkrit.

"Bagi saya soal jawatan itu tidak begitu penting tetapi yang paling mustahak ialah duduk bersama dahulu dan berbincang bagi menerokai titik penamat kepada persefahaman itu," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Senator Datuk Wong Foon Meng pula mempertikaikan kejujuran Nik Abdul Aziz yang disifatkan lebih mementingkan jawatan dalam kerajaan daripada membantu rakyat dan negara.

Sepatutnya, kata beliau, apabila Pas sedia bekerjasama dengan BN bermakna mereka telah bersedia menyertai sebuah pasukan yang mana setiap keputusannya perlu diputuskan secara bersama dan bukannya secara individu.

"Inilah yang saya sangsi dengan hasrat Pas itu, ingin sertai kerajaan perpaduan tetapi sejak awal lagi mahukan jawatan-jawatan tertentu, apa agenda mereka sebenarnya," katanya.

Bagi Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam pula, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan BN untuk mengkaji secara mendalam hasrat Menteri Besar Kelantan itu.

"Saya enggan komen lanjut kerana kita tidak tahu apa niat sebenar Nik Abdul Aziz, biarlah pucuk pimpinan kita membuat keputusan terbaik," katanya.

Wednesday, April 22, 2009

NGO ANGGAP PEMBANGKANG SANGGUP GADAI MARUAH MELAYU, ISLAM

BERITA HARIAN - KUALA LUMPUR, 21 April 2009 : Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno sebagai bukti parti itu sanggup mempertikaikan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Mereka juga berpendapat, kenyataan Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mencerminkan keangkuhannya dan sikap sebenar Pas yang tidak berminat berjuang untuk menegakkan perpaduan atau syiar Islam. Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia (PPIM), Datuk Zulkifli Mohamad, berkata kenyataan Mohammad Nizar bukan saja menggambarkan kesombongan dan keangkuhan, malah beliau rela diperkudakan oleh DAP yang sentiasa mencari jalan untuk meneruskan agenda mereka.

"Mohammad Nizar menjadi mikrofon suara kepada DAP sedangkan parti itu mengamalkan pendekatan 'baling batu sembunyi tangan' namun saya sentiasa yakin jalan menyelamatkan orang Melayu adalah menerusi permuafakatan Umno dan Pas di meja rundingan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Akhbar semalam melaporkan kenyataan Mohammad Nizar bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno walaupun untuk kestabilan politik di Perak, sebaliknya meminta Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata beliau yakin keangkuhan Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu akan sampai ke peringkat rakyat benci pada Pakatan Rakyat walaupun ketika ini ada yang menyokong tindakan itu.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar, berkata kenyataan itu menggambarkan bahawa Mohammad Nizar seorang pemimpin yang emosional sehingga mengeluarkan kenyataan bersifat peribadi. Malah, katanya kenyataan itu mungkin tidak mewakili keseluruhan pemimpin Pas, terutama pada peringkat jawatankuasa perhubungan negeri dan pucuk pimpinan parti termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun, Presiden Pertubuhan Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar, berkata beliau melihat kenyataan Mohammad Nizar itu mungkin sebagai pintu kejayaan mencari titik pertemuan antara Umno dan Pas.

Katanya, semua pihak perlu duduk semeja untuk merungkai apakah alasan pemimpin Pas terbabit membuat kenyataan seumpama itu kerana ia dilihat lebih baik berbanding jika tiada kenyataan dibuat.

Tuesday, April 21, 2009

SULTAN'S CALL FOR POLITICAL PARTIES TO FIND COMMON GROUND WELL RECEIVED

(BERITA NASIONAL April 19, 2009 19:30 PM)

KUALA LUMPUR, April 19 (Bernama) - The Perak Sultan's call for political parties to find a common ground to work together for the good of the country and people has been well received by various quarters.

Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) or Malay Unity Action Front president, Osman Abu Bakar, said Sultan Azlan Shah's suggestion was timely as it could help forge unity, in line with the '1Malaysia" concept introduced by Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak.

"All quarters, whether from the government or opposition, need to help strengthen unity among the races and among all people in the country," he said in response to the Perak Sultan's call in his speech at the investiture ceremony held in conjunction with the ruler's 81st birthday celebration.

The Sultan said there had been excessive politicking to the extent of affecting the country's economic productivity and its image internationally.

Sultan Azlan Shah also touched on the actions of certain political groups of inciting the people to create trouble and to hate the monarchy, besides tarnishing its image, describing these as dangerous actions which could disrupt harmony in the country.

Meanwhile, the president of the Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, said the political crisis would not have continued if some of the political leaders had not raised certain fundamental matters guaranteed in the Federal Constitution.

He said all quarters, including from the opposition, should know the basis of Malaysia's founding and uphold strongly the principles of Rukun Negara.

"If the political parties do not question such matters as the position of the Malay rulers and the special rights of the Malays, then there will be no conflict and the issue of finding a common ground will not arise," he said.

Ibrahim, who is also Pasir Mas member of parliament, said all quarters should therefore understand the Federal Constitution and refrain from raising sensitive issues that could disrupt racial unity.

"Political differences will be always be there as each party has its own policies and ideology. They will be able to cooperate if they discuss politics and the economy, but not when they discuss sensitive issues like all races must have equal rights, as there will be friction," he said.

President of the Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar, said the Perak Sultan's suggestion could be interpreted as a call for the government and opposition parties to find commonalities in which they could cooperate and not to highlight their differences.

Feriz said the strategy was achievable through a consultative system in which one saw the needs and wants of minority groups as something achievable although such issues had also been raised by the opposition.

"With this approach, I believe the Barisan Nasional government led by Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak will still be the best government for the country and people."

He said this strategy was also in tune with the Najib-inspired "1Malaysia" concept.


-- BERNAMA

SARANAN PARTI POLITIK CAPAI TITIK PERTEMUAN DISAMBUT BAIK - TRANSLATED VERSION

(BERITA NASIONAL - 19 April, 2009 17:37 PM)

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama)
- Saranan Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya parti politik mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama antara mereka bagi kepentingan negara dan warganya disambut baik oleh pelbagai pihak.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) Osman Abu Bakar berkata saranan Sultan Azlan Shah itu tepat pada masanya kerana ia salah satu cara untuk mengeratkan perpaduan sesuai dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan konsep "1Malaysia."

"Semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang perlu bekerjasama bagi memudahkan proses perpaduan antara kaum dan rakyat dapat direalisasikan," katanya bagi mengulas titah baginda pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda hari ini.

Dalam ucapan baginda, Sultan Perak bertitah negara kini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

Malah baginda turut menyentuh mengenai tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja yang merupakan tindakan amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pula berkata kemelut politik yang tidak berkesudahan di dalam negara ini tidak akan timbul jika sesetengah pemimpin politik tidak menyentuh dan mempersoalkan perkara asas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Beliau berkata semua pihak termasuk pembangkang perlu memahami asas kewujudan Malaysia dan berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara.

"Kalau parti politik tidak sentuh perkara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu maka takkan timbul masalah dan tidak perlu sebarang titik pertemuan diadakan," katanya kepada Bernama.

Ibrahim yang juga anggota Parlimen Pasir Mas berkata jika semua pihak memahami asas Perlembagaan dan tidak menimbulkan sebarang isu yang boleh memecah belahkan perpaduan semua rakyat, maka pertemuan antara mereka tidak perlu diadakan.

"Politik tetap berbeza kerana setiap parti mempunyai dasar masing-masing.

Boleh bekerjasama jika berbicara soal politik dan ekonomi tetapi jangan sentuh isu sensitif contohnya hendak semua kaum sama rata haknya, ia akan jadi bergaduh," katanya.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris) Feriz Omar menyifatkan titah baginda boleh diterjemahkan sebagai mengajak pemimpin yang menerajui kerajaan untuk bersama-sama mencari persamaan dengan parti pembangkang dan mengelakkan daripada mengenengahkan sebarang perbezaan dengan mereka.

Feriz berkata strategi itu boleh dicapai melalui membentuk sistem pentadbiran syura iaitu dengan melihat permintaan dan kehendak masyarakat minoriti sebagai satu perkara yang boleh diatasi walaupun perkara-perkara yang dituntut itu turut dibawa oleh pembangkang.

"Dengan pendekatan ini, maka saya percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu meletakkan Barisan Nasional (BN) tidak berdaya ditandingi oleh mana-mana pesaingnya di kalangan parti pembangkang.

"Strategi ini juga adalah bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib sendiri," katanya.

-- BERNAMA

Monday, April 20, 2009

GROUPS LAUD CALL FOR POLITICAL PARTIES TO FIND COMMON GROUND

THE STAR, KUALA LUMPUR, 20 Apr 2009 : The Sultan of Perak’s call for political parties to find a common ground to work together for the good of the country and people has been well received by various quarters.

Malay Unity Action Front president Osman Abu Bakar said Sultan Azlan Shah’s suggestion was timely as it could help forge unity, in line with the 1Malaysia concept of Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak.

“All quarters, whether from the Government or Opposition, must help strengthen unity among the races and people in the country,” he said in response to the Sultan’s call in his speech at the investiture ceremony held in conjunction with the Ruler’s 81st birthday celebration.

The Sultan said excessive politicking had affected the country’s economic productivity and its image internationally.

Sultan Azlan Shah also touched on the actions of certain political groups in inciting the people to create trouble and hate the monarchy besides tarnishing its image, describing them as dangerous actions which could disrupt the country’s harmony.

Perkasa president Datuk Ibrahim Ali, who is also Pasir Mas MP, said there would be no conflict if political parties did not question matters as the position of the Malay Rulers and the special rights of the Malays.

He said all quarters should therefore understand the Federal Con­stitution and refrain from raising sensitive issues.

The Malays Professionals Organisation (ProWaris) President Feriz Omar said the Sultan’s suggestion was achievable through a consultative system that acknowledged the needs and wants of minority groups as something that could be achieved.

He said this was also in tune with the 1Malaysia concept. — Bernama

Thursday, April 16, 2009

UTUSAN MALAYSIA : MB NAFI KHAIRY DISIASAT

SEREMBAN 15 April - Dakwaan kononnya Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat khidmatnya di Rembau didatangi pegawai suruhanjaya itu semalam hanya khabar angin.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau sendiri tidak menerima sebarang makluman mengenai perkara itu daripada SPRM berhubung siasatan tersebut.

Jelasnya, setakat ini hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah berhubung kes rasuah.

"Tidak ada. Yang ada cuma satu kes sahaja melibatkan ADUN Lenggeng. Jika ada sebarang siasatan, mahupun pemeriksaan yang hendak dilakukan ke atas mana-mana ADUN mahupun Ahli Parlimen, SPRM akan maklumkan kepada saya bahawa siasatan sedang dilakukan," katanya yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mengulas khabar angin sejak semalam kononnya SPRM menyerbu pejabat Ketua Pemuda UMNO itu semalam, Mohamad berkata, ia hanya khabar angin.

"Kita janganlah ambil pendekatan seperti itu, seolah-olah mahu mematikan karier beliau sebagai pemimpin muda".

"Pemimpin muda seperti beliau harus diberi tempat dan peluang untuk berjuang di dalam parti selain memberi semangat kepada generasi baru pada masa hadapan," jelasnya.


Dalam pada itu, Pengarah SPRM negeri, Roszaini Abu menjelaskan, pihaknya tidak memperoleh sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.

"Saya berada di Genting Highlands untuk menghadiri mesyuarat. Setahu saya tiada maklumat diperoleh berhubung sebarang siasatan SPRM ke atas pejabat Khairy," katanya ketika dihubungi hari ini".

UTUSAN MALAYSIA : FUNGSI MECD DISERAP

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HERMAN HAMID

PUTRAJAYA 15 April – Agenda membela bumiputera yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang dimansuhkan, tetap diteruskan apabila kerajaan bersetuju menyerapkan fungsi dan agensi-agensinya ke lapan buah kementerian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini berkata, persetujuan mengenainya akan terus memastikan peranan-peranan utama MECD terutama bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.

Pada masa sama, kata beliau, ia akan memperluas dan mempercepatkan penglibatan bumiputera dalam arus ekonomi negara, membangunkan kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi yang terus diberi penekanan kerajaan.

Berikut fungsi-fungsi dan agensi-agensi MECD yang diserapkan:

1. Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

2. Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

3. Pembangunan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

4. Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ke Jabatan Perdana Menteri.

5. Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) ke Kementerian Kerja Raya.

6. Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Bank Rakyat ke Kementerian Kewangan.

7. Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

8. Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia Japan University (MAJU) ke Kementerian Pengajian Tinggi.

9. Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, pada sidang akhbar sebelum pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di ibu negara petang ini, Najib menegaskan, tiada sebab mengapa pemansuhan kementerian tersebut perlu dijadikan polemik.

Kata Perdana Menteri, ini kerana agensi yang selama ini berada di bawah MeCD tidak pun dibubarkan dan akan tetap meneruskan fungsi serta peranan mereka dengan ditempatkan di beberapa kementerian lain.

“Seperti Mara, kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga seperti ketika zaman Tun Ghafar (Baba).

“Dan Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO. Takkan beliau tak boleh kita harapkan untuk laksanakan program Mara umpamanya.

“Jadi saya tak nampak polemik tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien,” katanya.

Mengenai LPKP, Perdana Menteri menjelaskan, ia diletakkan di bawah JPM kerana kerajaan mahu mewujudkan sebuah badan baru yang dikenali sebagai Lembaga Pengangkutan Kebangsaan.

Katanya, atas sebab itu juga LPKP tidak berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan kerana peranan dan fungsi badan baru tersebut akan merentasi pelbagai kementerian.

“Undang-undang lembaga ini sedang digubal. Sebenarnya ia diputuskan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi. Saya fikir tahun ini (boleh dimuktamadkan),” jelasnya.

UTUSAN MALAYSIA : KAMARUDDIN PERTAHAN KENYATAAN

KUALA LUMPUR 15 April - Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar mempertahankan kenyataannya bahawa rusuhan berdarah di Pattaya, Thailand baru-baru ini mungkin berlaku di Perak jika Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan segera.

Pada masa sama, beliau turut menafikan kenyataannya itu sebagai satu bentuk hasutan yang bertujuan menimbulkan huru-hara di Perak.

"Kenyataan itu bukan bertujuan menghasut kerana saya tidak menyuruh penyokong Pas turun ke jalanan membuat rusuhan.

"Saya hanya menyuarakan pandangan agar DUN Perak segera dibubarkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kamaruddin mengulas kecaman dan kritikan kepadanya selepas mengeluarkan kenyataan yang disifatkan banyak pihak sebagai berbaur ugutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Kenyataan beliau yang disiarkan dalam lidah rasmi Pas, Harakah Daily Ahad lalu mendakwa, rusuhan seperti di Pattaya mungkin berlaku di Perak sebagai manifestasi kemarahan rakyat ekoran kerajaan pilihan mereka disingkirkan.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pemimpin kerajaan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disifatkan cuba membawa budaya politik jalanan.

Mengulas kecaman dan kritikan itu, Kamaruddin berkata, beliau menerima dengan lapang dada jika pandangannya tidak dipersetujui tetapi untuk mendakwa beliau di bawah Akta Hasutan adalah tidak adil.

Wednesday, April 15, 2009

UTUSAN MALAYSIA : AMBIL TINDAKAN AKTA HASUTAN – NGO

KUALA LUMPUR 14 April - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan ke atas Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar kerana mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan. Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, amalan politik jalanan yang cuba diterapkan oleh Pas boleh menyebabkan perpecahan. "Pihak berkuasa perlu menyiasat kenyataan ini.

Apa tujuan dia (Kamaruddin) mengeluarkan kenyataan senario politik di Thailand mungkin berlaku di Perak. "Jika terbukti kenyataan seperti itu mempunyai asas untuk menghasut rakyat supaya melakukan kekacauan ambil tindakan keras di bawah Akta Hasutan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Osman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kamaruddin dalam lidah rasmi Pas, Harakah Daily yang berbaur ugutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lidah rasmi parti tersebut Ahad lalu menyiarkan kenyataan Kamaruddin yang mendakwa, tidak mustahil rakyat Perak akan melakukan rusuhan seperti di Pattaya, Thailand, jika Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan tidak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin kanan Pas itu semalam, menyifatkan kenyataan Kamaruddin itu sebagai tidak bertanggungjawab, provokasi dan satu hasutan.

Turut mendesak tindakan yang sama diambil ke atas Kamaruddin ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar. Katanya, kenyataan Kamaruddin tersebut sebagai isyarat supaya penyokong Pas melakukan rusuhan di Perak.

Feriz dalam pada itu turut menyelar Kamaruddin kerana mengeluarkan kenyataan tidak berlandaskan fakta berhubung proses pembubaran DUN negeri Perak. Katanya, urusan untuk membubarkan DUN adalah kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan bukannya Perdana Menteri. "Janganlah demi kepentingan politik menafikan fakta dan mengeluarkan bayangan rusuhan mungkin berlaku. "Kalau Sultan tidak mahu DUN dibubarkan, maka mereka perlu tunggu Pilihan Raya Umum Ke-13," jelasnya. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berharap keselamatan rakyat dan negara tidak diperjudikan demi kepentingan politik.

Menurutnya, Pas tidak perlu mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Perak. "Saya percaya senario di Thailand tidak akan berlaku di Perak kerana asas politik kita berbeza. Saya fikir rakyat negara ini memilih keharmonian," katanya.

Monday, April 13, 2009

UTUSAN MALAYSIA : HENTI KELIRUKAN SATU MALAYSIA

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 12 April - Usaha pihak tertentu termasuk pembangkang menyamakan konsep Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia mesti segera dihentikan bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin UMNO menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai konsep tersebut tidak mengetepikan hak bumiputera dan Melayu seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, bumiputera dan Melayu yang mewakili 60 peratus komposisi penduduk di negara ini sedia berdepan mana-mana pihak demi mempertahankan konsep Satu Malaysia yang menjaga kehormatan Perlembagaan itu.

"Ini bukan Singapura. Ini Malaysia yang mana rakyatnya berjanji setia kepada raja dan negara. Kita mempunyai kedaulatan undang-undang, jadi jangan derhaka.

"Jika ada sesiapa yang cuba samakan Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia, Perkasa dan kaum bumiputera akan bangkit menentang mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi melahirkan kerisauan masyarakat bumiputera tentang cubaan sesetengah parti politik, media dan blog yang cuba memanipulasi maksud Satu Malaysia yang dibawa Najib.

Menurut Ibrahim, gerakan halus itu mahu memecahbelahkan masyarakat dan dikhuatiri cubaan menidakkan kuasa raja-raja Melayu serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menjelaskan, konsep Satu Malaysia adalah komitmen Najib dan kerajaan dalam memelihara keharmonian kaum berpaksikan kesejahteraan serta pertumbuhan ekonomi.

"Dalam konsep ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) langsung tidak mengetepikan hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum malah selari dengan Perlembagaan.

"Konsep 'Malaysian Malaysia' pula mementingkan sama rata dan sama rasa tetapi cenderung menafikan peruntukan Perlembagaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihak pembangkang tidak harus membangkitkan isu kesamarataan yang sebenarnya bukan menjadi keutamaan dalam konsep Satu Malaysia.

Beliau kesal dengan sikap pembangkang memanipulasi konsep tersebut semata-mata untuk mengelirukan rakyat kononnya kerajaan mengetepikan kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Kata Rosnah, agenda jahat itu ternyata akan memberi kesan kepada perpaduan serta hubungan kaum di negara ini sekali gus merosakkan konsep yang matlamatnya ialah supaya rakyat Malaysia bersatu, berpadu dan bersama-sama membangunkan negara.

''Kita tidak mahu konsep itu dicanang oleh pembangkang menyamai Malaysian Malaysia kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang berbeza,'' katanya.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, pihak terbabit terutama para penulis blog seperti tidak mengakui usaha kerajaan selama ini yang mengambil kira kepentingan semua kaum.

"Satu Malaysia adalah pendekatan Datuk Seri Najib untuk meneruskan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti mengutamakan kedudukan agama Islam untuk orang Melayu serta menjaga kepentingan Cina dan India dalam menghormati kewujudan sekolah vernakular.

"Malaysian Malaysia pula berbahaya bagi kelangsungan orang Melayu dan pribumi yang mana kedudukan raja-raja Melayu dicabar, kedaulatan Islam diperkotak-katikkan manakala kedudukan bahasa Melayu disamaratakan," jelasnya.


Sementara itu, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) juga menyeru rakyat Malaysia terutama bumiputera terus mempertahankan kedudukan agama Islam dan kehormatan raja-raja serta bahasa Melayu demi mengekalkan keharmonian negara.

Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar mengingatkan, konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan Najib masih menghormati dan mengiktiraf kepentingan semua pihak dengan mendahulukan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi ikatan kesejahteraan kaum selama ini.

"Jadi, jika ia disamakan dengan Malaysian Malaysia, ia salah dan berbahaya. Jangan terkeliru dengan dakyah DAP dan penulis blog yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Justeru, beliau meminta kerajaan memantau gerakan halus ini sama ada menerusi media perdana mahu pun blog serta mengambil tindakan bagi menghentikan penyebaran sentimen yang mampu menggugat keharmonian kaum itu.

Wednesday, March 25, 2009

MAJLIS PEGUAM TERUS DIKECAM

UTUSAN MALAYSIA - DALAM NEGERI (Mukasurat 34) Oleh Andika Wahab pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Mac - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Majlis Peguam yang sering memainkan isu menyentuh sensitiviti agama Islam.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar berkata, Majlis Peguam perlu dikenakan tindakan tegas memandangkan ini bukan kali pertama majlis tersebut bermain dengan isu melibatkan sensitiviti Melayu dan agama Islam.

Katanya, majlis itu yang berlatar belakangkan perundangan sepatutnya tidak bermain dengan isu-isu sensitif kaum dan agama apatah lagi ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Majlis Peguam perlu tahu ruang lingkup dan bidang kuasanya dan tidak perlu mencampuri urusan keagamaan.

''Majlis ini juga kadangkala bertindak seperti NGO dan persatuan hak asasi sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat tentang peranannya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin dalam kenyataan meminta supaya kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas Majlis Peguam kerana telah melakukan tinjauan penggunaan kalimah Allah di laman webnya.

Setakat 12 Mac lepas, sebanyak 1,000 pengunjung laman web tersebut membuat undian dalam tinjauan itu.

Menurut Feriz, Majlis Peguam semakin berani bermain dengan isu-isu sensitif kerana tahu Melayu kini berpecah-belah kerana sentimen politik.

''Tapi perlu diingat, walaupun berpecah-belah dari sudut pandang politik, perpaduan menerusi benteng Islam mampu mengetepikan elemen perbezaan politik,'' tegasnya.

Feriz menambah, sebarang provokasi terhadap keputusan kerajaan terutama Majlis Raja-Raja mewartakan penggunaan kalimah Allah di seluruh negara (kecuali empat negeri) seolah-olah mencabar kedaulatan raja dan Perlembagaan negara.

Justeru, mereka perlu dikenakan tindakan tegas selain mengkaji semula Akta Profesion Guaman serta membuat pindaan segera berkenaan bidang tugas Majlis tersebut.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan juga berpendapat, Majlis Peguam perlu dikenakan tindakan tegas kerana beberapa kali melakukan provokasi ke atas agama Islam.

Katanya, hukuman perlu dikenakan kepada majlis itu sebagai pengajaran kerana sering kali bermain isu akidah dan hak-hak yang melibatkan sensitiviti Melayu dan agama Islam.

''Islam adalah benteng terakhir orang-orang Melayu. Jika sebelum ini soal Melayu yang dipersoalkan kita masih boleh mendongak dan menuding jari di antara satu sama lain.

''Kali ini soal agama. Walaupun Melayu kelihatannya berpecah-belah, tapi soal agama ia boleh membangkitkan perpaduan dan bakal mencetuskan persengketaan," katanya.

Menurut Fuad, Majlis Peguam yang berlatar belakangkan undang-undang sepatutnya tahu akan beberapa tindakannya sebelum ini telah melanggari peruntukan Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam.

Selain itu, katanya, Majlis Peguam juga telah membelakangkan keputusan kerajaan dan raja-raja Melayu yang telah mewartakan penggunaan kalimah Allah.

''Dakyah ke atas Muslim, pluralisme keagamaan dan usaha kesamarataan yang dilakukan Majlis Peguam ini perlu dihentikan.

''Oleh itu, perlu dikenakan tindakan tegas agar tidak lagi mencerobohi bidang keagamaan terutama agama Islam," katanya.

Sunday, March 22, 2009

MUHYIDDIN, NAJIB GANDINGAN SERASI

MINGGUAN MALAYSIA - ARKIB BERITA: AHAD, 22 MAC 2009
KUALA LUMPUR 21 Mac - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan gandingan paling serasi menerajui hala tuju parti dan negara pada masa hadapan.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, Muhyiddin merupakan calon terbaik digandingkan dengan Najib bagi membawa perubahan dan harapan baru kepada parti serta negara.

Katanya, beliau mempunyai pengalaman yang luas memimpin parti dan mampu membantu Najib sebagai pemimpin nombor satu negara dan parti kelak.

''Selain itu, Muhyiddin juga seorang yang berpengalaman dan mempunyai bidang kemahiran khusus dalam pentadbiran ekonomi dalam dan luar negara.

''Ini akan membantu Najib berhadapan dengan tekanan ekonomi yang dialami negara di samping memacu perjalanan hala tuju parti,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin dalam satu kenyataan menerusi akhbar berbahasa Inggeris memberitahu yang beliau merupakan calon yang tepat dan saling melengkapi jika digandingkan dengan Najib menerajui kepimpinan parti dan negara akan datang.

Menurut Feriz, Muhyiddin juga seorang pemimpin yang agresif dan sesuai untuk memimpin parti bersama-sama Najib menzahirkan aspirasi generasi muda hari ini.

''Orang luar UMNO terutama orang muda mahukan parti ini membuat perubahan secara agresif dan menzahirkan aspirasi rakyat secara lantang.

''Jika kedua-duanya agresif dan serasi, diharap dapat membuahkan hasil, khususnya menarik semula keyakinan rakyat kepada parti ini menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak,'' ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat, Muhyiddin merupakan calon yang tepat untuk digandingkan dengan Najib bagi menerajui hala tuju parti tersebut akan datang.

Katanya, gandingan favourite ini bakal mencetuskan fenomena dan momentum baru dalam usaha memartabatkan hala tuju perjuangan parti dan negara.

''Keyakinan ini bukan sekadar persepsi dan perspektif dari kaca mata politik, malah mengambil kira aspek keupayaan pentadbiran, kepimpinan dan pengalaman kedua-dua tokoh tersebut.

''Saya mengatakannya serasi kerana Muhyiddin mempunyai latar belakang, keupayaan dan pengalaman yang luas dalam aspek pentadbiran ekonomi, manakala Najib mempunyai nilai dan etika kepimpinan serta pengalaman politik yang luas,'' katanya.

Menurut Ahmad Atory, negara kini berhadapan dengan dua masalah yang perlu diselesaikan iaitu berkenaan politik dalaman dan kelembapan ekonomi sejagat.

''Oleh itu, kearifan dan kepakaran Muhyiddin yang juga bekas Menteri Besar Johor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat korporat akan membantu meringankan beban Najib menyelesaikan permasalahan yang dihadapi negara,'' katanya.

Sunday, February 8, 2009

MELAYU PERAK BUKAN PATUNG WAYANG KULIT


MUKA DEPAN MINGGUAN MALAYSIA (Ahad 08/02/2009 m/s-1)


Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. – DR. MAHATHIR MOHAMAD (Bekas Perdana Menteri)

Tindakan mahu menyaman Sultan Perak adalah suatu langkah yang tidak bijaksana, berbaur politik, agenda pakatan pembangkang dan tidak menghormati hak raja di dalam Perlembagaan. Ia adalah amat memalukan, raja perlu dihormati. – MUHYIDDIN YASSIN (Naib Presiden UMNO)

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, institusi raja dilibatkan begitu agresif sehingga ke peringkat perundangan hanya akibat daripada kekecewaan politik segelintir pihak. – DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Seolah-olah kita (orang Melayu) jadi patung wayang kulit, Karpal Singh pula menjadi `tok dalang’, manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengadu domba. – JAMALUDIN YUSOF (Presiden Pekida)

Tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan. Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu tidak akan berdiam diri. – IBRAHIM ALI (Presiden Perkasa)

Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu. Tindakan mereka membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat. – FERIZ OMAR (Presiden ProWaris)

DALAM NEGERI
Muka Dalam - Mingguan Malaysia Ahad 08/02/2009 m/s-2


'Melayu Perak bukan patung wayang kulit'


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Pengerusi DAP Karpal Singh dan pemimpin pakatan pembangkang hari ini diberi amaran keras supaya berhenti memperlekehkan Raja-raja Melayu dan jangan menjadikan Melayu Perak patung wayang kulit.

Orang Melayu di negeri itu juga diingatkan supaya tidak lagi membiarkan diri mereka diperkudakan untuk menyanggah institusi beraja yang merupakan 'urat nadi' orang Melayu selama ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu memberi amaran tersebut ekoran sikap biadap pemimpin pakatan pembangkang sewenang-wenangnya 'memijak' Raja-raja Melayu ekoran keengganan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, tindakan Karpal dan sekutunya yang melakukan provokasi termasuk menyaman Sultan Perak sebenarnya adalah satu bentuk penghinaan amat dahsyat kepada orang Melayu.

Tegas beliau, pihaknya melihat penderhakaan secara terang-terangan terhadap Sultan Azlan Shah sebagai malapetaka terhadap kaum Melayu.

Lebih menyedihkan, katanya, orang Melayu yang berjubah dan berserban telah dihasut untuk berdemonstrasi menentang titah baginda.

"Seolah-olah orang Melayu menjadi patung wayang kulit, Karpal pula menjadi 'tok dalang', manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak mengadu domba," ujar beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan liar penyokong pakatan pembangkang yang merusuh di perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat semalam untuk menghalang pelantikan Menteri Besar baru daripada Barisan Nasional (BN) yang diperkenan oleh Sultan Azlan.

Terdapat antara mereka yang berdemonstrasi itu bertindak berbaring di atas jalan raya bagi menghalang kenderaan rasmi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selain menghamburkan kata-kata kesat.

Hampir keseluruhan mereka yang menyertai perhimpunan haram untuk mempertahankan kerajaan pakatan pembangkang yang didominasi oleh parti DAP itu terdiri daripada orang Melayu.

Menurut Jamaludin, Pekida berpendapat, Pengerusi DAP itu mungkin mempunyai motif lain untuk menimbulkan kekacauan dan menarik perhatian masyarakat dunia bahawa
Sultan Azlan adalah seorang raja yang berat sebelah.

Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula berkata, tindakan biadap Karpal mahu mengemukakan saman terhadap Sultan Azlan Shah dikhuatiri boleh menanam perasaan benci terhadap institusi beraja.

Presiden Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) dan Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan itu menegaskan, tindakan DAP itu seolah-olah menggambarkan Sultan Perak membelakangkan peruntukan undang-undang.

"Dalam hal ini, saya mengingatkan pemimpin pembangkang terutama Anwar, Karpal dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar bertindak secara profesional dan menerima hakikat kegagalan mereka memerintah negeri ini," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Hilmi berkata, GMP telah membuat laporan di Balai Polis Sea Park, Ipoh, semalam kerana perbuatan Karpal itu dilihat sebagai ugutan bagi menghalang Sultan Perak melaksanakan bidang kuasa di bawah peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Menurutnya, tindakan saman itu jika dibiarkan sudah pasti akan mengakibatkan kaum Melayu bangkit membuat bantahan keras.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, menyifatkan tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan perasaan orang Melayu.

"Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu sudah semestinya tidak akan berdiam diri melihat keadaan tersebut," katanya.

Ibrahim meminta Karpal Singh agar jangan bersikap emosional secara membabi-buta memandangkan negara ini merupakan sebuah kerajaan raja berperlembagaan.

"Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, jika beliau masih berdegil dengan tindakannya, lihatlah nanti bagaimana orang Melayu akan bersatu serta bangun menentangnya," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Generasi Profesional Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar menyifatkan cadangan saman itu merupakan strategi Anwar dalam menggunakan Karpal sebagai wakil pembangkang.

Katanya, Anwar mungkin berasa masih perlu 'bersembunyi' dan tidak mendedahkan diri sebagai dalang dalam cadangan saman itu.

"Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu.

"Tindakan mereka berdua membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat," ujarnya.

Justeru, tegas Feriz, kerajaan perlu menggunakan badan perisikan yang ada untuk membuktikan peranan Anwar dalam pelbagai isu yang memporak-perandakan keamanan negara.