Thursday, April 16, 2009

UTUSAN MALAYSIA : MB NAFI KHAIRY DISIASAT

SEREMBAN 15 April - Dakwaan kononnya Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat khidmatnya di Rembau didatangi pegawai suruhanjaya itu semalam hanya khabar angin.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau sendiri tidak menerima sebarang makluman mengenai perkara itu daripada SPRM berhubung siasatan tersebut.

Jelasnya, setakat ini hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah berhubung kes rasuah.

"Tidak ada. Yang ada cuma satu kes sahaja melibatkan ADUN Lenggeng. Jika ada sebarang siasatan, mahupun pemeriksaan yang hendak dilakukan ke atas mana-mana ADUN mahupun Ahli Parlimen, SPRM akan maklumkan kepada saya bahawa siasatan sedang dilakukan," katanya yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mengulas khabar angin sejak semalam kononnya SPRM menyerbu pejabat Ketua Pemuda UMNO itu semalam, Mohamad berkata, ia hanya khabar angin.

"Kita janganlah ambil pendekatan seperti itu, seolah-olah mahu mematikan karier beliau sebagai pemimpin muda".

"Pemimpin muda seperti beliau harus diberi tempat dan peluang untuk berjuang di dalam parti selain memberi semangat kepada generasi baru pada masa hadapan," jelasnya.


Dalam pada itu, Pengarah SPRM negeri, Roszaini Abu menjelaskan, pihaknya tidak memperoleh sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.

"Saya berada di Genting Highlands untuk menghadiri mesyuarat. Setahu saya tiada maklumat diperoleh berhubung sebarang siasatan SPRM ke atas pejabat Khairy," katanya ketika dihubungi hari ini".

No comments: