Saturday, September 26, 2009

FAHD AL-WARITH - PELENGKAP KEBAHAGIAAN FIFI

(Oleh Zalifah Abdullah, Majalah Harmoni Keluaran 1 - 15 Oktober 2009, Muka 94)




FAHD AL-WARITH - PELENGKAP KEBAHAGIAAN FIFI

KEHADIRAN buah cinta pertama yang diberi nama Fahd Al-Warith benar-benar membawa sinar kebahagiaan buat personaliti ternama, Noor Hafiza Saharuddin atau Fifi dan suami tercinta, Feriz Omar.

Malah kedatangan 1 Syawal pada tahun ini semakin ceria dan bermakna dengan adanya si chomel Fahd yang baru berusia 3 bulan.

Jelas Fifi, sambutan Hari Raya tahun ini akan diraikan di rumah ibu mentuanya, Hajjah Rogayah Haji Ahmad, 72, yang terletak di Taman Kebun Teh, Johor Bahru, Johor. Mereka sekeluarga akan pulang ke sana dua hari sebelum raya dan akan berada di sana selama beberapa hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk meraikan lebaran bersama keluarganya pula.

"Sememangnya, detik 1 Syawal amat kami nantikan. Kami ingin membawa Fahd berjumpa dengan nendanya yang sememangnya merindui dan menantikan kepulangan kami sekeluarga".

"Disebabkan ibu bapa saya tinggal di Kuala Lumpur, mereka sentiasa berpeluang untuk berjumpa dengan Fahd tetapi tidak bagi ibu mentua yang tinggal nun di selatan tanah air. Justeru, kami sepakat untuk meraikan hari lebaran ini bersamanya agar dia dapat melepaskan rindu buat Fahd. Selain itu, kami juga ingin mengambil kesempatan tersebut untuk memperkenalkan Fahd kepada seluruh keluarga suami saya di Johor," katanya yang akan mengenakan pakaian sedondon berwarna ungu dan terquoise bersama suami dan anaknya di pagi raya.

RAYA BERSAMA RAKYAT

Selaku isteri kepada Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Fifi akan turut menyertai suaminya, Feriz untuk berhari raya bersama-sama Tan Sri Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman bersama masyarakat di Pagoh, Johor.
"Sebagai pegawai khas, jadual kerja Feriz memang padat. Dia perlu menyertai kebanyakan majlis yang disertai oleh Tan Sri. Sebagai isteri, saya cukup memahami rutin kerjanya yang sentiasa sibuk dan tidak mengikut masa. Malah saya anggap semua ini sebagai satu pengorbanan demi kesejahteraan rakyat, agama dan bangsa.
"Saya juga turun padang bersamanya untuk bersama-sama memeriahkan majlis Hari Raya diadakan. Itu adalah tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap dirinya yang berkhidmat untuk bangsa dan agama. Seronok juga dapat menyertai sambutan Hari Raya tersebut. Ia adalah satu pengalaman indah buat saya. Biarpun agak meletihkan namun, sabagai isteri saya melakukan segalanya dengan redha," kata hos rancangan bual bicara Fitrah Kasih di TV1 itu lagi.

PUNCAK KENIKMATAN

Kembali berbicara soal putera sulung kesayangannya, Fifi, juara program realiti TV, Olay Aspirasiku TV3 2004, menjelaskan kelahiran Fahd melengkapkan kebahagiaan dirinya sebagai seorang wanita.

Bagi wanita jelita ini, perasaan yang dialami selepas melahirkan Fahd di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur merupakan puncak nikmat kehidupannya selama ini.

"Sebelum ini apabila saya berkasih, bercinta dan mendirikan rumah tangga bersama suami, saya ingat itulah puncak kenikmatan hidup. Namun hakikatnya kenikmatan itu dipertingkatkan lagi oleh Tuhan apabila kami dikurniakan Fahd pada 15 Jun lalu yang secara kebetulan sama dengan tarikh lahir ibu mentua saya".

"Segala-galanya berlaku begitu pantas buat saya dan suami. Hanya tiga bulan bercinta secara serius, kami bertunang dan dua bulan kemudian kami selamat dinikahkan pada 8 Ogos 2008. Dua bulan berkahwin saya disahkan hamil satu bulan".

"Pengalaman mengandung banyak menguji saya kerana ketika itu saya sedang menjalani penggambaran telemovie, Qasidah Buat Laila arahan Eirma Fatima di Mekah. Badan saya lemah longlai kerana alah mengandung dan saya memaksa diri untuk berlakon. Mujurlah suami ada menemani. Dialah yang bertungkus-lumus menjaga kebajikan diri saya. Dan alhamdulillah berkat doa-doa kami di Multazam, kami diberi kenikmatan dan rezeki hidup untuk menimang cahaya mata pertama," katanya yang pernah mencipta nama bersama program Bersamamu di TV3.

RAJA SAUDI

Berbicara lebih lanjut tentang permata hatinya itu, kata Fifi, nama Fahd diambil sempena nama Raja Saudi iaitu, Raja Malik Fahd Al-Saud.

"Nama Fahd Al-Warith ialah pilihan saya dan suami yang direstui oleh ibu bapa kami. Saya memberi kredit kepada suami kerana memiliki daya pemikiran yang luar biasa, yang adakalanya tidak terfikir oleh saya. Di saat saya lemah longlai di Mekah dan Madinah, dia berjalan menemui orang Islam yang berziarah ke sana. Dia bertanyakan nama yang sesuai untuk diberikan kepada cahaya mata pertama kami dari orang Arab, Mesir, Turki dan Pakistan yang ditemuinya".

"Akhirnya nama Fahd dicadangkan kerana huruf pangkalnya adalah "F" sama seperti nama kami suami isteri dan Ahad pula bermaksud pertama. Yang secara kebetulan Fahd juga adalah nama Raja Saudi. Dan disebabkan itu juga keluarga saya memberi Fahd nama timangan, 'Baby King Fahd'".

"Manakala Al-Warith pula adalah nama Islam rasmi keluarga suami saya iaitu Omar Al-Warith yang bermaksud penyambung, persaudaraan utuh dan pembahagi yang adil," jelas ibu muda ini yang mendoakan agar kebahagiaan yang dimiliki berkekalan hingga ke akhir hayat - Harmoni.

Foto: Mohd. Shariful Hafizal
Solekan & Dandanan: Kamcee (012-2839032)
Pakaian: Glam Stylista, Bangi, Selangor (012-6604444)
Pakaian Kelabu Fifi: Kamarini Bridal (012-2839032)
Lokasi: Mahkota Suite, Hotel Istana, Kuala Lumpur
Terima kasih: Encik Shaharul Farez, Pn. Azrina & Cik Nur Sabrina dari Tradewinds Group of Companies

3 comments:

akumindajutawan said...

baby sangat comel...

akumindajutawan said...
This comment has been removed by a blog administrator.
taipingmali said...

terasa rindu nak dukung baby..anak2 saya semua dah besar....