Wednesday, September 16, 2009

SINDROM TAKSUB, FANATISME ORANG MELAYU

UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi : Selasa, 15 September 2009, Muka 10)

MASIH ingatkah kisah kumpulan Al-Arqam yang pernah menggemparkan negara sekitar awal 1990-an dahulu? Kalau nak diikutkan, asal ceritanya bermula dengan seorang ustaz biasa yang giat berdakwah.

Saban hari, fahaman itu berkembang membentuk suatu kumpulan agama yang besar dan memiliki entiti perniagaan dalam pelbagai bidang.

Akhirnya pengasas kumpulan tersebut, Ashaari Muhammad langsung lupa daratan, tenggelam dalam kekuasaan dan mula menyerong daripada akidah Islamiah sebenar. Ashaari mula menjadi idola puluh ribuan pengikutnya dan dianggap wali yang cukup tinggi tarafnya.

Tulisan hari ini sebenarnya bukanlah hendak merungkai isu Al-Arqam. Tetapi yang mahu diperhalusi dan dibicarakan ialah sentimen dan elemen ‘fiil’ Melayu bila mana ia terlalu taksub dalam satu-satu hal.

Dalam konteks Al-Arqam ini misalannya, ketaksuban yang tak kena gaya, tidak berpandukan ilmu dan asas Islam yang hakiki menyebabkan penyelewengan berlaku.

Akhirnya pemimpin pula didewa-dewakan, dipuja dan dihormati secara melampau. Kumpulan yang didokong pula bagai dapat merealisasikan segala-gala hajat dan diumpamakan tiada cacat-cela.

Taksub Berpolitik

Kalau dikaitkan dengan suasana berpolitik orang Melayu sendiri, macam itu jugalah perangai ketaksubannya. Sesetengahnya, bila sudah terlampau fanatik dan percaya dengan parti yang disokong, rasional daripada parti lawan ditolak mentah-mentah.

Sifat, “aku saja betul” dan “kau tetap salah” mewarnai semangat dan kepercayaan politik. Tuduh-menuduh menjadi kebiasaan dengan isu halal-haram dan betul-salah sudah bukan lagi asas pertimbangan. Asalkan yang disokong menang!

Lebih parah sebenarnya, bila adunan politik itu disadur pula dengan kepentingan Islam. Seperti yang pernah dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, kelemahan sesetengah orang Islam ialah mereka begitu cepat terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat atas nama Islam; dan orang Melayu adalah contohnya paling tepat yang mudah tertarik dalam hal-hal berunsur keagamaan.

Yang jadi mangsa adalah pengikut yang mempunyai kefahaman agama setakat ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Gara-gara kecetekan ilmu, mereka ini sering hilang punca dan selalu berdasarkan sentimen perasaan dalam pertimbangan antara hak dan yang batil serta bersikap tertutup dalam menerima buah fikiran yang dilihat berasal daripada kelompok lain.

Bila asas agama digunakan untuk membuktikan betul-salah sesuatu perkara, soal dosa pahala, kafir dan syurga-neraka pun menjadi isu yang terbeban untuk dibicarakan dan dihukum oleh sang pengikut. Inilah yang malangnya; menghukum dan membuat kesimpulan tanpa ilmu di dada!

Perdebatan Mengarut Dan Tidak Berfaedah

Isu di sini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk memisahkan entiti agama daripada politik. Agama Islam sememangnya syumul atau ‘complete’. Namun, asas agama tentulah wajib dijadikan pegangan setiap insan politik yang bernama ‘Melayu’ dan berjatidirikan ‘Islam’.

Tetapi dalam suasana hiruk-pikuk dan kecelaruan kefahaman Islam yang setakat ‘separuh masak’ saja di kalangan ramai Muslimin di Malaysia, perlu ada boundary tertentu agar agama tidak sampai terseleweng dan disalah tafsir.
Oleh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau sesebuah pertubuhan, hari ini Islam dilihat lebih cenderung ke arah menilai tahap keimanan, mencari perbezaan fahaman imam yang diikuti dan menilai tahap roh perjuangan sehingga menjadikan umat Islam berpecah-belah.

Kita sepatutnya mencari persamaan dan elakkan perbezaan. Begitu banyak perdebatan dan perbalahan yang sudah sampai ke tahap mengarut dan tidak berfaedah.

Justeru itulah, Islam memerangi kejahilan ilmu kerana akibat buruknya mampu melahirkan manusia bersifat taksub membabi-buta. Ketaksuban juga akan memecah-belahkan umat Islam bahkan menjahanamkan hubungan silaturrahim sesama Muslim.

Paling buruk, apabila ia mula menganggu-gugat keamanan dan kestabilan sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Orang-orang bukan Islam akan merasa salah faham dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut terbantut.

Kembalilah kepada asas al-Quran yang menyarankan kepentingan ilmu supaya kita tidak terperangkap dalam ketaksuban fanatisme dan membuta-tuli yang menghancurkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara tercinta.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

1 comment:

taipingmali said...

Saya telah terjebak dengan kumpulan ini lebih kurang setahun. Mula mula memang seronok tetapi setelah nenyedari banyak yang tak betul dan lari dari aqidah, saya terus meninggalkan mereka. dan ugutan yang saya terima ialah."halal darah pembelot jika dibunuh"

Hari ini mereka masih aktik mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah tetapi secara sulit dan menggunakan nama yg sering bertukar ganti.