Showing posts with label Utusan: Feriz Omar. Show all posts
Showing posts with label Utusan: Feriz Omar. Show all posts

Friday, July 15, 2011

DURHAKA KEPADA RAJA, ENGKAR TITAH BAGINDA !

“Perlakuan penderhaka ini memecahbelahkan umat Islam, meleraikan bangsa dan menghancurkan negara … “, kata Feriz Omar Presiden ProWaris Malaysia

Bukan sahaja ingkar, mereka telah mencetuskan momentum baru dalam menyemarakkan api perpecahan terutama di kalangan Melayu“, kata Muamar Ghadafi Jamal Jamaluddin, Presiden Gerakan 4B Malaysia.

Tuesday, July 13, 2010

UTUSAN : PROGRAM RINTIHAN GAZA HARI INI, 19 JUN 2010

PROGRAM RINTIHAN GAZA DI LARKIN HARI INI

JOHOR BAHRU 18 Jun - Orang ramai dijemput datang beramai-ramai ke program Rintihan Gaza anjuran Barisan NGO Malaysia (BNM) dan Haluan Palestin yang akan diadakan di sini esok bermula pukul 5 petang.

Ketua Umum BNM Johor, Feriz Omar berkata, program di Dewan Besar Kompleks Belia dan Sukan negeri itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Pembela Melayu Malaysia (PPMM), Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Belia Kulaijaya, Aqsa Syarif, Cycle Motion Johor Bahru dan Kelab Sukan Paintball OSB.

Katanya, penganjur menyasarkan kehadiran kira-kira 2,000 orang bertujuan membuka mata masyarakat mengenai kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

"Ia juga tercetus apabila mereka begitu angkuh menghalang dan menyerang bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh kapal Mavi Marmara ke Gaza pada 31 Mei lalu.

"Malah tindakan kejam ke atas sukarelawan kemanusiaan antarabangsa yang turut disertai 12 rakyat Malaysia itu merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dipandang remeh," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Pengerusi Haluan Palestin, Norazman Samsuddin dan Dr. Arbaie Syawal yang turut serta dalam misi berkenaan akan berkongsi pengalaman pada program tersebut.

Program tersebut merupakan yang pertama kali diadakan oleh pihaknya dan sekiranya mendapat sambutan ia akan diadakan di negeri-negeri lain, katanya.

"Kita mahu semua pihak tidak kira latar belakang, umur, agama dan pegangan politik mendapat maklumat secara menyeluruh berkenaan kekejaman Israel terhadap umat Islam di Palestin," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke program itu yang akan bermula pukul 5 petang hingga 11 malam.

Friday, April 30, 2010

MCA, HULU SELANGOR DAN KETUANAN RAKYAT

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar Edisi Selasa 30 Mac 2010, muka surat 11)
Pemilihan Semula MCA

DALAM seminggu ini, kita digamit dengan pelbagai kisah terkini politik negara yang tak kunjung sepi. Antaranya kelmarin, Datuk Sri Dr. Chua Soi Lek dan Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah sah sebagai Presiden dan Timbalan Presiden MCA yang baru.

Para pemerhati politik melihat dengan berhati-hati sambil rakyat terutamanya dari kaum Tionghua mengharapkan kemelut yang melanda kepimpinan tertinggi MCA kini sudah benar-benar berakhir.

Ramai yang membicarakan bahawa pemilihan MCA kali ini adalah paling kritikal kerana ia mencerminkan pemikiran ahli yang memilih calon yang 'popular' atau calon yang 'senior' akan menang. Senario semasa juga perlu diambil kira.

Apapun kini, perwakilan sudah membuat keputusan, dan ia mesti diterima dengan baik atas semangat demokrasi.

Proses pemilihan pemimpin adalah proses berterusan dan menang kalah sudah jadi adat pertandingan. Oleh itu, sifat kesabaran perlulah disemai di kalangan para pemimpin dan para penyokong yang kalah dengan memberi gambaran bahawa peluang untuk mereka masih terbuka di penggal yang akan datang.

Dalam pada itu, sepertimana parti-parti komponen BN yang lain, MCA tampak serius dengan isu ketandusan kepimpinannya di peringkat akar umbi. Lantaran pemimpin 'muda dan berani' sudahpun bergerak ke depan dan memikul jawatan-jawatan tinggi, timbul juga bibit-bibit persoalan tentang siapa pula yang bakal mengganti tempat mereka di bawah sana.

Dengan waktu terus berdetik, Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pasti menjenguk jua lebih kurang dua tahun dari sekarang. Lantaran itu, yang kalah dan yang menang mestilah bersatu sementara isu-isu berkaitan generasi kepimpinan pelapis pula mesti jangan diabaikan. Fikirkan kepentingan parti supaya rakyat kembali yakin kepada kita.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor

Minggu lepas juga, kita diberitakan dengan kematian Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, ahli Parlimen Hulu Selangor. Takziah buat keluarga beliau.

Dengan itu, terbukalah 'kalendar' pilihan raya kecil bagi tahun ini, dan peluang bagi gandingan Najib-Muhyiddin membuktikan penerimaan kembali rakyat kepada BN selepas kejayaan gilang gemilang di Bagan Pinang.

Kalau kita mengkaji keputusan pilihan raya yang lalu, Datuk G. Palanivel yang merupakan Timbalan Presiden MIC telah dikalahkan oleh Allahyarham Datuk Dr. Zainal. Ada di kalangan masyarakat setempat melihat kekalahan calon adalah berdasarkan perwakilan ras yang kurang tepat kerana majoriti penduduk adalah orang Melayu.

Daripada pengamatan dalam Internet juga, sudah ada 'cakap-cakap' bahawa kita tidak perlu hiraukan sangat sama ada pemimpin itu adalah pemimpin tertinggi dalam parti komponen BN kerana pemimpin tertinggi sebuah parti pun tidak mustahil boleh 'tersingkir' dalam sesuatu pilihan raya kalau tidak digemari pengundi.

Maka apa yang lebih utama tentulah pemilihan calon yang mencerminkan keinginan masyarakat kawasan tersebut, bukan hentam semberono dan memuaskan hati pihak tertentu saja! Ingat, pada saat ini kehendak rakyat perlu disesuaikan dengan sebaiknya dengan perencanaan politik berasaskan parti.

Ketuanan rakyat vs 1Malaysia

Tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa dalam pilihan raya di Hulu Selangor nanti, ia bakal menjadi benchmark terkini penerimaan gagasan 1Malaysia di kalangan rakyat.


Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan aspirasi 1Malaysia, rakyat terdiam menunggu huraian lanjut mengenainya. Sekalipun pihak pembangkang mencemuh dan mempersoalkan kejujuran aspirasi tersebut, bagi yang faham, mereka jelas mengetahui hakikat bahawa aspirasi 1Malaysia itu akan jauh meninggalkan konsep 'Ketuanan Rakyat' yang dicanang oleh Pakatan Rakyat.

Yang indahnya adalah Aspirasi 1Malaysia yang dicetus oleh Najib memberi peluang kepada rakyat untuk mencorakkannya berdasarkan suasana keharmonian Malaysia itu sendiri yang selama ini terbina daripada kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.

Antara perkara yang ketara adalah rakyat Malaysia di bawah konsep 1Malaysia kini bersetuju sebulat suara bahawa kedaulatan istana sebagai Raja bagi semua tanah jajahan dan takluk Malaysia patut terus dikekalkan.

Ini sekali gus menidakkan konsep Ketuanan Rakyat yang dibawa oleh pembangkang terutamanya dalam kempen-kempen mereka yang keterlaluan sehingga tidak sedar mereka 'terlanggar pintu istana Diraja'.

Aspirasi 1Malaysia telah diiktiraf sebagai 'way forward' untuk Malaysia dan jalan muktamad dalam menyelesaikan isu-isu remeh, malah murah yang dibangkitkan oleh pembangkang yang bercita-cita besar menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, March 23, 2010

PENDAPAT DIRAIH, FATWA PULA DICANANG !

BARU-BARU ini, saya dimaklumkan oleh seorang rakan yang bekerja sebagai penjawat awam mengenai usaha-usaha untuk mengedarkan salinan video mengenai 'fatwa' oleh ulama terkemuka dunia yang kononnya membela tokoh politik tempatan tertentu dalam satu kes mahkamah.

Setelah berpeluang menilai kandungan video tersebut, secara peribadi saya berpendapat bahawa ia berat sebelah dan tidak adil. Masakan tidak, soalan yang disuap awal-awal lagi sudah 'memerangkap' ulama tersohor itu supaya tertuduh kelihatan tidak bersalah, malah seolah-olah difitnah.

Sudah menjadi resmi kehidupan, 'lain lubuk, lain ikannya'. Maka pendapat seorang ulama yang tersohor sekalipun, kalau tidak arif tentang keterangan, keadaan semasa dan kedudukan berkenaan isu sebenar, mungkin boleh dipertikaikan.

Sebagai contoh mudah, bolehkah seseorang hakim yang tidak arif dan cukup maklumat tentang sesuatu kes sewenang-wenangnya menjatuhkan sesuatu hukuman? Tentu sekali sukar bukan!

Saya bukanlah seorang pakar agama yang hendak menjatuhkan hukum, tetapi bukankah sudah jelas lagi terang firman Allah dalam Surah al-Hujurat yang bermaksud, "Wahai orang- orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan."

Maka dalam hal ini, saya optimis mengatakan ulama terkemuka tersebut telah 'terlepas pandang' akan 'kefasiqan' individu tersebut dan terperangkap dalam soalan yang telah pun disusun indah penuh bermuslihat, agar jawapan yang diberikan memuaskan agenda dan kehendak licik spin doctor pihaknya!

Edaran video: Tidak mengapa, biarkan!

Mungkin ada yang khuatir dengan usaha-usaha edaran video tersebut dan bercadang hendak menyekatnya. Saya ada terfikir bahawa ia mungkin menjadi satu usaha yang tidak begitu bermakna. Tahu-tahu sajalah, sudah menjadi lumrah dalam masyarakat, yang disekat-sekat itulah yang makin dikejar dan dimahukan.

Maka biarkan saja. Abaikan. Pertamanya, kerana kita jelas dan yakin bahawa informasi yang diedarkan itu hanyalah tipu muslihat untuk meraih simpati semata-mata. Kandungan yang dijaja pula, cuma lebih kepada satu cereka yang 'memutar-belitkan kebenaran'.

Kedua, daripada kita 'sibuk-sibuk' hendak menumpu usaha menyekat 'informasi yang sesat' itu, adalah lebih baik kalau kita 'menyerang' dengan 'informasi yang benar'. Pendekatan berkesan perlu disusun dengan pintar agar maklumat sebenar dapat dijelaskan agar minda masyarakat lebih terbuka untuk berfikir dan bukannya sekadar menerima membuta-tuli.

Bimbing kefahaman istilah-istilah Islam

Sebagai contoh, saya berpendapat istilah-istilah tertentu seperti ' fatwa ', ' ijtihad ' dan 'ijma' perlu dijelaskan kepada masyarakat. Sekiranya konsep-konsep ini dapat diterangkan kepada umum, secara automatik ia akan menjadi 'pendinding' kepada segala bentuk 'hantu syaitan' yang cuba menyalahgunakan istilah tersebut untuk kepentingan peribadi.

Istilah 'fatwa' kalau dirujuk melalui Internet di http://prpm.dbp.gov.my, memberi makna 'keputusan tentang perkara agama yang diberikan oleh mufti atau alim ulama dan istilah yang bersangkutan, yakni 'mufti' membawa maksud 'ahli agama yang berhak memberi fatwa berkenaan hal-hal agama Islam'.

Maka sudah terang lagi bersuluh! Keterangan ulama tersebut hanyalah lebih berupa pendapat dan beliau sendiri tidak pernah menobatkan pendapatnya sebagai fatwa yang wajib diterima secara terus.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, kita mempunyai badan khas iaitu Majlis Fatwa Kebangsaan yang terdiri daripada para ulama seluruh negara, yang lebih tahu, berhak dan arif tentang isu, keadaan dan sentimen dalam negara jika hendak berijtihad dan seterusnya mengijmakkan sesuatu fatwa atau ketetapan.

Mereka inilah yang bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan apabila memperkatakan sesuatu yang bersangkutan dengan perihal fatwa dalam negara.

Agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan para bloggers perlu terus menyampaikan penerangan ini secara bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat akar umbi. Yang pastinya, kerajaan sama sekali tidak boleh memandang rendah terhadap keupayaan 'menarik simpati' menggunakan ulama terkemuka.

Ini kerana sentimen penghormatan kepada pandangan ulama sebenarnya cukup tebal dalam masyarakat Melayu-Islam Malaysia. Ia mampu membutakan hati sekiranya ilmu di dada kurang dan tidak mencukupi.

Justeru, ada eloknya kalau-kalau para pemimpin tertinggi tidak bersikap ignorance, mengambil inisiatif untuk turun ke pentas- pentas lawan, menilai dengan mata kepala sendiri sehingga ternganga mulut, melihat 'pencapaian' usaha 'menarik simpati' yang bukan calang-calang sokongan !

Lebih buruk lagi apabila kini timbul kembali kenyataan 'memfasiq' dan 'memunafiqkan' umat Islam.

Jangan gara-gara pandangan ulama tersebut disifatkan tidak sesuai untuk diterima pakai, kita pula dikatakan tidak hormat dan tunduk pada hukum Allah.

Tepuk dada, tanya iman. Dalam hal ini, ilmu perlu dicari, iman tidak boleh diwarisi.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Thursday, March 11, 2010

PERLUNYA ‘KONGRES’ MENYATUPADUKAN UMMAH

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Rabu, 10 Mac 2010, muka surat 11

UMAT Islam di Malaysia hari ini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran dan ancaman yang menyesakkan. Daripada permasalahan yang dicetuskan arus gelombang ‘Islam liberal’, ajaran-ajaran sesat yang berleluasa, bawaan fahaman-fahaman luar yang mengelirukan (yang ada perbezaan tertentu berbanding fahaman mazhab-mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah), hinggalah kepada perpecahan yang tercetus gara-gara kefanatikan politik yang melampau.

Lantaran dari itu, umat Islam dilihat bagaikan hilang punca, lemah dan tidak lagi mempunyai kekuatan iman yang sejati. Jauh daripada menjadi model akhlak kepada penganut-penganut agama lain, pencapaian Islam dilihat mundur serba-serbi sementara generasi muda pula dilihat semakin lari dari nilai dan penghayatan roh Islam. Apa yang dibimbangi tentunya ialah kesan buruk terhadap masa depan Islam dan Melayu selaku tunggak utama peneraju negara.

Menjiwai Erti Kata Mentauhidkan Allah

Hakikatnya, kesemua isu ini timbul oleh kerana kegagalan kefahaman dan pendefinisian Islam itu sendiri. Seandainya dari aspek pentauhidan Allah dan kekuatan akidah itu sendiri pada asasnya lesu, luntur dan kucar- kacir, bagaimanakah mungkin penjiwaan Islam yang hakiki mampu hadir dalam terjemahan realiti?

Inilah silapnya. Di sinilah hadir puncanya.

Bagi golongan muda-mudi, dapat dilihat bagaimana rapuhnya iman dan kekuatan jiwa mereka yang mudah ‘diresapi’ oleh hiburan Barat, budaya kuning dan liar yang melalaikan serta terlibat dalam pelbagai jenayah serta gejala sosial.

Bagi yang berpelajaran, dek kerana asas akidah yang tidak kukuh, sesetengahnya teraba-raba mencari erti kata rasional yang berakhiran dengan melibatkan diri dengan ajaran-ajaran sesat dan fahaman-fahaman yang menyimpang atau terlalu berbeza daripada pandangan-pandangan dalam mazhab-mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Lebih buruk dari itu, ada yang dikatakan terjerumus ke dalam gejala yang lebih dahsyat seperti murtad.

Dari kalangan kumpulan umur yang lebih ‘senior’, masalah kefahaman Islam pula terbentuk gara-gara mentaliti ‘ikut-ikutan’ yang telah terpupuk dalam minda masyarakat Melayu sejak sekian lama. Fenomena mentaliti ‘ikut-ikutan’ ini menyebabkan kurangnya minat penggalian dan sintesis ilmu.

Kesan dari itu, terjadilah perlakuan taksub membuta-tuli, semberono dan ‘ikut apa saja’ oleh segelintir umat Islam terhadap ‘imam yang dianuti’ sekalipun yang diserunya ialah ke arah perpecahan ummah!

Dalam masa sama, musuh-musuh Islam juga tidak pernah leka merencana pelbagai gerakan yang bertujuan memecah belah dan menjahanamkan Islam. Ia dimulai dengan pewarisan sistem ‘divide and rule’ yang disemai ketika era penjajahan, penyebaran dakyah-dakyah modenisasi yang meninggi-ninggikan budaya Barat, gerakan-gerakan tersusun ‘bawah tanah’ hinggalah kini pula strategi ‘penjajahan alaf baru’ dan penggunaan helah muslihat menggunakan ‘pemimpin boneka’.

Hakikatnya, kalau dari aspek asas sendiri kita telah gagal untuk menjiwai roh Islam, tentulah sukar untuk menangani cabaran-cabaran Islam dari luar yang lebih besar.

Justeru, kita kini sebenarnya terdesak di suatu posisi yang menuntut supaya kembali kepada kebenaran Islam.

Kembalikan Roh Islam Melalui Kongres Perpaduan !

Atas kesedaran inilah saya terfikir, alangkah baik sekali kalau-kalau ada usaha dalam bentuk simposium dan perhimpunan yang mampu menyatupadukan kembali umat Islam.

Mesej suci 1Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Razak hakikatnya akan lebih mudah dilentur dan dipupuk dalam jiwa masyarakat Malaysia seluruhnya, jika keutuhan perpaduan Melayu dan penjiwaan Islam dapat direalitikan ke tahap terbaik dan paling perkasa terlebih dahulu.

Kongres sebegini, jika diadakan tidak mustahil bakal menjadi suatu medium dan instrumen pemangkin, menyedarkan umat Islam terhadap cabaran dan ancaman yang terbentang. Sekali gus mengajak umat Islam kembali kepada Allah dan ajaran-Nya yang sejati.

Kalau hendak dirujuk sepanjang tahun lepas dan isu-isu berkaitan kepentingan Islam pada awal tahun ini, ramai yang pasti bersetuju bahawa kongres sebegini sebenarnya perlu diadakan pada peringkat nasional supaya impak mesejnya lebih meluas.

Namun sebagai permulaan, ada baiknya juga kita mula ‘bertatih’ di negeri-negeri yang berkecamuk. Jika hendak katakan saya prejudis dan memihak pun tidak apalah, tetapi pada saya negeri-negeri yang huru-hara secara nyatanya adalah negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang!

Ambil sajalah contoh seorang Ahli Parlimen pakatan pembangkang yang baru-baru ini mencabar Mufti Perak meletak jawatan kerana kenyataan ikhlas beliau demi perpaduan umat Islam. Siapa beliau hendak mencabar Tan Sri Harussani dan lebih penting lagi apa kelayakannya hendak menegur? Sedangkan teguran Harussani nyata terang-terang atas kapasiti mufti dan demi kebaikan semata-mata!

Lantaran itu, memulakan usaha suci ini di negeri-negeri tersebut dilihat sebagai kritikal. Insya-Allah, kalau hati jujur ikhlas dan semangat pula kekal tabah, masa pasti akan membuktikan cita-cita ke arah kesatuan ummah dan masa depan Islam yang cemerlang akan menjadi realiti jua.

Seterusnya meletakkan ummah ke atas landasan kemajuan yang sempurna; tidak hanya pada ekonomi kukuh dan teknologi ampuh, tetapi juga pencapaian masyarakat Malaysia yang tinggi akhlaknya!

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, March 2, 2010

KEKUATAN ' Ù† ' DAN ' Ù… ' DALAM UMNO

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar Selasa 2 Mac 2010, ms-10)


SIRI adegan jenaka dalam karya P. Ramlee yang tak kunjung lekang dari siaran televisyen tempatan rasanya bagai tak lapuk dek hujan, sentiasa segar dan masih mampu mencuit hati untuk membuatkan kita tertawa.

Dalam satu adegan filem Nujum Pak Belalang misalnya, soalan ditanyakan berkenaan kekuatan di sebalik nama ‘Hang Tuah’ dan jawapan yang sebenarnya adalah huruf ‘Ta’. Jika diganti dengan huruf lain seperti ‘Ba’, akan jadilah nama lain seperti ‘Hang Buah’!

Begitulah jenakanya, pintar dan berisi. Hari ini kalau kita mengambil kira perihal UMNO pula, mungkin menarik jika kita kaitkan kekuatan UMNO kini yang terletak pada dua huruf iaitu ‘nun’ dan ‘mim’. ‘Nun’ dan ‘mim’ yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan adalah gandingan Najib dan Muhyiddin.

Apa tidaknya, sejak dilantik ke kerusi utama peneraju negara, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya membuktikan kekuatannya untuk mengembalikan semangat perpaduan di atas jenama 1Malaysia. Hadirnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula selaku pembantu, melancarkan segala polisi merakyat dan pembaharuan dalam UMNO-BN, sekali gus menggentarkan pemimpin pembangkang !

Kurang setahun lalu, pakej rangsangan ekonomi negara yang diperkenalkan Perdana Menteri dalam dua peringkat dikatakan bakal membazir dan menemui kegagalan. Kini, pakatan pembangkang terpaksa menelan bulat-bulat kembali melihat keberkesanannya dalam menjana kestabilan ekonomi semasa.

Ia bakal dipersembahkan dalam Belanjawan 2011, sebagai bukti betapa kerajaan serius dalam memacu negara menongkah arus kegawatan sejagat. Lebih membanggakan, Havard Business School di Boston dikatakan menggelarkan usaha reformasi ekonomi bersifat nasional itu sebagai Najibnomics dan diletakkan sebagai salah satu bahan penyelidikan.

Perubahan kepimpinan Petronas pula menjadi petanda hasrat Perdana Menteri yang mahukan Petronas terus segar dengan idealisme terkini dan kekal dalam lingkungan New Seven Sisters. Inisiatif F1 1Malaysia yang dipelopori oleh gabungan Proton dan Lotus pula dijangka mampu menobatkan Proton dalam industri kereta dunia jika kena pendekatannya.

Sementara dari aspek memulihkan semangat ‘bangsa Malaysia’, Najib dengan berani mengumumkan konsep 1Malaysia yang juga sebagai ‘pengubat’ kepada perpaduan masyarakat yang seringkali ditimbulkan pembangkang. Di sebalik kata-kata sinis dan prejudis yang diluahkan, alhamdulillah hari ini, ia terbukti membawa semangat perpaduan rakyat ke aras pencapaian yang lebih cemerlang.

Tidak hanya pada kata-kata lisan, Najib-Muhyiddin mengambil inisiatif walk-about iaitu menjalankan usaha tinjauan kehidupan masyarakat bangsa lain seperti kumpulan peniaga, lawatan ke kampung dan kawasan perumahan masyarakat India serta perkampungan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, dasar kerajaan perpaduan dengan kepimpinan Pas pula tidak pernah ditutup. Demikian juga sebarang usahasama demi kebaikan rakyat dengan parti-parti politik lain.
Jika usaha Najib lebih tertumpu kepada penyatuan masyarakat berbilang kaum dan menjamin kestabilan serta momentum ekonomi bersifat global, gandingan Muhyiddin pula begitu gigih memastikan usaha dan idea Najib terlaksana dalam bentuk hakiki.

Program pembaharuan, mendekati rakyat dan menjuarai siri-siri by-election sepanjang tahun lalu membuktikan track record beliau sepanjang tahun. Paling manis, apabila kalendar by-election tahun lalu disudahi dengan kemenangan meyakinkan di Bagan Pinang. Ia sekali gus petanda kepercayaan rakyat kepada kepimpinan UMNO-BN telah berjaya diraih semula. Ini dalam kata lain juga bererti sokongan rakyat yang padu terhadap gandingan ‘nun’ dan ‘mim’ ini.

Kerja keras Muhyiddin juga terlihat dalam memantau usaha menangani krisis H1N1, meningkatkan penguatkuasaan maritim dan isu pendatang haram. Isu-isu sampingan itu dilihat faktor penting yang memungkinkan krisis ekonomi sejagat tidak membarah.

Dalam portfolio pendidikan pula, isu PPSMI yang begitu hangat diperkatakan, berjaya diselesaikan sehingga tiada lagi sebarang suara-suara protes. Masalah PPSMI dilihat dapat diselesaikan dalam keputusan profesional yang penuh berjustifikasi berdasarkan fakta dan angka, bukan sekadar sentimen dan keputusan politik semata-mata.

Dengan tema reformasi pendidikan bersifat ‘mengukuhkan bahasa Inggeris, memartabatkan bahasa Melayu’, majoriti masyarakat menerima idea itu dengan persetujuan penuh.

Dengan barisan kepimpinan lawan (seperti PKR) yang kini bagai berlumba-lumba kembali kepada perjuangan suci UMNO, saya tidak lihat begitu mustahil untuk UMNO-BN kembali bertakhta secara mutlak selaku ‘arkitek’ pembangunan negara.

Pembangkang kini sudah gentar dan berdebar-debar. Jadi, yang tinggal kini cumalah untuk kita merapat, melurus dan mengukuhkan barisan, jangan mudah terpengaruh dengan sebarang anasir perpecahan dan insya- Allah, PRU-13 nanti, pasti sudah ada rezeki yang menanti !

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, February 23, 2010

MELAYU TERSEKAT DI FASA 'SURVIVAL'?

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Selasa, 23 Februari 2010, muka 10)
BEBERAPA siri insiden di mana ikan-ikan paus terdampar di persisiran pantai dunia adalah suatu fenomena unik namun menyayat hati. Yang paling menyentuh perasaan ialah apabila para penyelidik membuktikan adanya kemungkinan kawanan-kawanan ikan paus tersebut sudah 'menyerah kalah' dalam menempuhi cabaran survival spesiesnya gara-gara senario pengurusan bio-sfera yang kian berkecamuk.

Hari ini, kalaulah tidak ada sebarang inisiatif ikhlas yang berkadar segera dan bersifat kritikal, janganlah hendak dipelikkan sangat kalau- kalau nasib orang Melayu suatu ketika kelak bakal terjerumus dalam kancah 'dilema ikan paus' tersebut; bergelumang dengan survival bangsanya!

Ketika era Dato' Onn Jaafar sendiri, kita sebenarnya telah pun berada pada suatu titik 'survival' di mana tanah air dipertahankan daripada menjadi 'jajahan kekal' British. Walaupun situasi kini berbeza, kekalutan lantaran perpecahan bangsa dan didesak pula himpitan krisis ekonomi sejagat dalam beberapa tahun kebelakangan ini pada hakikatnya tidak kurang memeritkan.

'PADANG POLITIK MELAYU' DISEMPITKAN

Saya terkilan apabila memikirkan nasib Melayu yang tersekat di fasa survival kini ada kaitan dengan 'padang permainan politik dan ekonomi' yang adakalanya 'disempitkan' oleh bangsa sendiri juga!

Kenapa perlu disempitkan? Sedangkan hari ini wujudnya dunia alam maya yang melipat-gandakan keluasan padang politik dan ekonomi kita!

Kita perlu juga sedar dengan senario yang berlaku di mana hak orang Melayu untuk berniaga di beberapa tempat dirampas dan berlaku juga kejadian di mana perarakan meraikan Maulidur Rasul tidak dibenarkan.

Itu belum mengambil kira kes-kes lepas lagi. Kalau hendak dikira semuanya, pasti tidak cukup sepuluh jari.

Kononnya hendak mengajar kuasa untuk menegakkan agama dan keadilan. Tetapi dalam proses itu, suatu yang sudah menjadi hak pula terlepas daripada genggaman!

Tak usahlah asyik mendendangkan pesona keagungan empayar Islam untuk meraih sokongan murahan. Ataupun bernostalgia dengan kehebatan empayar Melaka dan legenda Hang Tuah yang menjadi lambang keagungan Melayu suatu ketika dulu.

Apa gunanya kalau hakikatnya kita masih bermentaliti sempit dan asyik bertikam sesama sendiri? Kita sepatutnya telah lama bergerak ke arah mentaliti Melayu Baru yang lebih radikal, enthusiastic dan berlandaskan modal iman sejati?

Lantaran itu kita seharusnya berwaspada menilai 'bisikan syaitan' yang berniat untuk memberi gambaran mengelirukan. Jauhkan dari provokasi yang ingin melaga-lagakan. Jika memberi sokongan, pastikan baik untuk kemaslahatan rakyat dan masyarakat.

Jika menerima nasihat pula, pastikan ia diterima dari mereka yang beriman. Kalaulah yang diniatkan di hati itu sesuatu yang baik dan cara sudah ternyata betul, apa lagi yang mesti dikhuatirkan?

DASAR BAIK, PELAKSANAAN BERMASALAH

Hari ini, melalui gandingan mantap Najib-Muhyiddin kita dapat melihat adanya suatu kekuatan yang kukuh bagi Melayu dan negara menongkah gelombang abad ke-21 dengan penuh jaya. Namun persoalan yang sering dibangkitkan oleh rakyat sejak dahulu lagi adalah kita sering menggubal dasar yang berasaskan falsafah dan manifestasi yang baik namun masih gagal dalam pelaksanaan.

Menurut pengamatan saya, lapisan penggubalan dasar adalah di peringkat kepimpinan tertinggi negara. Pemimpin di lapisan seterusnya perlu bertindak sebagai agen pelaksana dasar dan tidak perlu mempertikaikan dasar yang dibuat kecuali dalam keadaan wujudnya kepincangan dalam proses pelaksanaan. Dan kesemua pelaksanaan ini pula perlu dipantau hingga peringkat tertinggi.

Inisiatif Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalannya begitu jelas berniat baik, tetapi adanya kepincangan tertentu menyebabkan objektifnya belum di gapai 100 peratus.

Orang Melayu memang masih perlu dibantu malahan hak ini tidak perlu dipertikai. Namun saya melihat 'sistem' yang ada hari ini telah gagal menerbitkan minda Melayu 'kelas pertama' pada skala yang diperlukan.

Di sinilah kegagalan kita; mengubah Melayu kepada mentaliti yang bersifat 'kombatif' sebaliknya kekal dengan perangai 'terlalu' bergantung. Sesetengahnya pula lebih kepada hendak cepat kaya. Ada jugalah kelibat-kelibat yang berjaya ke level yang ditagih, tetapi jumlahnya tidak ramai.

Dengan kita sudah sedekad di abad ke-21, anjakan paradigma dan minda bukan lagi sekadar dituntut malahan menjadi kewajipan khusus andai Melayu masih mahu kekal progresif dan kompetitif. Perkara-perkara sebegini sepatutnya menjadi sebahagian dari kriteria dasar dan pelaksanaan juga. Untuk itu cadangan dan suara hati rakyat perlu dilihat. Betul ataupun salah, tidak menjadi hal kerana yang penting akan wujud suatu 'perkongsian jambatan' antara rakyat dan kerajaan.

LERAIKAN PEMIKIRAN KUSUT DAN JUMUD

Dalam pada itu, sistem pendidikan mesti dijadikan medium pembudayaan pemikiran Melayu yang lebih progresif dan berpandangan jauh. Justeru, di samping perubahan semasa dalam sistem pendidikan ketika ini yang menekankan ke arah melahirkan generasi profesional yang mampu dipasarkan, perubahan sistem pendidikan mesti mampu melahirkan generasi yang kukuh iman, berjati diri Malaysia dan berdaya saing.

Mata pelajaran Sejarah yang diajar sepatutnya lebih bersifat kritikal, pengajaran yang mengesankan. Mata pelajaran Agama pula mestilah melahirkan generasi berakidah kukuh dan mempunyai keimanan sejati yang teguh. Kedua-dua subjek ini perlu diletakkan sebagai wajib lulus dengan keputusan baik.

Orang Melayu hakikatnya memang boleh berjaya. Kejayaan Petronas suatu bukti bahawa syarikat yang diterajui dan dibarisi majoriti orang Melayu mampu berada pada kedudukan baik dalam ranking Fortune 500 malahan diletak dalam kelompok elit New Seven Sisters yang berpengaruh dalam industri tenaga.

Tidak ada persoalan tentang kebolehan kita. Persoalan sebenar ketika ini ialah kesanggupan kita yang akhirnya merujuk pula kepada mentaliti kita sendiri. Mentaliti kelas ketiga ataupun kelas pertama? Mentaliti suka berdengki, hati busuk, tikam-menikam dan gila kuasa ataupun yang berkait mentaliti bersifat 'mahmudah'!

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, February 9, 2010

BILA WAKTU HENTI BERDETIK .....

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Selasa, 2 Februari 2010, muka 10)

BAYANGKAN saat-saat akhir tatkala seorang pelajar diminta meletakkan penanya dalam suatu peperiksaan penting. Ketika itu, masa yang diperuntukkan untuk menjawab soalan-soalan telah tamat.

Apapun yang telah termaktub di atas kertas jawapan kini tidak boleh lagi diubah-ubah dan bakal menjadi suatu manifestasi sejauh mana jerit perih dan usaha bersungguh yang telah dituai sekian lama membuahkan hasil yang didambakan atau sebaliknya.


Ia laksana suatu timbang tara dan juga jawaban kepada pengharapan tulus dari ibu bapa, rakan taulan dan guru–guru yang tentunya mengharap keputusan paling gemilang.

NAFSU SERAKAH MENJADI KITAB PANDUAN

Hakikatnya, situasi masyarakat dunia kini tidak begitu banyak berbeda dengan suasana yang saya gambarkan. ‘Ahli-ahli masyarakat dunia’ sebenarnya adalah ibarat ‘pelajar’ yang digalaskan dengan amanah oleh generasi terdahulu untuk meneruskan agenda kemajuan, mengekalkan keamanan dan kesentosaan di seluruh pelusuk Bumi.

Ironinya, generasi manusia hari ini lebih kepada ibarat ‘pelajar yang malas-malas’ dan ‘tidak boleh diharap’. Kegetiran ‘menjawab persoalan’, meneruskan kelangsungan amanah suci yang diwariskan tidak lagi dipikul sebagai suatu agenda keutamaan. Ketamakan dan kerakusan sebaliknya bermaharajalela lantaran nafsu serakah yang menjadi kitab panduan !

SEDANGKAN MALAIKAT TUNDUK KEPADA MANUSIA

Dalam paparan kejadian Nabi Adam, tingginya martabat manusia dan penciptaannya sehinggakan Allah sampai menyuruh malaikat dan syaitan tunduk menyembah. Malangnya, manusia tampak lebih minat berbalah, bersengketa, berbunuhan sesama sendiri. Betapa suatu gambaran yang manusia gagal menghargai kedudukan terpuji yang Allah Ta’ala tetapkan kepada manusia. Betapa manusia mudah terlupa amanah ‘kekhalifahan’ yang ditugaskan oleh-Nya !

Pernyataan yang menyebut bahawa manusia hari ini semakin moden dan ketamadunannya pula telah berkembang pada tahap terbaik pada asasnya tidaklah tepat. Ketamadunan dan peradaban manusia hakikatnya tidak boleh hanya dinilai melalui pembangunan material dan fizikal semata-mata.

Dan bilamana aspek spiritual dan perkembangan minda dijadikan kayu ukuran, cara pemikiran manusia tampak jelas tidak banyak berubah dalam tempoh ribuan tahun. Peperangan sebagai contohnya masih lagi menjadi agenda yang diagung-agungkan.

Tidak cukup dengan peperangan Dunia Kedua beberapa dekad lepas, peperangan demi peperangan tidak kunjung sepi diatur dan dicatur atas pelbagai sebab tersirat yang keji. Nyawa manusia tak berdosa menjadi halal untuk dikorbankan. Nawaitu sebenar di sebalik perang ‘dibungkus kemas-kemas dengan pembalut kertas berlabelkan keadilan’ sedang isi di dalamnya ialah motif politik jijik dan kepentingan ekonomi yang memualkan !

Di Iraq misalannya, demi menjatuhkan rejim Saddam Hussein, tag-team 2B (Bush-Blair) mereka-reka ceritera kisah WMD (weapon of mass destruction) yang konon-kononnya dimiliki rejim terbabit. Akhirnya Saddam Hussein tersungkur dari kerusi kuasa dan ratusan ribu rakyat terkorban sia-sia sementara senjata pemusnah yang didakwa wujud terbukti dusta semata-mata.

Dalam tragedi 9/11 di Menara Berkembar WTC, bukti dan cakap-cakap bahawa runtuhnya ‘ikon’ New York itu sebenarnya adalah merupakan suatu konspirasi terancang pihak tertentu bagi menghalalkan perang ke atas negara tertentu di Asia Barat bukan lagi cerita baru.

Dari aspek mengekalkan kelestarian alam, kegagalan Protokol Kyoto suatu bukti bahawa masih ada kelompok manusia yang begitu mementingkan diri. Negara besar AS rupanya tidaklah ‘semaju’ mana pemikirannya kerana masih gagal memikirkan sama sekali nasib generasi masa depan.

Itu kalau hendak mengambil kira dalam konteks dunia secara amnya. Kalau dalam ruang lingkup yang lebih khusus seperti Malaysia sendiri, kita sebenarnya pun boleh melihat ‘trend’ yang sama.

50 TAHUN WARISAN KEAMANAN

Sesudah 50 tahun kita diwariskan dengan negara yang aman dan sentosa, dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita sememangnya sudah maklum akan adanya usaha-usaha persengketaan kaum dan agama yang cuba dibawa, disemai dan dibajai sesempurnanya.

Apa yang paling dikesalkan ialah kita sudahpun mempunyai suatu fundamental sistem masyarakat yang luhur dan aman selama ini. Lalu mengapa perlu dicarik-carik, dipersoal, dipertikai dan diperlekeh sedangkan sudah terbukti ianya berjaya menjamin kedamaian sejak separuh satu abad? Adakah hanya demi kepentingan politik semata-mata kita rela suasana yang harmoni dikorbankan?

Awas ! Jangan fikir terlalu mustahil jika suatu ketika nanti kita akan terjerumus ke lembah huru-hara yang mengorbankan nyawa andai kata kita masih lagi tidak mahu sedar-sedar.

Perbuatan merosakkan beberapa surau, masjid dan gereja baru-baru ini wajib dilihat dengan mata hati yang tajam. Bahawa ianya suatu petanda awal sekiranya kita terlalu memberontak dan tidak tahu bersyukur dengan apa yang ada; menghargai sesuatu yang sudah pun berada dalam genggaman kita.

JANGAN WARISKAN NEGARA YANG TENAT !

Janganlah diikutkan sangat kata nafsu dan usahlah mudah dipermainkan dengan dakyah tertentu yang hanya berbekalkan niat yang satu; kepentingan politik tanpa kira apa jalan dan harga sekalipun !

Kalau sudah terlewat, air mata darah pun mungkin keadaan tidak dapat kembali kepada asal lagi. Kembalilah kepada ajaran agama masing-masing yang senantiasa menuntut penganutnya berfikiran waras dan secara terbaik. Kembalilah juga kepada kesatuan dan perpaduan serta elakkan perpecahan.

Kita sepatutnya insaf dan bertanya dengan diri kita sendiri ‘bila waktu berhenti berdetik dan keranda diangkat nanti, sudahkah amanah yang diwarisi ditunaikan untuk diwariskan secara terbaik pula buat generasi seterusnya?’


Apakah kita mahu mewariskan mereka dengan dunia yang sakit dan negara yang tenat?

Fikir-fikirkanlah !

Feriz Omar adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, February 2, 2010

UTUSAN PENTING : SELAMI ERTI TERSIRAT - WEB 2.0 MEREMAJAKAN HUBUNGAN RAKYAT

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Selasa, 2 Februari 2010, muka 10)

KELAHIRAN media baru dalam bentuk blog dan laman web persendirian sebenarnya bukanlah suatu senario asing dalam dunia komunikasi terkini. Namun demikian dalam konteks Malaysia, fenomena lonjakan popularitinya semakin menjadi-jadi sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Masyarakat dilihat mula mengalihkan tumpuan dan berpusu-pusu ‘terjun’ ke medan siber untuk mendapatkan pelbagai informasi sebelum membuat keputusan dan mengambil tindakan.

Lantaran itu, pelbagai kelompok ‘penulis’ daripada golongan anak muda dan ahli-ahli parti politik ‘sakan’ mengambil peluang untuk meluahkan pendapat dan berkempen mengikut cita rasa tersendiri di alam maya. Papan kekunci menjadi pengganti mata pena dan buah pemikiran pula diluahkan di ruangan blog, laman web dan melalui aplikasi Web 2.0.


PERANG SARAF POLITIK ALAF BARU

Sebenarnya, sebelum PRU-12 lagi ‘perang saraf politik’ alaf baru melalui media siber (blogger, website dan forum) sudah pun tercetus.

Menurut kajian sebuah institusi pengajian tinggi, ketika PRU-12, pejuang-pejuang siber pro-kerajaan mungkin sedikit terlewat menyusun strategi untuk ‘menghunus senjata’. Justeru, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh mereka dalam membaik pulih pelbagai isu dan masalah kredibiliti yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang sehingga pelbagai dakwaan karut pembangkang dilihat seolah-olah ‘tepat dan betul’ oleh sebahagian besar rakyat.

Apa yang menjadi persoalan adalah sama ada pendekatan dan strategi ‘perang saraf politik’ alaf baru melalui media siber yang dilaksanakan ketika ini sudah menampakkan kesan positif? Saya amat setuju dengan beberapa pendekatan yang sedia terlaksana tetapi kebanyakannya belum menampakkan kesan yang begitu signifikan.

"Yang perlu dipantau adalah beberapa budaya negatif pejuang siber yang boleh merosakkan 'grand design' perancangan menghadapai PRU13.

Antara lain adalah pendekatan serangan 'overkill' melampau yang digunakan sesetengah bloggers yang bertindak ke atas musuh sehingga memberikan imej buruk kepada komuniti pro-kerajaan dan parti kerajaan yang sebenarnya tidak bersalah!

Begitu juga dengan kesan negatif yang timbul ekoran daripada melularnya budaya untuk meletakkan ‘kasta’ di kalangan komuniti bloggers. Budaya ini perlu dielakkan kerana jika tidak ia akhirnya akan memecah belahkan angkatan pejuang siber yang kini disatukan di bawah satu matlamat dalam berdepan dengan cabaran PRU13".


PARTI PEMERINTAH PERLU ‘TAKTIKAL’ BARU

Masa berubah dengan pantas. Justeru, parti pemerintah juga sepatutnya tidak boleh kekal dengan ‘taktikal’ sama dan hanya asyik mengharapkan para bloggers yang kebanyakan mereka sembunyi di belakang nama-nama samaran untuk berjuang ‘sendirian’ di dunia maya!

Rebutlah peluang untuk mendekati rakyat di dunia siber kerana teknologi sememangnya sudah sedia ada dan terhidang di depan mata!

Baik Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan juga keseluruhan jentera parti pemerintah peringkat negeri mahupun kawasan perlu menerima hakikat bahawa fenomena ‘web 2.0’ adalah satu-satunya infrastruktur untuk meluaskan pengaruh, membina imej ‘merakyat’ dan sekali gus membuktikan keikhlasan berkhidmat pada nusa dan bangsa.

Wujudkan akaun-akaun di laman web social networking popular di Malaysia. Social networking melalui Facebook, Youtube, Friendster (dahulunya paling popular) dan MySpace mesti ‘diterokai’. Facebook dikatakan mempunyai sekitar 250 juta pengguna seluruh dunia dan YouTube mencatatkan purata video streaming 1.2 bilion dalam sehari!

Dengan mewujudkan akaun-akaun di laman web social networking secara tidak langsung mewujudkan kelab peminat di dunia maya.

Selain itu, sensasi ‘Web 2.0’ seperti Twitter, Blogspot, Wordpress, Flickr, LinkedIn, Digg, LiveJournal, Imeem, YouTube, Tagged, Orkut, PhotoBucket dan Multiply perlu diteliti dan dipergunakan sebaik-baiknya.

Sebagai contoh, calon kerusi Presiden Iran, Mir Hossein Mousavi menggunakan ‘strategi Twitter’ untuk menyebarkan ucapan-ucapan kempennya !


LAMAN SESAWANG CHE DET, 1MALAYSIA DAN MY-MALAYSIA

Memiliki laman blog dan web peribadi juga akan membolehkan akses dua hala dengan rakyat berlaku lebih segera dan tanpa protokol. Sebagai contoh, laman blog Tun Dr. Mahathir, dikatakan laman blog paling popular di Malaysia! Begitu juga laman web 1Malaysia yang memberi peluang kepada rakyat mendekati idea Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terbaru, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah melancarkan laman webnya sendiri di www.my-malaysia.com.my sebagai suatu usaha mendekati rakyat. Namun yang unik di sini, inisiatif laman web beliau datangnya daripada kumpulan penyokong beliau sendiri!

Pemimpin-pemimpin kerajaan boleh memperuntukkan walaupun sekadar 15 minit sehari untuk ‘bersama rakyat’ di dunia siber melalui interaksi chatting. Paling tidak pun, apa salahnya jika sesekali menghubungi terus rakyat melalui talian telefon jika nombor perhubungan diberikan?

Bayangkan, melalui sentuhan Web 2.0 ini, masalah setempat yang kecil pasti boleh diselesaikan segera. Pada masa yang sama ia menunjukkan keberhasilan komunikasi berkenaan. Begitu juga jika terdapat idea-idea menarik daripada rakyat pula, ia tentu boleh diketengahkan.

Dengan wujudnya peremajaan hubungan terus secara 'top-down approach', ia secara tidak langsung menjurus kepada pengwujudan Bank Idea Rakyat secara maya yang akan meningkatkan lagi imej kerajaan di kalangan rakyat marhain !

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, January 19, 2010

POLITIK SUKAN 'SEKAT' KEJAYAAN NEGARA

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Selasa, 19 Januari 2010, muka 10)

UCAPAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis makan malam tahunan anjuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini membuktikan bahawa negara sentiasa mengenang jasa-jasa atlet yang telah mengharumkan nama negara melalui pelbagai cabang sukan di peringkat antarabangsa.

Galakan dalam bentuk insentif pembakar semangat, hadiah dan anugerah kecemerlangan sentiasa dihulurkan. Itu belum lagi mengambil kira pelbagai kemudahan infrastruktur yang terus-menerus dibangun serta dimodenkan kerajaan.

Pada majlis itu, jasa-jasa atlet yang telah bertungkus-lumus sehingga meraih kejayaan membanggakan di Sukan SEA Laos baru-baru ini diiktiraf melalui siri anugerah 'Olympian of the Year' anjuran Coca Cola-MOM.

Apa yang menarik dalam majlis makan malam tahunan MOM pada Sabtu lalu, Muhyiddin yang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet yang menguruskan hal ehwal pembangunan sukan negara dan kedudukannya sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan sewaktu kemuncak pencapaian Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, sememangnya layak dalam menampilkan dirinya sebagai satu-satunya pemimpin yang tegas dan jujur dalam menyampaikan pandangannya mengenai status sukan negara yang kian merudum.

Kalau hendak berdasarkan kutipan pingat, sememangnya jumlah kutipan pada temasya kali ini tidak 'semeriah' berbanding edisi terdahulu. Apatah lagi apabila jumlah acara dipertandingkan tidak sebanyak temasya-temasya sukan yang terdahulu.

Namun dalam sukan tertentu, kita berjaya beroleh kejayaan luar jangkaan. Bola sepak sebagai contohnya, berjaya mengakhiri kemarau pingat emas 20 tahun yang kemanisannya dikongsi bersama oleh peminat-peminat setia. Pasukan badminton wanita turut meraih emas pertama setelah 34 tahun menanti. Kategori renang, kita terus-menerus dibanggakan dengan pencapaian generasi pelapis seperti Daniel Bego.

Namun agak mendukacitakan pula ceritanya dengan skuad sepak takraw negara. Tatkala Thailand dilihat sebagai kuasa besar kekal dalam sukan tersebut, Malaysia kini dilihat 'semakin' sebaris dengan pasukan seperti Myanmar. Demikianlah cerita jatuh bangun sukan-sukan tanah air dalam temasya yang mula disertai Malaysia seawal 1959 (ketika itu Sukan SEAP).

Merumus pencapaian atlet negara sepanjang tahun 2009, kita tentulah harus berasa bangga. Namun dalam masa yang sama, ruang-ruang untuk dikemas kini, pembaharuan dan pembetulan mestilah jangan diabaikan. Proses kecemerlangan mutu sukan seharusnya bersifat istiqamah. Sekiranya kita lewa, alamatnya akan ketinggalanlah kita kerana negara-negara lain pun tentulah akan mengambil pendekatan yang sama dan jika tidak teliti dan peka, pasti kita akan terpaksa back to square one!

Antara sikap atlet yang kita harus terus-terusan semai adalah 'mentaliti atlet kelas pertama' yang mengutamakan kejayaan dahulu dan bukan ganjaran. Hargailah susah payah kerajaan yang membina pelbagai fasiliti sukan terbaik yang mana 'ongkosnya' pula datang daripada jerit-perih rakyat si pembayar cukai!

Dalam pada itu juga, jika prasarana dan infrastruktur state-of-the-art sahaja yang canggih dan gah tetapi mutu pengurusannya entah ke mana, tentulah tidak berguna juga. Saya masih teringat bekas jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari yang pernah menyindir kualiti padang di Stadium Bukit Jalil suatu ketika dahulu yang disifatkannya 'boleh menyebabkan pemain tercedera'. Pada masa yang sama, pihak pengurusan boleh mengambil kira bagaimana kemudahan-kemudahan ini agar turut dapat digunakan untuk manfaat masyarakat.

Sementara itu, kemelut perbalahan yang menghantui beberapa persatuan sukan dilihat turut mempunyai pengaruh besar terhadap mutu atlet ketika acara-acara penting. Justeru, pengurusan sukan perlulah kembali kepada sikap profesional dan niat yang ikhlas demi kemajuan sukan tersebut.

Begitu juga dalam keadaan yang mana hari ini secara rata-rata semua perbelanjaan sukan ditanggung kerajaan bukan seperti dahulu di mana masing-masing terpaksa mengemis untuk bantuan kewangan. Sepatutnya kemajuan sukan negara lebih baik dari dahulu dan bukan sebaliknya. Dalam senario hari ini, persatuan-persatuan sukan perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam memajukan sukan negara dan bukan bertegang urat serta tidak mahu duduk semeja dengan kerajaan. Mereka perlu ingat bahawa jatuh bangunnya persatuan mereka kini bergantung sepenuhnya kepada 'kebijaksanaan' mereka mengatur cara dan berbudi bahasa.

Dalam lain hal pula, setiap persatuan sukan memerlukan sokongan akar umbi yang kuat. Politik dalaman perlu dihindarkan. Sudah sampai masanya persatuan-persatuan sukan mencontohi semangat perubahan yang dianjurkan oleh UMNO dalam Perlembagaan organisasi. Sistem pemilihan yang kononnya berfalsafahkan 'demokrasi' perlu dikaji semula. Jumlah perwakilan yang berhak mengundi perlu diperbanyakkan agar peneraju dan barisan saf pertama benar-benar mendapat sokongan seramai mungkin keahlian dari seluruh pelosok negara.

Jika tidak, Akta Pembangunan Sukan 1997 yang digarap kerajaan perlu digunakan sebagai panduan teras yang boleh digunapakai oleh persatuan-persatuan sukan dalam menyelaraskan kedudukan persatuan agar kembali berkesan sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

Tahun ini, kalendar sukan negara sudah teratur dengan pelbagai acara dan temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel, Piala Thomas dan Sukan Asia. Kita sebagai rakyat yang juga pembayar cukai akan terus-menerus memberi sokongan padu terhadap apa jua usaha kebaikan dan pembangunan sukan negara. Semoga martabat sukan negara akan terus-menerus dijulang setinggi-tingginya! Majulah Sukan Untuk Negara!

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, January 12, 2010

HIKMAH DI SEBALIK ISU KALIMAH

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Selasa, 12 Januari 2010, muka 11)

LEBIH kurang seminggu yang lalu, tahun 2009 sudahpun melabuhkan tirainya. Kemelut, caca merba, kejutan dan pelbagai hiruk-pikuk mewarnai sepanjang tahun 2009.

Minggu lalu yang menyaksikan minggu pertama tahun baru, kita seakan-akan dibayangkan bahawa pola suasana tahun ini tidak akan begitu banyak berbeza dengan tahun sebelumnya. Awal-awal lagi nampaknya kita telahpun dihidangkan dengan kegemparan isu penggunaan kalimah Allah yang diluluskan penggunaanya untuk majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi.

Menyelusuri kronologi isu ini yang bermula dari tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebenarnya telahpun memutuskan untuk memberi kebenaran kepada majalah Herald-The Catholic Weekly (khusus untuk golongan Kristian Katolik) untuk merujuk istilah 'God' dengan kalimah Allah.

Walaubagaimanapun, mengambil kira reaksi umat Islam dan di samping memikirkan kepentingan keharmonian masyarakat, kementerian tersebut telah segera menarik balik keputusan itu. Namun, setelah kes itu dibawa ke mahkamah, mengejutkan sekali kerana kini ia berakhir dengan keputusan kontroversi yang menyebelahi majalah berkenaan.

Ekoran keputusan itu, majoriti umat Islam mula bersuara dan suara-suara protes kedengaran hampir di mana-mana sahaja. Tidak kiralah sama ada penyokong UMNO atau PAS, kesemuanya memberikan reaksi yang lebih kurang sama. Ternyata ramai yang kurang selesa dengan keputusan yang dibuat itu.

Ironinya, parti UMNO yang selalu dituduh sebagai parti rasis Melayu oleh kelompok PAS dilihat menjadi 'juara' dan 'front-end' dalam mendepani isu menyentuh kepentingan Islam, dan bukan PAS. Walhal, PAS yang seringkali menobatkan diri mereka 'pejuang' Islam sebaliknya begitu mengecewakan dalam kenyataan rasmi yang disiar di laman rasmi parti tersebut.

Baur-baur kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada awalnya digambarkan oleh beberapa pemimpin PAS telah ditransformasi kepada suatu kenyataan rasmi Presiden PAS yang lebih lemah, kurang pengisian dan tidak tegas pendirian!

Sudah tentulah pada dasarnya, penggunaan nama Allah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi. Akan tetapi, mengambil konteks di Malaysia ini, di mana istilah Allah sudah sekian lama difahami sebagai 'Tuhan kepada orang Islam' dan dalam pada itu pula telah sentiasa memastikan kedamaian di kalangan masyarakat, tidak ada salahnya PAS berterus-terang untuk tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Apatah lagi mengambil kira istilah 'Islam' yang kononnya menjadi dokongan PAS, terlihat akan pendirian sebenar parti itu yang nyata semakin lewa dan 'hopeless' dalam isu membabitkan kepentingan akidah masyarakat Islam. Dengan masyarakat yang kini berdepan dengan pelbagai kekeliruan dan masalah seperti ancaman murtad, isu Islam liberal dan kekalutan hak penjagaan anak yang ibu bapanya berbeza agama, sikap PAS memang tidak boleh diterima.

Pada saya pula, isu ini tidak sepatutnya hadir sama sekali kerana istilah 'God' boleh diguna pakai oleh ajaran Kristian. Justeru, persoalan sama ada ajaran Kristian sememangnya ada merujuk kepada kalimah Allah tidak sepatutnya timbul. Lebih penting lagi, hak Islam sebagai agama rasmi negara yang meletakkan Allah sebagai tuhan yang Esa, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan perlulah dihormati. Sensitiviti majoriti masyarakat juga wajib diambil kira demi keharmonian masyarakat yang telah sekian lama terjalin tanpa apa-apa sengketa.

Kejadian letupan di beberapa gereja baru-baru ini adalah bukti bagaimana sesuatu normaliti yang cuba diubah ada harga yang cukup mahal untuk dibayar. Tindakan ganas ini tidak kita sokong. Kerajaan sendiri di atas semangat 1Malaysia dengan segera menghadirkan sumbangan RM500,000 untuk gereja-gereja terlibat. Malahan, kerajaan menyeru agar tindakan sebegini tidak lagi dilakukan.

Namun perlu difahami, daripada lebih 20 juta rakyat Malaysia, tidak semuanya berfikiran sama. Sesetengahnya ekstremis, nekad dan sukar dijangka tindak-tanduknya. Maka demi kesejahteraan dan keamanan, saya rasa tidak ada rugi apa-apa sekiranya kebiasaan yang terdahulu dikekalkan. Justeru saya beranggapan, laporan akhbar semalam yang menyebut terdapat beberapa kumpulan Kristian yang menggambarkan bahawa akhbar Herald perlu 'mengalah' dalam isu ini adalah satu tindakan yang patut, terbaik dan menghormati kumpulan majoriti di Malaysia.

Dalam masa sama, siri letupan gereja adalah suatu petanda tidak semua orang Islam faham dengan ajaran Islam yang menganjurkan kedamaian. Timbulnya isu ini juga adalah gara-gara umat Islam lemah dan tidak bersatu hati. Tidak hairanlah hak Islam dan Melayu dalam pelbagai isu yang sepatutnya sensitif, kini begitu mudah diperkotak-katik dan dipersoalkan. Barangkali kita terlalu leka berpolitik daripada mencari persamaan sesama saudara!

Mungkinkah inilah sebenarnya peringatan berhikmah dari Allah untuk kita seawal tahun baru 2010 dan 1431 Hijrah ini. Bahawa kini sudah sampai masa dan ketikanya untuk masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu, saling bermaafan dan bermuafakat?

Kelmarin di dada-dada akhbar terdapat beberapa golongan Kristian yang bersetuju agar tuntutan penggunaan kalimah Allah tidak diteruskan lagi. Ini membuktikan bahawa tuntutan tersebut adalah bukan tuntutan daripada golongan majoriti masyarakat Kristian Malaysia. Sekiranya, golongan masyarakat Kristian dapat memikirkan isu ini dari perspektif keharmonian dan perpaduan negara, sudah sampai masanya masyarakat Islam seluruh Malaysia termasuk UMNO, Pas, PKR dan lain-lain mencapai tahap kematangan yang sama.

Tepuk dada, insaflah dan tanya kepada iman. Semoga 2010 akan mekar dengan perpaduan dan ukhuwah fillah di kalangan ummah. Sama-samalah kita berdoa dan usahakan, insya-Allah!

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Wednesday, December 30, 2009

KEMELUT KECELARUAN IKLIM DUNIA – SIRI 3

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Rabu, 30 Disember 2009, muka 10)

DOSA BARAT TETAPI TIMUR MENJADI MANGSA

SAYA yakin bahawa semua pemimpin di peringkat dunia mahukan kemajuan untuk agama, bangsa dan negara. Apa yang jelas, pemimpin-pemimpin Barat telah 'membangunkan' negara mereka ratusan tahun jauh mendahului kita.

Namun demikian, kerakusan tindakan 'barbarian' pemimpin-pemimpin masa lampau Barat ini dalam membangunkan negara tanpa mengendahkan pengurusan bio-sfera yang baik wajar ditempelak kerana tindakan mereka telah menjahanamkan iklim dunia pada hari ini.

Jika tidak, mengapa sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa sanggup menyamakan dosa pemimpin-pemimpin seperti ini dengan kezaliman pembunuhan manusia beramai-ramai anjuran Hitler di seluruh Eropah, Ariel Sharon di Palestin dan Radovan Karadzic, Pemimpin Serb di Bosnia.

Rata-rata, berbillion-billion hektar hutan di kebanyakan negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) telah ditebang semata-mata untuk pembangunan. Yang peliknya, sekiranya terdapat tanah-tanah lapang pula, ia tidak diisi dengan re-forestration programme atau program penanaman semula seperti yang diterajui oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Gara-gara itulah, masyarakat Timur agak keliru dengan tentangan masyarakat Barat apabila berlakunya penggondolan hutan malar hijau di Asia Tenggara seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia bagi tujuan perindustrian kelapa sawit.

Apa yang pasti, peratusan tanah yang diusahakan adalah terlalu sedikit berbanding jumlah keluasan hutan yang belum lagi diterokai.

Bagi saya, hal ini adalah antara sekelumit dosa-dosa masyarakat Barat terhadap kecelaruan iklim dunia yang perlu ditebus oleh masyarakat Timur secara 'terpaksa' sebagaimana kita dijadikan 'mangsa' dalam pelbagai isu dunia yang lain.

Sudah terang lagi bersuluh. Sistem penjanaan elektrik yang berasaskan bahan bakar asas fosil adalah salah satu punca utama kecelaruan iklim dunia. Hari ini sahaja sektor perindustrian dihidangkan dengan pelbagai sistem penjanaan kuasa yang menggunakan tenaga angin, air, suria dan nuklear.

Dalam hal ini juga, AS sengaja menakut-nakutkan dunia untuk tidak menggunakan tenaga nuklear yang sebenarnya adalah paling murah dari segi bahan mentah dan operasi demi mengeksploitasi industri uranium dunia.

Dalam hal yang lain pula, saya juga tidak boleh menerima obsesi kerajaan AS dalam melindungi keuntungan syarikat-syarikat gergasi dan memastikan kerajaan mereka terus berkuasa.

Agak 'tidak masuk akal' apabila AS menyarankan dan memberi hak secara langsung kepada dunia supaya 'perdagangan karbon' dibenarkan. Saranan ini seolah-olah menganggap kemelut kecelaruan iklim dunia sebagai suatu perkara yang remeh dan boleh dikomersialkan!

MEMBINA KEMAJUAN DALAM KETERBATASAN

Sekalipun masyarakat Barat lebih membangun, namun masyarakat Timur sebenarnya jauh mendahului dalam usaha penyelidikan dan kajian penggunaan teknologi bagi menguruskan bio-sfera dengan baik. Sebagai contoh, usaha-usaha yang diterajui oleh syarikat Sharp, Jepun lebih lima dekad mempelopori teknologi kuasa suria perlu diikuti oleh dunia.

Begitu juga dengan pelbagai usaha syarikat-syarikat Jepun lain yang sentiasa mencari jalan untuk menghasilkan produk penggunaan manusia yang sesuai bermula dengan menggunakan bahan material terbaik, kaedah operasi yang berkesan, penghantaran yang cekap sehinggalah penggunaan yang sesuai dengan kehidupan lestari manusia yang kini terkesan dengan keuzuran dunia.

Paling membanggakan, sekalipun tiada 'penanda aras' antarabangsa untuk emisi sifar (zero emission) terhadap penghasilan karbon dioksida, para penyelidik Timur khususnya dari Jepun ini nampaknya benar-benar gigih serta serius dalam melaksanakan amanah mereka dengan begitu baik sekali.

Atas alasan ini juga, kita menghargai misi delegasi perdagangan Malaysia ke Jepun yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini. Antara teknologi yang diketengahkan adalah teknologi bangunan hijau yang bukan sahaja mesra alam malah dapat diselenggarakan pada kadar kos yang sangat rendah dan juga kenderaan elektrik atau Electric Vehicle (EV) yang sempat diuji kemampuannya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Walaupun sedikit saya cemburu kerana hanya dapat menonton kemampuan kenderaan masa hadapan yang dipanggil 'Eliica' itu di dalam YouTube, saya yakin teknologi EV yang dibangunkan oleh Profesor Shimizu dari Keio University itu adalah jawapan kepada penantian kereta elektrik dunia pertama serta penyelesaian kepada isu under powered atau kurang kuasa pecutan yang cuba diselesaikan bertahun lamanya oleh kebanyakan jurutera kereta elektrik prototaip dunia yang lain.

Melalui pembacaan saya, Eliica adalah prototaip kenderaan elektrik futuristik yang mampu menghasilkan pecutan 0-100 kmj dengan masa 3.9 saat pada kelajuan maksimum 370 kmj. Bukan sahaja ia mampu menumpaskan Porsche 911 dengan mudah sekali, malah kos pengendaliannya adalah 12 kali ganda lebih murah daripada Proton Persona!

Dua perjanjian persefahaman yang dipelopori oleh Kumpulan Chenderong Bersekutu dengan dua syarikat ulung teknologi hijau Jepun ini adalah usaha 'mengecapi kejayaan dalam keterbatasan'.

Yang lebih penting, ia petanda bermulanya langkah untuk teknologi hijau bertapak di Malaysia. Semoga usaha transformasi radikal ini terus diberikan tumpuan dan sokongan oleh kerajaan Malaysia agar generasi masa hadapan faham serta peka tentang ilmu alam dan keuzuran dunia.

Perubahan yang kita lakukan ini diharap seiring dengan ingatan pujangga China, Lao Tzu yang mengatakan "Jika kita tidak menukar arah, kita mungkin berakhir di mana kita mula melangkah." Ayuh, mari kita lakukan perubahan sekarang dan kembalikan hubungan erat antara manusia dengan alam.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, December 22, 2009

KEMELUT KECELARUAN IKLIM DUNIA - SIRI 2

(UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi: Selasa, 22 Disember 2009, Muka 10)

KETEGASAN ibu bapa menyuruh anaknya tekun belajar demi masa depan memberikan inspirasi untuk mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin negara dan dunia agar terus tekun melakukan usaha sedaya mungkin untuk mencari jalan menguruskan bio-sfera dengan baik sekali gus mengurangkan pemanasan global.

Sebagaimana kebanyakan anak-anak kita yang kini 'menangis tidak berlagu' kerana enggan patuh cakap ibu bapa, begitu juga peringatan kita kepada pemimpin agar jangan menyesal jika kecelaruan iklim dunia semakin menjadi-jadi suatu hari nanti ekoran daripada sikap ketidaksungguhan mereka mengatasi pemanasan global hari ini.

PEMANASAN GLOBAL SEBAGAI MENIFESTO PARTI

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkaitan tamatnya pemberian AP untuk kereta import dan francais kereta import masing-masing pada 2015 dan 2020 secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan Malaysia semakin mengakui kemelut ketandusan minyak yang berasaskan fosil.

Ulasan seiring dengan Belanjawan 2010 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah signal positif kerajaan Barisan Nasional terhadap tekanan dunia ke atas isu pemanasan global.

Saya berpendapat, sudah sampai masanya, perjuangan mengatasi isu pemanasan global ini dijadikan manifesto perjuangan politik parti dan tidak boleh dianggap sebagai isu mikro semasa sahaja.

Kita mesti sedar bahawa usaha memulihkan kembali dunia yang semakin uzur ini semakin mendapat perhatian. Sementara itu, sikap pemimpin-pemimpin dunia juga sentiasa dipantau serta sering mendapat kritikan sinikal rakyat dunia yang memerhati.

KRITIKAN SINIKAL TERHADAP AS DAN CHINA

Baru-baru ini laman sesawang NGO pencinta alam sekitar, Greenpeace mentertawakan telatah World's Big Brother, Amerika Syarikat (AS) yang asalnya berkemampuan menaja penjelajahan manusia pertama ke bulan. Kini terbukti AS gagal dalam mempertahankan manusia yang telah kesekian lamanya hidup di bumi.

Dalam rencana minggu lalu, saya juga menyentuh hanya AS sahaja yang masih belum menandatangani Protokol Kyoto manakala China pula tidak terdaya untuk mengawal pembangunan industri konvensional yang menjadi punca kenaikan indeks pencemaran udara sehingga dicemuh hebat oleh negara-negara jiran.

Namun, kita terpaksa mengakui bahawa proses evolusi kepada industri berasaskan teknologi hijau memerlukan kos tanggungan yang lebih berbanding teknologi konvensional. Apatah lagi industri teknologi hijau masih di peringkat awal dan mempunyai permintaan tinggi dalam senario tekanan dunia sekeliling yang melampau.

Malangnya lagi, desakan dari NGO-NGO antarabangsa agar negara-negara membuat perubahan untuk mengatasi pemanasan global ini berlaku di tengah-tengah krisis ekonomi dunia yang dahsyat. Sehingga menjadikan pemimpin-pemimpin dunia sekadar menabur janji-janji manis yang sebenarnya tidak termampu dilaksanakan oleh mereka.

Statistik media antarabangsa menunjukkan pemimpin-pemimpin Liga Eropah mendahului senarai dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon dioksida dengan mencatatkan 25 hingga 30 peratus. Sementara Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama (empat bulan berkhidmat) dan Presiden AS, Barack Obama (11 bulan berkhidmat) masing-masing mencatatkan pengurangan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 25 dan 17 peratus.

SERIBU SATU HIKMAH

Jika kita renungkan dari perspektif berbeza, terdapat seribu satu hikmah di sebalik tekanan ekoran dari isu-isu krisis ekonomi dunia, ketandusan minyak dunia dan pemanasan global.

Dengan model baru dalam menguruskan bio-sfera yang lebih baik, dunia kita akan terdedah dengan pembukaan ekonomi baru yang berasaskan teknologi hijau.

Bayangkan umat manusia kini diberi peluang untuk hidup dalam dunia penuh futuristik. Sebagaimana kita kagum dengan ciptaan ketuhar gelombang mikro pada awal 1990-an, kita pasti akan teruja dengan pelbagai produk teknologi hijau masa depan.

Kenderaan harian yang kita gunakan tidak lagi menjadi punca pencemaran udara kerana ia adalah kenderaan elektrik yang mempunyai kos efisyen tinggi kerana tidak lagi menggunakan bahan bakar fosil. Pada masa yang sama peperangan perebutan wilayah untuk menakluki telaga minyak seperti yang berlaku di antara Kuwait-Iraq pada 2 Ogos 1990 juga dapat dielakkan.

Bangunan pejabat pula berkonsepkan bangunan hijau yang disiapsiagakan dengan material mesra alam serta konsep pengudaraan semulajadi serta sistem elektrik solar. Selain itu, rumah kita bakal dilengkapi dengan mesin-mesin penulenan udara, penstabil ion untuk mengurangkan kesan elekrostatik, pendingin udara yang tidak menghasilkan karbon dioksida dan banyak lagi.

Berdasarkan keuntungan yang diraih ekoran perubahan teknologi masa depan inilah, saya merasakan ramai masih beranggapan isu kecelaruan iklim dunia ini adalah propoganda ekonomi kapitalis dalam menyelesaikan krisis ekonomi dunia.

Sama ada bersetuju atau tidak, bak kata pepatah Inggeris: "whether you see the glass of water half empty or half full."

Sebagai salah seorang khalifah Allah di muka bumi, kita sekurang-kurangnya sudah mulai peka dan sudah mula melakukan sesuatu untuk merawat dunia yang semakin uzur.

Secara kebetulan, keputusan dan tindakan kita itu membuat kita terdedah kepada pengalaman hidup baru yang sekali gus menyediakan jalan keluar dari kemelut krisis ekonomi dunia yang kian menjunam.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)