Tuesday, February 23, 2010

MELAYU TERSEKAT DI FASA 'SURVIVAL'?

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Selasa, 23 Februari 2010, muka 10)
BEBERAPA siri insiden di mana ikan-ikan paus terdampar di persisiran pantai dunia adalah suatu fenomena unik namun menyayat hati. Yang paling menyentuh perasaan ialah apabila para penyelidik membuktikan adanya kemungkinan kawanan-kawanan ikan paus tersebut sudah 'menyerah kalah' dalam menempuhi cabaran survival spesiesnya gara-gara senario pengurusan bio-sfera yang kian berkecamuk.

Hari ini, kalaulah tidak ada sebarang inisiatif ikhlas yang berkadar segera dan bersifat kritikal, janganlah hendak dipelikkan sangat kalau- kalau nasib orang Melayu suatu ketika kelak bakal terjerumus dalam kancah 'dilema ikan paus' tersebut; bergelumang dengan survival bangsanya!

Ketika era Dato' Onn Jaafar sendiri, kita sebenarnya telah pun berada pada suatu titik 'survival' di mana tanah air dipertahankan daripada menjadi 'jajahan kekal' British. Walaupun situasi kini berbeza, kekalutan lantaran perpecahan bangsa dan didesak pula himpitan krisis ekonomi sejagat dalam beberapa tahun kebelakangan ini pada hakikatnya tidak kurang memeritkan.

'PADANG POLITIK MELAYU' DISEMPITKAN

Saya terkilan apabila memikirkan nasib Melayu yang tersekat di fasa survival kini ada kaitan dengan 'padang permainan politik dan ekonomi' yang adakalanya 'disempitkan' oleh bangsa sendiri juga!

Kenapa perlu disempitkan? Sedangkan hari ini wujudnya dunia alam maya yang melipat-gandakan keluasan padang politik dan ekonomi kita!

Kita perlu juga sedar dengan senario yang berlaku di mana hak orang Melayu untuk berniaga di beberapa tempat dirampas dan berlaku juga kejadian di mana perarakan meraikan Maulidur Rasul tidak dibenarkan.

Itu belum mengambil kira kes-kes lepas lagi. Kalau hendak dikira semuanya, pasti tidak cukup sepuluh jari.

Kononnya hendak mengajar kuasa untuk menegakkan agama dan keadilan. Tetapi dalam proses itu, suatu yang sudah menjadi hak pula terlepas daripada genggaman!

Tak usahlah asyik mendendangkan pesona keagungan empayar Islam untuk meraih sokongan murahan. Ataupun bernostalgia dengan kehebatan empayar Melaka dan legenda Hang Tuah yang menjadi lambang keagungan Melayu suatu ketika dulu.

Apa gunanya kalau hakikatnya kita masih bermentaliti sempit dan asyik bertikam sesama sendiri? Kita sepatutnya telah lama bergerak ke arah mentaliti Melayu Baru yang lebih radikal, enthusiastic dan berlandaskan modal iman sejati?

Lantaran itu kita seharusnya berwaspada menilai 'bisikan syaitan' yang berniat untuk memberi gambaran mengelirukan. Jauhkan dari provokasi yang ingin melaga-lagakan. Jika memberi sokongan, pastikan baik untuk kemaslahatan rakyat dan masyarakat.

Jika menerima nasihat pula, pastikan ia diterima dari mereka yang beriman. Kalaulah yang diniatkan di hati itu sesuatu yang baik dan cara sudah ternyata betul, apa lagi yang mesti dikhuatirkan?

DASAR BAIK, PELAKSANAAN BERMASALAH

Hari ini, melalui gandingan mantap Najib-Muhyiddin kita dapat melihat adanya suatu kekuatan yang kukuh bagi Melayu dan negara menongkah gelombang abad ke-21 dengan penuh jaya. Namun persoalan yang sering dibangkitkan oleh rakyat sejak dahulu lagi adalah kita sering menggubal dasar yang berasaskan falsafah dan manifestasi yang baik namun masih gagal dalam pelaksanaan.

Menurut pengamatan saya, lapisan penggubalan dasar adalah di peringkat kepimpinan tertinggi negara. Pemimpin di lapisan seterusnya perlu bertindak sebagai agen pelaksana dasar dan tidak perlu mempertikaikan dasar yang dibuat kecuali dalam keadaan wujudnya kepincangan dalam proses pelaksanaan. Dan kesemua pelaksanaan ini pula perlu dipantau hingga peringkat tertinggi.

Inisiatif Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalannya begitu jelas berniat baik, tetapi adanya kepincangan tertentu menyebabkan objektifnya belum di gapai 100 peratus.

Orang Melayu memang masih perlu dibantu malahan hak ini tidak perlu dipertikai. Namun saya melihat 'sistem' yang ada hari ini telah gagal menerbitkan minda Melayu 'kelas pertama' pada skala yang diperlukan.

Di sinilah kegagalan kita; mengubah Melayu kepada mentaliti yang bersifat 'kombatif' sebaliknya kekal dengan perangai 'terlalu' bergantung. Sesetengahnya pula lebih kepada hendak cepat kaya. Ada jugalah kelibat-kelibat yang berjaya ke level yang ditagih, tetapi jumlahnya tidak ramai.

Dengan kita sudah sedekad di abad ke-21, anjakan paradigma dan minda bukan lagi sekadar dituntut malahan menjadi kewajipan khusus andai Melayu masih mahu kekal progresif dan kompetitif. Perkara-perkara sebegini sepatutnya menjadi sebahagian dari kriteria dasar dan pelaksanaan juga. Untuk itu cadangan dan suara hati rakyat perlu dilihat. Betul ataupun salah, tidak menjadi hal kerana yang penting akan wujud suatu 'perkongsian jambatan' antara rakyat dan kerajaan.

LERAIKAN PEMIKIRAN KUSUT DAN JUMUD

Dalam pada itu, sistem pendidikan mesti dijadikan medium pembudayaan pemikiran Melayu yang lebih progresif dan berpandangan jauh. Justeru, di samping perubahan semasa dalam sistem pendidikan ketika ini yang menekankan ke arah melahirkan generasi profesional yang mampu dipasarkan, perubahan sistem pendidikan mesti mampu melahirkan generasi yang kukuh iman, berjati diri Malaysia dan berdaya saing.

Mata pelajaran Sejarah yang diajar sepatutnya lebih bersifat kritikal, pengajaran yang mengesankan. Mata pelajaran Agama pula mestilah melahirkan generasi berakidah kukuh dan mempunyai keimanan sejati yang teguh. Kedua-dua subjek ini perlu diletakkan sebagai wajib lulus dengan keputusan baik.

Orang Melayu hakikatnya memang boleh berjaya. Kejayaan Petronas suatu bukti bahawa syarikat yang diterajui dan dibarisi majoriti orang Melayu mampu berada pada kedudukan baik dalam ranking Fortune 500 malahan diletak dalam kelompok elit New Seven Sisters yang berpengaruh dalam industri tenaga.

Tidak ada persoalan tentang kebolehan kita. Persoalan sebenar ketika ini ialah kesanggupan kita yang akhirnya merujuk pula kepada mentaliti kita sendiri. Mentaliti kelas ketiga ataupun kelas pertama? Mentaliti suka berdengki, hati busuk, tikam-menikam dan gila kuasa ataupun yang berkait mentaliti bersifat 'mahmudah'!

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

5 comments:

Al Mahadaya said...

Salama Alaya Kama (Sejahtera keatas Kamu)
Hamba membawa amanat tuhan kpd manusia supaya kembali kpd agama tuhan yg satu. Hamba berbangsa Melayu dan adalah menjadi takdir tuhan bhw bangsa inilah yg akan meninggikan semula keagungan agama tuhan. http://alya-diyanah.blogspot.com

Uncle Bakar's Original Kerepek said...

Saudara Feriz,

Pandangan saudara terhadap masyarakat Melayu memang tepat. Cadangan saya, pada ceramah-ceramah politik UMNO kita patut ingatkan orang Melayu tentang perkara ini daripada kita asyik bercerita tentang keburukan pembangkang. Tembok utama yang menghalang kita untuk maju adalah diri kita sendiri. Semua orang Melayu perlu memainkan peranan mereka dan pemimpin yang berpengaruh and ikhlas perlu sentiasa menuipkan semangat orang Melayu untuk berubah. Semoga Allah akan sentiasa melindungi orang-orang Melayu untuk terus berjaya dan dalam pada itu kita tidak mengabaikan golongan-golongan minoriti yang perlu sentiasa dibela.

Arif

Uncle Bakar's Original Kerepek said...

Saudara Feriz,

Pandangan saudara terhadap masyarakat Melayu memang tepat. Cadangan saya, pada ceramah-ceramah politik UMNO kita patut ingatkan orang Melayu tentang perkara ini daripada kita asyik bercerita tentang keburukan pembangkang. Tembok utama yang menghalang kita untuk maju adalah diri kita sendiri. Semua orang Melayu perlu memainkan peranan mereka dan pemimpin yang berpengaruh and ikhlas perlu sentiasa menuipkan semangat orang Melayu untuk berubah. Semoga Allah akan sentiasa melindungi orang-orang Melayu untuk terus berjaya dan dalam pada itu kita tidak mengabaikan golongan-golongan minoriti yang perlu sentiasa dibela.

Arif

AMK Batu said...

Assalamualaikum.

Saudara Feriz,
Cuba anda fikirkan, lebih 50 tahun kita merdeka, di mana kedudukan melayu? DEB diperkenalkan tetapi top 10 yang terkaya, berapa kerat sahaja orang melayu, adakah koperat melayu tidak setanding taukey cina, mereka saban tahu manapoli ekonomi Malaysia tetapi jgn takut melayu masih bangga lagi sehingga mereka lupa diri.

Jangan salahkan sesiapa, salahkan bangsa kita sendiri, kita terlalu bangga kerana Malaysia ini milik kita sehingga kita lalai Malaysia ini boleh jadi milik orang lain (perlu diingat, Malaysia ini milik semua bangsa yang lahir di Malaysia). Kita merasakan mempunyai kubu yang kuat seperti hak keistimewaan orang melayu walhal bukan semua orang melayu merasakannya.

Orang melayu perlu mengubah sikap dari sikap pemalas, rendah diri, suka salahkan orang, terlalu bergantung dan penting diri sendiri. Kita perlu sedar bahawa kita tidak perlu sombong untuk mendabik dada tanpa meminta bantuan bangsa lain.

Saya sering tertanya, adakah UMNO yang menjadi kuasa yang besar dalam pertubuhan melayu gagal dalam menaikkan orang melayu? Kita lihat Pulau Pinang, adakah sama orang melayu di sana pemerintahan GERAKAN dan DAP? orang melayu tetap di belakang, apa yang UMNO Pulau Pinang buat. Mereka boleh membina menara UMNO di Jalan Maclaster yang gah, sedangkan masih ada orang melayu tinggal di rumah atas laut lagi.

koperat-koperat melayu perlu mengikuti persatuan perniagaan cina yang sentiasa menolong peniaga yang baru melangkah ke dunia perniagaan, orang melayu yang kaya sombong, nak bolot seorang sahaja.

Segelintir Orang-orang melayu perlu hanya tahu bergantung kepada NOMBOR EKOR.

Saudara Feriz,
sebagai penasihat Khas TPM, mengapa tidak tegur negeri Johor, Perlis dan Pahang kerana tidak buat perarakan maulidur rasul? Wajibkan dalam Islam perarakan tersebut? Ingat sambutan tersebut tidak dilakukan oleh sahabat nabi. Ingatlah mengingati nabi selalu, bukan di hari Maulidur Rasul sahaja.

Isu gerai dirobohkan menjadi kecoh oleh UMNO. Mengapa rumah orang melayu yang dikatakan setinggan tidak dibela, mereka beratus tahun meneroka. Tanah orang melayu diambil, dihantar ke pinggir2 bandar, tapak tersebut dijadikan Kondo, harganya beratus ribu yang tidak akan mampu dibeli oleh orang melayu, dengan tidak langsung orang melayu dipinggirkan, adakah UMNO 50 tahun tidur lena dengan isu ini?

Kita perlu balik kepada realiti yang orang melayu kena merubah, merubah dengan kesedaran sendiri.

Unknown said...

Salam bro AMK,

Saya sekadar nak kongsi pendapat tentang perarakan Maulidur Rasul yang saudara katakan. Memang betul tak ada pun ia dibuat sahabat Nabi.

Cumanya inisiatif itu atas dasar kita menunjukkan rasa cinta ke Nabi. Dan dalam hal ini, perarakan Maulidur Rasul memang dilakukan di Pulau Pinang selama ini.

Ianya bukan berdosa, malah dianggap sesuatu yang baik. Jadi tak usahlah kita hendak berhujah2 tentang sesuatu yang telah nyata bersifat 'hasanah'. Tidakkah dungu begitu?

Malahan tidak pula pernah dikira khurafat oleh ulama2. Siapalah kita2 ini yang bukan pakar ugama nak membuat telahan, betul tak? Kita cuma taklid pada pendapat ulama. Nanti terkeluar dari jemaah pulak!

Tetapi di sini soalnya bukanlah kenapa negeri lain tak buat, tetapi atas alasan apa ia tidak dapat dibuat di PP?

Ini yang kita kena tunduk tafakur dan pikir dalam2.

Aduhai.. kalaulah kita boleh sesekala berlaku jujur tidak berhujah secara mengelak, sebaliknya berdepan dan mengaku jika tidak tepat?

Bab UMNO saya sendiri setuju banyak lagi yang perlu dibaiki. Banyak kekurangan. Banyak cela dan cacatnya.

Tetapi kurang-kurangnya dari PKR yang foundation pun tak kukuh, pemimpin2 berlumba2 keluar tak terfikirkah kita apa sebabnya?

Kalau nak kata kena beli, takat 1-2 orang logik lah agaknya. Tetapi kalau berderet2 nak resign, it should ring the bell, right?

Cuba duduk bertenang kejap.

Kepada sesuatu yang tidak kukuh dan caca-merba sebeginikah kita nak amanahkan negara yang kita sayang??

Pikir2kan lah dan selamat beramal!