Wednesday, December 30, 2009

KEMELUT KECELARUAN IKLIM DUNIA – SIRI 3

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Rabu, 30 Disember 2009, muka 10)

DOSA BARAT TETAPI TIMUR MENJADI MANGSA

SAYA yakin bahawa semua pemimpin di peringkat dunia mahukan kemajuan untuk agama, bangsa dan negara. Apa yang jelas, pemimpin-pemimpin Barat telah 'membangunkan' negara mereka ratusan tahun jauh mendahului kita.

Namun demikian, kerakusan tindakan 'barbarian' pemimpin-pemimpin masa lampau Barat ini dalam membangunkan negara tanpa mengendahkan pengurusan bio-sfera yang baik wajar ditempelak kerana tindakan mereka telah menjahanamkan iklim dunia pada hari ini.

Jika tidak, mengapa sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa sanggup menyamakan dosa pemimpin-pemimpin seperti ini dengan kezaliman pembunuhan manusia beramai-ramai anjuran Hitler di seluruh Eropah, Ariel Sharon di Palestin dan Radovan Karadzic, Pemimpin Serb di Bosnia.

Rata-rata, berbillion-billion hektar hutan di kebanyakan negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) telah ditebang semata-mata untuk pembangunan. Yang peliknya, sekiranya terdapat tanah-tanah lapang pula, ia tidak diisi dengan re-forestration programme atau program penanaman semula seperti yang diterajui oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Gara-gara itulah, masyarakat Timur agak keliru dengan tentangan masyarakat Barat apabila berlakunya penggondolan hutan malar hijau di Asia Tenggara seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia bagi tujuan perindustrian kelapa sawit.

Apa yang pasti, peratusan tanah yang diusahakan adalah terlalu sedikit berbanding jumlah keluasan hutan yang belum lagi diterokai.

Bagi saya, hal ini adalah antara sekelumit dosa-dosa masyarakat Barat terhadap kecelaruan iklim dunia yang perlu ditebus oleh masyarakat Timur secara 'terpaksa' sebagaimana kita dijadikan 'mangsa' dalam pelbagai isu dunia yang lain.

Sudah terang lagi bersuluh. Sistem penjanaan elektrik yang berasaskan bahan bakar asas fosil adalah salah satu punca utama kecelaruan iklim dunia. Hari ini sahaja sektor perindustrian dihidangkan dengan pelbagai sistem penjanaan kuasa yang menggunakan tenaga angin, air, suria dan nuklear.

Dalam hal ini juga, AS sengaja menakut-nakutkan dunia untuk tidak menggunakan tenaga nuklear yang sebenarnya adalah paling murah dari segi bahan mentah dan operasi demi mengeksploitasi industri uranium dunia.

Dalam hal yang lain pula, saya juga tidak boleh menerima obsesi kerajaan AS dalam melindungi keuntungan syarikat-syarikat gergasi dan memastikan kerajaan mereka terus berkuasa.

Agak 'tidak masuk akal' apabila AS menyarankan dan memberi hak secara langsung kepada dunia supaya 'perdagangan karbon' dibenarkan. Saranan ini seolah-olah menganggap kemelut kecelaruan iklim dunia sebagai suatu perkara yang remeh dan boleh dikomersialkan!

MEMBINA KEMAJUAN DALAM KETERBATASAN

Sekalipun masyarakat Barat lebih membangun, namun masyarakat Timur sebenarnya jauh mendahului dalam usaha penyelidikan dan kajian penggunaan teknologi bagi menguruskan bio-sfera dengan baik. Sebagai contoh, usaha-usaha yang diterajui oleh syarikat Sharp, Jepun lebih lima dekad mempelopori teknologi kuasa suria perlu diikuti oleh dunia.

Begitu juga dengan pelbagai usaha syarikat-syarikat Jepun lain yang sentiasa mencari jalan untuk menghasilkan produk penggunaan manusia yang sesuai bermula dengan menggunakan bahan material terbaik, kaedah operasi yang berkesan, penghantaran yang cekap sehinggalah penggunaan yang sesuai dengan kehidupan lestari manusia yang kini terkesan dengan keuzuran dunia.

Paling membanggakan, sekalipun tiada 'penanda aras' antarabangsa untuk emisi sifar (zero emission) terhadap penghasilan karbon dioksida, para penyelidik Timur khususnya dari Jepun ini nampaknya benar-benar gigih serta serius dalam melaksanakan amanah mereka dengan begitu baik sekali.

Atas alasan ini juga, kita menghargai misi delegasi perdagangan Malaysia ke Jepun yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini. Antara teknologi yang diketengahkan adalah teknologi bangunan hijau yang bukan sahaja mesra alam malah dapat diselenggarakan pada kadar kos yang sangat rendah dan juga kenderaan elektrik atau Electric Vehicle (EV) yang sempat diuji kemampuannya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Walaupun sedikit saya cemburu kerana hanya dapat menonton kemampuan kenderaan masa hadapan yang dipanggil 'Eliica' itu di dalam YouTube, saya yakin teknologi EV yang dibangunkan oleh Profesor Shimizu dari Keio University itu adalah jawapan kepada penantian kereta elektrik dunia pertama serta penyelesaian kepada isu under powered atau kurang kuasa pecutan yang cuba diselesaikan bertahun lamanya oleh kebanyakan jurutera kereta elektrik prototaip dunia yang lain.

Melalui pembacaan saya, Eliica adalah prototaip kenderaan elektrik futuristik yang mampu menghasilkan pecutan 0-100 kmj dengan masa 3.9 saat pada kelajuan maksimum 370 kmj. Bukan sahaja ia mampu menumpaskan Porsche 911 dengan mudah sekali, malah kos pengendaliannya adalah 12 kali ganda lebih murah daripada Proton Persona!

Dua perjanjian persefahaman yang dipelopori oleh Kumpulan Chenderong Bersekutu dengan dua syarikat ulung teknologi hijau Jepun ini adalah usaha 'mengecapi kejayaan dalam keterbatasan'.

Yang lebih penting, ia petanda bermulanya langkah untuk teknologi hijau bertapak di Malaysia. Semoga usaha transformasi radikal ini terus diberikan tumpuan dan sokongan oleh kerajaan Malaysia agar generasi masa hadapan faham serta peka tentang ilmu alam dan keuzuran dunia.

Perubahan yang kita lakukan ini diharap seiring dengan ingatan pujangga China, Lao Tzu yang mengatakan "Jika kita tidak menukar arah, kita mungkin berakhir di mana kita mula melangkah." Ayuh, mari kita lakukan perubahan sekarang dan kembalikan hubungan erat antara manusia dengan alam.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

2 comments:

hj zolCar9 said...

Salam Saudara Feriz,

Artikel tuan - kecelaruan iklim dunia... dosa barat

Pandangan saya.

1) Dari sudut fizikal & geografi :-

Apakah akan cair keseluruhan ais di muka bumi Antartik dan Artik ! Jika di takdirkan berlaku, maka kecairan ais di kedua2 benua Antartik & Artik tersebut akan mendedahkan kepada sebahagian besar muka bumi yang bersih dan suci yang TIADA tercemar... baik olih najis dan kotoran kerana selaput ais yang bermeter2 tebalnya. Entah apa tumbuhan2 yang akan tumbuh sekiranya ianya terdedah kepada matahari dgn izin Allah. Apa mungkinkah cuaca nya menjadi nyaman kerana kepanasan global !

Berapa keratkah Eskimo dan binatang2 seperti sea-lion, reindeer, polar bear dll yg menajisi muka bumi tersebut kerana terlindung olih ais, apatah lagi olih binatang2 yang najis mughalazah dari segi pandangan agama kita. Maka kalau dari sudut kebersihan dan kesucian, kita bolih mula mencorakkan bumi tersebut "on a clean sheet of paper" dgn meng"ISLAM"kan cara membangukan bumi2 tersebut.

2) Dari sudut kemaanusiaan :-

Saya cadangkan Melayu Islam meng"ISLAM"kan kaum Eskimo agar menerima hukum Allah dan menggalakkan kahwin campur diantara umat Islam (termasuk umat Melayu) agar kita dapat membentuk persada Islam baru di kedua2 benua tersebut. Bangsa2 lain mengintai peluang2 ekonomi tapi bagi kita umat Islam, tanamkan niat suci men"tauhid"kan bumi baru, biarlah rizkonomi menyusul kemudian atas ketentuan Ilahi.

Wassalam.

senyum.alhilal@gmail.com

10 BUDAK HITAM said...

Assalamualaikum saudara,

Dalam kita bersama-sama menongkah arus dan memperjuangkan setiap idea dan pendekatan ke arah kemakmuran dan keamanan sejagat,
saya dengan ini juga secara rasminya menjadi followers blog saudara.

Dalam memantapkan ukhwah dan merapatkan saf, harapan saya agar dapat kita sama-sama jadi followers blog dan buktikan pengikut kita lebih ramai bersatu-padu dalam menegakkan agama,bangsa dan negara.Tunjukkan inilah generasi maya yang bersatu dalam perjuangan di alam siber.

Menjadi followers di blog saya di http://10sibudakhitam.blogspot.com, saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Salam ukhwah dari 10 Si Budak Hitam..Assalamualaikum.