Wednesday, December 30, 2009

KEMELUT KECELARUAN IKLIM DUNIA – SIRI 3

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Rabu, 30 Disember 2009, muka 10)

DOSA BARAT TETAPI TIMUR MENJADI MANGSA

SAYA yakin bahawa semua pemimpin di peringkat dunia mahukan kemajuan untuk agama, bangsa dan negara. Apa yang jelas, pemimpin-pemimpin Barat telah 'membangunkan' negara mereka ratusan tahun jauh mendahului kita.

Namun demikian, kerakusan tindakan 'barbarian' pemimpin-pemimpin masa lampau Barat ini dalam membangunkan negara tanpa mengendahkan pengurusan bio-sfera yang baik wajar ditempelak kerana tindakan mereka telah menjahanamkan iklim dunia pada hari ini.

Jika tidak, mengapa sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa sanggup menyamakan dosa pemimpin-pemimpin seperti ini dengan kezaliman pembunuhan manusia beramai-ramai anjuran Hitler di seluruh Eropah, Ariel Sharon di Palestin dan Radovan Karadzic, Pemimpin Serb di Bosnia.

Rata-rata, berbillion-billion hektar hutan di kebanyakan negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) telah ditebang semata-mata untuk pembangunan. Yang peliknya, sekiranya terdapat tanah-tanah lapang pula, ia tidak diisi dengan re-forestration programme atau program penanaman semula seperti yang diterajui oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Gara-gara itulah, masyarakat Timur agak keliru dengan tentangan masyarakat Barat apabila berlakunya penggondolan hutan malar hijau di Asia Tenggara seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia bagi tujuan perindustrian kelapa sawit.

Apa yang pasti, peratusan tanah yang diusahakan adalah terlalu sedikit berbanding jumlah keluasan hutan yang belum lagi diterokai.

Bagi saya, hal ini adalah antara sekelumit dosa-dosa masyarakat Barat terhadap kecelaruan iklim dunia yang perlu ditebus oleh masyarakat Timur secara 'terpaksa' sebagaimana kita dijadikan 'mangsa' dalam pelbagai isu dunia yang lain.

Sudah terang lagi bersuluh. Sistem penjanaan elektrik yang berasaskan bahan bakar asas fosil adalah salah satu punca utama kecelaruan iklim dunia. Hari ini sahaja sektor perindustrian dihidangkan dengan pelbagai sistem penjanaan kuasa yang menggunakan tenaga angin, air, suria dan nuklear.

Dalam hal ini juga, AS sengaja menakut-nakutkan dunia untuk tidak menggunakan tenaga nuklear yang sebenarnya adalah paling murah dari segi bahan mentah dan operasi demi mengeksploitasi industri uranium dunia.

Dalam hal yang lain pula, saya juga tidak boleh menerima obsesi kerajaan AS dalam melindungi keuntungan syarikat-syarikat gergasi dan memastikan kerajaan mereka terus berkuasa.

Agak 'tidak masuk akal' apabila AS menyarankan dan memberi hak secara langsung kepada dunia supaya 'perdagangan karbon' dibenarkan. Saranan ini seolah-olah menganggap kemelut kecelaruan iklim dunia sebagai suatu perkara yang remeh dan boleh dikomersialkan!

MEMBINA KEMAJUAN DALAM KETERBATASAN

Sekalipun masyarakat Barat lebih membangun, namun masyarakat Timur sebenarnya jauh mendahului dalam usaha penyelidikan dan kajian penggunaan teknologi bagi menguruskan bio-sfera dengan baik. Sebagai contoh, usaha-usaha yang diterajui oleh syarikat Sharp, Jepun lebih lima dekad mempelopori teknologi kuasa suria perlu diikuti oleh dunia.

Begitu juga dengan pelbagai usaha syarikat-syarikat Jepun lain yang sentiasa mencari jalan untuk menghasilkan produk penggunaan manusia yang sesuai bermula dengan menggunakan bahan material terbaik, kaedah operasi yang berkesan, penghantaran yang cekap sehinggalah penggunaan yang sesuai dengan kehidupan lestari manusia yang kini terkesan dengan keuzuran dunia.

Paling membanggakan, sekalipun tiada 'penanda aras' antarabangsa untuk emisi sifar (zero emission) terhadap penghasilan karbon dioksida, para penyelidik Timur khususnya dari Jepun ini nampaknya benar-benar gigih serta serius dalam melaksanakan amanah mereka dengan begitu baik sekali.

Atas alasan ini juga, kita menghargai misi delegasi perdagangan Malaysia ke Jepun yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini. Antara teknologi yang diketengahkan adalah teknologi bangunan hijau yang bukan sahaja mesra alam malah dapat diselenggarakan pada kadar kos yang sangat rendah dan juga kenderaan elektrik atau Electric Vehicle (EV) yang sempat diuji kemampuannya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Walaupun sedikit saya cemburu kerana hanya dapat menonton kemampuan kenderaan masa hadapan yang dipanggil 'Eliica' itu di dalam YouTube, saya yakin teknologi EV yang dibangunkan oleh Profesor Shimizu dari Keio University itu adalah jawapan kepada penantian kereta elektrik dunia pertama serta penyelesaian kepada isu under powered atau kurang kuasa pecutan yang cuba diselesaikan bertahun lamanya oleh kebanyakan jurutera kereta elektrik prototaip dunia yang lain.

Melalui pembacaan saya, Eliica adalah prototaip kenderaan elektrik futuristik yang mampu menghasilkan pecutan 0-100 kmj dengan masa 3.9 saat pada kelajuan maksimum 370 kmj. Bukan sahaja ia mampu menumpaskan Porsche 911 dengan mudah sekali, malah kos pengendaliannya adalah 12 kali ganda lebih murah daripada Proton Persona!

Dua perjanjian persefahaman yang dipelopori oleh Kumpulan Chenderong Bersekutu dengan dua syarikat ulung teknologi hijau Jepun ini adalah usaha 'mengecapi kejayaan dalam keterbatasan'.

Yang lebih penting, ia petanda bermulanya langkah untuk teknologi hijau bertapak di Malaysia. Semoga usaha transformasi radikal ini terus diberikan tumpuan dan sokongan oleh kerajaan Malaysia agar generasi masa hadapan faham serta peka tentang ilmu alam dan keuzuran dunia.

Perubahan yang kita lakukan ini diharap seiring dengan ingatan pujangga China, Lao Tzu yang mengatakan "Jika kita tidak menukar arah, kita mungkin berakhir di mana kita mula melangkah." Ayuh, mari kita lakukan perubahan sekarang dan kembalikan hubungan erat antara manusia dengan alam.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, December 22, 2009

KEMELUT KECELARUAN IKLIM DUNIA - SIRI 2

(UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi: Selasa, 22 Disember 2009, Muka 10)

KETEGASAN ibu bapa menyuruh anaknya tekun belajar demi masa depan memberikan inspirasi untuk mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin negara dan dunia agar terus tekun melakukan usaha sedaya mungkin untuk mencari jalan menguruskan bio-sfera dengan baik sekali gus mengurangkan pemanasan global.

Sebagaimana kebanyakan anak-anak kita yang kini 'menangis tidak berlagu' kerana enggan patuh cakap ibu bapa, begitu juga peringatan kita kepada pemimpin agar jangan menyesal jika kecelaruan iklim dunia semakin menjadi-jadi suatu hari nanti ekoran daripada sikap ketidaksungguhan mereka mengatasi pemanasan global hari ini.

PEMANASAN GLOBAL SEBAGAI MENIFESTO PARTI

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkaitan tamatnya pemberian AP untuk kereta import dan francais kereta import masing-masing pada 2015 dan 2020 secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan Malaysia semakin mengakui kemelut ketandusan minyak yang berasaskan fosil.

Ulasan seiring dengan Belanjawan 2010 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah signal positif kerajaan Barisan Nasional terhadap tekanan dunia ke atas isu pemanasan global.

Saya berpendapat, sudah sampai masanya, perjuangan mengatasi isu pemanasan global ini dijadikan manifesto perjuangan politik parti dan tidak boleh dianggap sebagai isu mikro semasa sahaja.

Kita mesti sedar bahawa usaha memulihkan kembali dunia yang semakin uzur ini semakin mendapat perhatian. Sementara itu, sikap pemimpin-pemimpin dunia juga sentiasa dipantau serta sering mendapat kritikan sinikal rakyat dunia yang memerhati.

KRITIKAN SINIKAL TERHADAP AS DAN CHINA

Baru-baru ini laman sesawang NGO pencinta alam sekitar, Greenpeace mentertawakan telatah World's Big Brother, Amerika Syarikat (AS) yang asalnya berkemampuan menaja penjelajahan manusia pertama ke bulan. Kini terbukti AS gagal dalam mempertahankan manusia yang telah kesekian lamanya hidup di bumi.

Dalam rencana minggu lalu, saya juga menyentuh hanya AS sahaja yang masih belum menandatangani Protokol Kyoto manakala China pula tidak terdaya untuk mengawal pembangunan industri konvensional yang menjadi punca kenaikan indeks pencemaran udara sehingga dicemuh hebat oleh negara-negara jiran.

Namun, kita terpaksa mengakui bahawa proses evolusi kepada industri berasaskan teknologi hijau memerlukan kos tanggungan yang lebih berbanding teknologi konvensional. Apatah lagi industri teknologi hijau masih di peringkat awal dan mempunyai permintaan tinggi dalam senario tekanan dunia sekeliling yang melampau.

Malangnya lagi, desakan dari NGO-NGO antarabangsa agar negara-negara membuat perubahan untuk mengatasi pemanasan global ini berlaku di tengah-tengah krisis ekonomi dunia yang dahsyat. Sehingga menjadikan pemimpin-pemimpin dunia sekadar menabur janji-janji manis yang sebenarnya tidak termampu dilaksanakan oleh mereka.

Statistik media antarabangsa menunjukkan pemimpin-pemimpin Liga Eropah mendahului senarai dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon dioksida dengan mencatatkan 25 hingga 30 peratus. Sementara Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama (empat bulan berkhidmat) dan Presiden AS, Barack Obama (11 bulan berkhidmat) masing-masing mencatatkan pengurangan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 25 dan 17 peratus.

SERIBU SATU HIKMAH

Jika kita renungkan dari perspektif berbeza, terdapat seribu satu hikmah di sebalik tekanan ekoran dari isu-isu krisis ekonomi dunia, ketandusan minyak dunia dan pemanasan global.

Dengan model baru dalam menguruskan bio-sfera yang lebih baik, dunia kita akan terdedah dengan pembukaan ekonomi baru yang berasaskan teknologi hijau.

Bayangkan umat manusia kini diberi peluang untuk hidup dalam dunia penuh futuristik. Sebagaimana kita kagum dengan ciptaan ketuhar gelombang mikro pada awal 1990-an, kita pasti akan teruja dengan pelbagai produk teknologi hijau masa depan.

Kenderaan harian yang kita gunakan tidak lagi menjadi punca pencemaran udara kerana ia adalah kenderaan elektrik yang mempunyai kos efisyen tinggi kerana tidak lagi menggunakan bahan bakar fosil. Pada masa yang sama peperangan perebutan wilayah untuk menakluki telaga minyak seperti yang berlaku di antara Kuwait-Iraq pada 2 Ogos 1990 juga dapat dielakkan.

Bangunan pejabat pula berkonsepkan bangunan hijau yang disiapsiagakan dengan material mesra alam serta konsep pengudaraan semulajadi serta sistem elektrik solar. Selain itu, rumah kita bakal dilengkapi dengan mesin-mesin penulenan udara, penstabil ion untuk mengurangkan kesan elekrostatik, pendingin udara yang tidak menghasilkan karbon dioksida dan banyak lagi.

Berdasarkan keuntungan yang diraih ekoran perubahan teknologi masa depan inilah, saya merasakan ramai masih beranggapan isu kecelaruan iklim dunia ini adalah propoganda ekonomi kapitalis dalam menyelesaikan krisis ekonomi dunia.

Sama ada bersetuju atau tidak, bak kata pepatah Inggeris: "whether you see the glass of water half empty or half full."

Sebagai salah seorang khalifah Allah di muka bumi, kita sekurang-kurangnya sudah mulai peka dan sudah mula melakukan sesuatu untuk merawat dunia yang semakin uzur.

Secara kebetulan, keputusan dan tindakan kita itu membuat kita terdedah kepada pengalaman hidup baru yang sekali gus menyediakan jalan keluar dari kemelut krisis ekonomi dunia yang kian menjunam.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, December 15, 2009

KEMELUT KECELARUAN IKLIM DUNIA – SIRI 1

(UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi: Selasa, 15 Disember 2009, Muka 10)

BARU-BARU ini saya sekeluarga berpeluang menonton filem bertajuk '2012' yang hangat sambutannya di layar perak. Filem yang sarat dengan elemen computer graphics (CG) itu rasanya begitu berjaya memberikan gambaran realiti kepada penonton bagaimana kecelaruan iklim dunia boleh mengakibatkan kemusnahan bumi pada skala mega yang tidak terbayang.

Kalau kita nilai babak terakhir filem tersebut, tentulah kita sendiri sedar betapa mustahilnya sekumpulan manusia boleh melepasi 'kemusnahan dunia' secara hidup-hidup. Namun, apa yang sebenarnya perlu diambil iktibar ialah apa yang boleh dan mampu dilakukan oleh generasi semasa dalam memanjangkan hayat bumi supaya mereka tidak terjerumus ke dalam malapetaka dahsyat gara-gara sikap tidak ambil peduli.

Filem The Day After Tomorrow (2004) barangkali memberikan gambaran lebih tepat bagaimana manusia kini sebenarnya telah pun secara aktif menyumbang kepada pola perubahan cuaca dunia.

Walaupun sebahagian kandungan cerita ada bersifat fiksyen semata-mata, tetapi kegagalan Protokol Kyoto telah diulas secara sinikal sementara skrip pula digarap sedemikian rupa sehingga menyedarkan kita bahawa pengetahuan sains yang dimiliki ketika ini masih terbatas dalam menangkul bencana-bencana yang bakal menimpa.

Ternyatalah penting sekali untuk penduduk dunia prihatin dan memulakan apa-apa langkah wajar yang perlu. Bagi orang Islam sendiri, ia adalah sejajar dengan amanah Allah kepada manusia selaku pentadbir alam.

Global Warming dan Protokol Kyoto

Hasil kajian saintifik telah merumuskan bahawa penghasilan karbon dioksida ekoran daripada pencemaran jentera pengangkutan, industri perkilangan dan jana kuasa elektrik yang berasaskan pembakaran adalah dalam senarai teratas punca kepada kecelaruan iklim dunia.

Hari ini, Amerika Syarikat (AS) dan China adalah penghasil karbon dioksida terbanyak dunia. Anehnya, sekalipun fakta saintifik tersebut telah dirumuskan sekian lama, AS memilih untuk menjadi satu-satunya negara yang mengecualikan diri daripada menandatangani Protokol Kyoto pada 1997.

Protokol Kyoto adalah langkah-langkah awal dunia yang cuma berskala kecil untuk mengurangkan kesan global warming atau pemanasan dunia sebelum tahun 2012.

Ekoran kedegilan serta keegoan George W. Bush dalam kebanyakan saranan dunia, Al Gore, Bekas Timbalan Presiden AS dari parti Demokrat mengambil peluang untuk berkempen bagi mengurangkan global warming yang mana di peringkat awal dilihat sebagai satu propaganda anjuran parti Demokrat bagi memenangi pencalonan Presiden AS dan pada masa yang sama membuka ruang perniagaan baru untuk usahawan-usahawan industri teknologi hijau.

Namun demikian, setelah 12 tahun berlalu dan beberapa senario kecelaruan iklim dunia berlaku di sana-sini, 192 buah negara yang terdiri daripada negara-negara kaya dan miskin berhimpun di Copenhagen bagi meluahkan sekali lagi pendirian tegas mereka untuk mencari jalan bagi melambatkan proses dan kesan global warming yang sememangnya sedang berlaku pantas.

'Pemanasan dunia' telah pun dibuktikan sebagai punca utama ketidakstabilan eko-sistem dunia. Antara kesan ketara ialah wujudnya heat wave atau gelombang panas di atas dan di bawah laut sehingga mengakibatkan pencairan glasier di kutub utara dan selatan, kemarau berpanjangan (el nino), hujan lebat sehingga berlakunya banjir (la nina), empat musim yang tersasar dari bulan-bulan kalendar dan banyak lagi.

Di samping kita sedar bahawa malapetaka yang sering berlaku di Asia Tenggara seperti tsunami dan gempa bumi adalah berpunca daripada pergeseran kerak bumi dan bukannyaglobal warming, terdapat juga segelintir kes di mana global warming secara ekstrem mampu mengakibatkan kebanyakan pulau dunia ditenggelami lautan termasuk negara Bangladesh yang sentiasa banjir sepanjang tiga tahun lepas dan juga Yemen serta Arab Saudi yang jarang-jarang dilanda hujan lebat melampau sehingga meragut nyawa manusia.

Ekoran daripada Sidang Kemuncak Copenhagen 2009, kita lihat rangkaian berita CNN dan BBC seolah-olah menuding jari kepada AS dan China sebagai punca kepada permasalahan pengeluaran karbon dioksida dunia. Kedua-dua buah negara ini masih enggan memberi janji rasmi terhadap usaha mereka untuk mengurangkan penghasilan karbon dioksida kepada dunia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri baru Jepun yang dilantik pada 16 September 2009, Yukio Hatoyama dari parti Demokrat akhirnya dapat menewaskan Parti Demokrat Liberal yang telah memerintah Jepun setengah kurun lamanya melalui cadangan-cadangan radikal dalam menyelesaikan isu global warming, membuka sektor ekonomi baru yang berasaskan industri teknologi hijau dan menentang habis-habisan terhadap dua pesaing ekonomi Jepun, iaitu AS dan China yang tidak komited terhadap kecelaruan iklim dunia.

Isu Pemanasan Dunia - Isu Paling Kritikal

Saya merasakan bahawa isu global warming ini sepatutnya sudah boleh diberi tumpuan malah dijadikan isu penting selain isu permasalahan ekonomi dan kisah kecelaruan politik dalam negara yang tak berkesudahan. Meletakkan isu global warming sebagai keutamaan tidak perlu dilihat sebagai diversion kepada isu-isu lain.

Sebaliknya ia adalah keperluan dan signifikan mengambil kira kesihatan dunia yang semakin uzur.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Tuesday, December 1, 2009

MEMBINA 'JAMBATAN' NUSA BANGSA

(UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN FERIZ OMAR (Edisi: Selasa, 1 Disember 2009, Muka 10)

KUNJUNGAN saya ke Bandung bersama delegasi Malaysia baru-baru ini mengimbau sejenak kenangan saya di Indonesia sewaktu ditugaskan oleh Tan Sri Rashid Hussain, Pengasas Perkumpulan RHB Berhad untuk menguruskan pengambilalihan PT Bank Niaga dan mengendalikan operasi perbankan pelaburan serantau berpusat di Jakarta sekitar 1997-1998.

Dek kerana hujan lebat yang kerap di Bandung, kali ini saya tidak berkesempatan bersenang-senang menunggang 'ojek' apatah lagi minum petang sambil-sambil menjamah tempe dan tauhu goreng!

Saya terfikir bahawa kehadiran musim tengkujuh sebegini seolah-olah memperlihatkan bandar Bandung atau 'Paris de Java' yang terkenal dengan udara nyaman pergunungan di kalangan parawisata tidak lagi diselenggara dengan baik. Kebanyakan dinding di tengah kota berlumut dan sampah sarap pula lembap tidak terpungut dan berbau busuk.

Cintai Negara Sendiri

Serentak itu juga rasa syukur singgah dalam diri. Terasa bertuah sekali kerana dilahirkan di Malaysia yang mempunyai asas pengurusan kerajaan tempatan yang begitu efisien. Sememangnya asas ekonomi yang utuh adalah dasar kepada kemampuan sesebuah kerajaan untuk menyelenggara permintaan jutaan rakyat jelata.

Akuilah bahawa kerajaan yang bertanggungjawab memacu Malaysia ke puncak kejayaan hari ini ternyata berjaya memenuhi kewajipannya kepada rakyat dengan berkesan selama lebih 50 tahun!

Seingat saya, ketika di penghujung tugas, Indonesia seperti juga Malaysia diserang oleh si penyangak mata wang, George Soros.

Pertukaran wang Indonesia ketika itu melonjak ke tahap tertinggi IDR16,000 bagi setiap AS$1 (purata sebelum krisis moneter, AS$1 = IDR2,500). Sebagai pengurus muda pada ketika itu, saya menjadi 'saksi jarak dekat' kepada istilah ekonomi dan perbankan pelaburan yang digelar sebagai "Doom's Day" (Hari Kiamat).

Pada tahun 2007 pula, krisis ekonomi global nampaknya memberi kesan lebih besar ke atas Indonesia berbanding Malaysia sehingga memaksa pertukaran mata wang di tahap tertinggi iaitu IDR11,000 bagi setiap AS$1.

Sekalipun Indonesia kaya dengan khazanah bumi, sehingga hari ini pun ia belum lagi pulih sepenuhnya daripada krisis ekonomi yang dihadapinya. Malahan, terdapat perkhabaran yang mengatakan, begitu banyak syarikat besar di Indonesia yang kini masih dipegang kuasa asing.

Di Malaysia dengar-dengarnya, ada pihak yang cuba menguar-uarkan bahawa ekonomi Indonesia telah pulih dan begitu berjaya. Kemungkinan besar pihak berkenaan cuba mencari jalan untuk menegaskan bahawa Malaysia akan lebih berjaya jika memilih dana IMF ketika krisis ekonomi 1997 dahulu! Sedangkan hakikat sebenarnya, kenyataan tersebut adalah tidak tepat sama sekali.

Penjajah Inggeris vs Belanda

Dari satu sudut yang lain pula, saya sedikit sebanyak berasa kita lebih 'bernasib baik' kerana dijajah oleh Inggeris dan bukannya Belanda. Sistem birokrasi Inggeris sebenarnya mempunyai teras strategi pengurusan yang lebih mantap daripada Belanda dan ini membantu menyediakan asas ekonomi dan politik yang lebih utuh lagi kukuh.

Dalam konteks sosio politik Indonesia pula, jurang perbezaan golongan kaya dan miskin terlalu lebar. Ini di antara alasan mengapa golongan profesional dan golongan pertengahan di Malaysia perlu diperbanyakkan kerana mereka adalah 'komuniti pengimbang' dalam struktur sosio-ekonomi dan politik negara yang sepatutnya terus diberi perhatian penuh oleh kerajaan.

Mereka adalah kumpulan pembayar cukai pendapatan terbesar yang pada masa sama mempunyai kriteria kepimpinan masa hadapan dan pengalaman perit jerih untuk hidup dari 'bawah'.

Formula Perpaduan Yang Lebih Berkesan

Terbukti bahawa formula nasionalisme di Indonesia yang kuat belum boleh menjanjikan ketenteraman dan keharmonian negara.

Nama dan penggunaan bahasa Indonesia secara total yang 'diwartakan' ke atas rakyat Indonesia berbilang kaum sejak zaman Sukarno sebenarnya adalah begitu rapuh dan telah beberapa kali dicabar melalui 'demonstrasi ganas' ke atas kaum Cina dan Kristian yang saya sendiri saksikan sewaktu usaha untuk menjatuhkan Suharto pada tahun 1997-1998.

Usaha untuk mengukuhkan tali kerakyatan adalah usaha berterusan. Jika formula 'toleransi perkauman' Malaysia selama ini telah terbukti begitu berjaya meletakkan Malaysia lebih baik berbanding negara jirannya, ayuh kita pastikan formula 'penerimaan' dalam '1Malaysia' membawa kita ke satu tahap kejayaan baru yang lebih tinggi pula.

Untuk berjaya, orang Melayu mesti mencari persamaan dan elakkan perbezaan dengan kaum-kaum lain biarpun berbilang bahasa, agama serta budaya.

Kaum-kaum lain di Malaysia pula mestilah menerima hakikatnya bahawa orang Melayu di Malaysia perlu dihormati bukan hanya atas status 'bumiputera' tetapi kedudukan Melayu di Nusantara yang asalnya menjadi penghuni kesekian lamanya sebuah empayar hebat yang bersempadankan China dan India sehingga nun jauh ke selatan di Australia!

Dalam pada itu juga, 'jambatan hubungan' Malaysia-Indonesia perlu diperutuhkan kerana kita semua adalah Melayu Nusantara, penduduk pribumi seluruh pelosok rantau Asia Tenggara. Selalulah beringat, propaganda untuk menghancurkan hubungan adalah permainan Barat atau wakil-wakil mereka di rantau Nusantara ini.

Memetik kata-kata pujangga Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang secara simboliknya menyuruh kita "mari kita bina kekuatan melalui kepulauan-kepulauan Melayu serantau bagi menangkis serangan-serangan ke atas tanah-tanah besar Melayu Nusantara dari anasir-anasir 'dalam' mahupun 'luar'".

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)