Itulah yang dikongsikan bekas pengacara program Bersamamu, Noor Hafiza Saharuddin atau Fifi yang kini bukan saja sudah bergelar isteri, tetapi ibu kepada seorang cahaya mata. Pada usia 26 tahun, Fifi kian bersedia dalam proses mendidik anak.
Menurut wanita jelita ini, sukar untuknya menggambarkan perasaan sebagai seorang ibu. Kata Fifi, sebelum kelahiran anak sulungnya, Fahd Al-Warith pada 15 Jun lalu hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta, Feriz Omar, 38, pernah juga dia resah.
"Saya terfikir bagaimana hendak menjaga anak memandangkan tiada pengalaman. Namun, apabila Fahd dilahirkan semuanya berubah. Malah, sejak awal mengandung lagi saya turut mengamalkan cara menjaga bayi dengan betul.
"Atas sokongan dan bantuan suami, saya cukup menjaga pemakanan dan mula merangsang minda anak dari awal dengan banyakkan membaca, menjawab soalan matematik, bermain permainan video dan apa saja yang difikirkan baik untuk pengetahuannya.
"Dalam soal ini, dalam hati saya dan suami hanya mahu yang terbaik buat Fahd. Lebih-lebih lagi, inilah pengalaman pertama kami untuk mendidik anak. Selain itu, saya juga masih memberikan susu badan kepada Fahd hingga sekarang.
"Kalau boleh saya mahu dia menyusu hingga usia dua tahun. Ini kerana susu badan memang yang terbaik untuk kesihatan, pertumbuhan dan perkembangan minda bayi. Malah, hasil berkongsi pendapat dengan rakan mendapati ia (susu badan) sangat bagus," katanya.
Kata pengacara program Fitrah Kasih di TV1 ini, biarpun masih aktif dalam karier pengacaraan, anak tetap keutamaannya. Kata Fifi lagi, mujur program dihoskan buat dua musim berturut-turut itu disiar secara langsung, setiap Khamis, jam 3.05 petang. Jadi, dalam seminggu itu hanya Khamis saja yang dia sibuk dan selebihnya dihabiskan untuk anak.
"Sebagai ibu, saya nekad menguruskan anak sendiri dan kalau boleh tidak mahu dibantu orang lain. Saya mahu melaluinya sendiri.
Memandangkan kali pertama ada anak, saya berasakan wajar menguruskan Fahd sendiri walaupun suami, ibu dan pembantu rumah sedia membantu. Malah, dalam urusan menukar lampin bayi pun hanya saya, suami dan ibu saja boleh menukarnya.
"Selain itu, saya juga mengamalkan teknik urutan kepada Fahd. Saya dapati, ia berkesan apabila Fahd yang kini berusia empat bulan kelihatan seperti bayi lapan bulan. Apapun, menerusi kaedah urutan ini turut merapatkan hubungan kasih ibu dan anak," katanya.
Pernah membintangi telefilem Qasidah Buat Lala arahan Erma Fatima di Makkah ketika baru disahkan mengandung, Fifi berkata dia juga tidak putus berdoa untuk anaknya itu. Kata ibu muda ini, disebabkan doa ibu kepada anaknya sangat penting.
"Malah, berkat doa saya dan suami di Multazam (kawasan antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah) , kami akhirnya memperoleh kenikmatan dan rezeki hidup untuk menimang cahaya mata. Oleh itu, jauh di sudut hati kehadiran Fahd dalam hidup kami sangat bermakna dan penting buat saya.
"Bahkan, hingga sekarang saya tidak jemu berusaha memberikannya yang terbaik termasuk pada 31 Oktober dan 1 November ini saya akan mengikuti kursus pembangunan ibu bapa dan anak cemerlang di Institut Nury yang diasaskan Datuk Dr Noor Laily Datuk Abu Bakar.
"Ia satu institut yang bagus untuk ibu bapa menimba pengetahuan. Bagi saya dan suami, paling utama pembangunan anak cemerlang dilakukan pada usia Fahd masih bayi. Ia berikutan, bayi perlu diasuh sekarang kerana zaman akan datang lebih mencabar.
"Pendedahan ilmu diperlukan lebih awal dan setakat ini syukur usaha saya dan suami membuahkan hasil. Ketika usia Fahd satu setengah bulan, dia sudah boleh cakap tiga perkataan iaitu 'nak milk (susu)', 'tak nak' dan 'dah'. Ia menambahkan keyakinan saya," katanya.
Isteri kepada kepada Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, wanita muda ini mengakui dia sangat menitikberatkan kesihatan dan perkembangan minda anak. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa.
Menurutnya, dia bersedia berkongsi dengan masyarakat pengetahuan dimiliki sepanjang menguruskan Fahd di laman web “www.fifinoorhafiza.blogspot.com”. Katanya pada zaman sekarang, pendidikan kepada anak perlu diberikan fokus utama.
Sehubungan itu, pada 17 Oktober lalu bertempat di kediaman pasangan ini di Putrajaya, Fifi dan suami mengadakan majlis akikah dan cukur jambul Fahd. Majlis diserikan dengan acara berzanji dan marhaban sempena 122 hari kelahiran bayinya yang diberi nama timangan, Baby “King” Fahd - HM.
Norhayati Nordin - yati@hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment