KEMENANGAN Tan Sri Mohd. Isa Samad merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang baru-baru ini seolah-olah membuktikan bahawa akar umbi ada cara tersendiri dalam menentukan kepimpinan yang terbaik di kawasan mereka.
Rakyat yang selama ini didakwa pihak-pihak tertentu sebagai 'sudah mula sedar dan menyokong pembangkang' kelihatan bertindak sebaliknya di kesemua peti undi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Ternyatalah media alternatif yang 'dikonon-kononkan' pembangkang sebagai pilihan hati rakyat telah menurun momentumnya.
Rakyat bagaikan sudah bosan, muak dan jijik dengan analisis-analisis karut dan tulisan fitnah semberono yang dimainkan media alternatif milik pembangkang.
Fenomena unik ini perlu dikaji secara terperinci kerana media alternatif pembangkang telah menggunakan dua faktor psy-war strategy (strategi perang saraf) untuk memenangi kempen Bagan Pinang.
Pertama, dengan menghebahkan dakyah bahawa undian pos polis-tentera dimanipulasi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Keduanya, isu pencalonan Mohd. Isa yang kurang disenangi oleh bekas pemimpin tertinggi UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad disebabkan rekod lama beliau.
Pada awalnya, ramai menjangka sudah pasti pengundi (selain undian pos) di Bagan Pinang akan terpengaruh untuk tidak mengundi calon BN apabila mereka tahu hakikat bahawa BN akan memanipulasi undian pos polis-tentera.
Sebaliknya, keputusan pilihan raya menunjukkan undian majoriti penduduk (selain undian pos) terhadap calon BN telah bertambah sebanyak 175 peratus berbanding keputusan pilihan raya umum 2008. Undian pos pula menunjukkan peratusan ketara sebanyak 17 peratus yang mengundi calon pembangkang.
Laporan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Mesyuarat Agung UMNO baru-baru ini amat memeranjatkan kerana terdapat sebilangan besar polis dan tentera tidak menyokong kerajaan. Laporan ini sekali gus menempelak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN memanipulasikan undian pos !
Kesimpulannya, pilihan raya kecil Bagan Pinang memberi gambaran bahawa pengaruh media alternatif pembangkang semakin kurang berkesan dan mula ditolak rakyat. Di sebaliknya, pengaruh dan penerimaan terhadap media perdana dalam wacana pemikiran rakyat Malaysia pula dilihat kembali jadi pilihan.
Yuran Keahlian UMNO
Apabila UMNO didesak untuk berubah atas faktor persekitaran, saya tertunggu-tunggu pengumuman suatu polisi baru agar yuran tahunan UMNO yang hanya RM2 seorang itu diwajibkan kembali dan tidak lagi ditaja oleh badan induk parti itu sendiri.
Malangnya, di tengah-tengah kemelut perubahan budaya, UMNO masih lagi mahu meneruskan budaya 'canggung' itu dengan alasan tersendiri.
UMNO sepatutnya kembali pada asal dan perlu mewujudkan budaya voluntarism (kesukarelawanan) dengan menuntut pengorbanan ahli-ahlinya. Saya berasa kesal di atas pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar yuran pertama yang dibayar oleh ahli baru UMNO sebanyak RM2 seorang itu kini mahu diiktiraf sebagai 'yuran seumur hidup'.
Keputusan ini bukan hanya meneruskan hayat 'bangsa yang dahagakan subsidi' malahan jumlah keahlian UMNO juga yang kini dikatakan sudah mencecah 3.5 juta orang boleh dipersoalkan pembangkang terutamanya bagi ahli-ahli UMNO yang membuat keputusan untuk mengalihkan sokongan dan 'lompat' parti.
Menzahirkan 1Malaysia dalam Bajet 2010
Seperti tahun-tahun lalu, bulan Oktober adalah bulan bajet negara. Pasti ramai yang menantikannya. Saya pula teruja menantikan kebijaksanaan pemimpin kita untuk membuktikan kesungguhannya menzahirkan aspirasi '1Malaysia' dalam bajet kali ini.
Sebenarnya, majoriti ahli profesional Malaysia agak gusar mengenai pendekatan kerajaan merancang bajet di tengah-tengah krisis ekonomi dunia. Apatah lagi dalam senario pendapatan kerajaan Malaysia yang makin berkurangan.
Cukai korporat sudah pun berada di tahap kadar terendah 25 peratus; ketirisan berbilion ringgit hasil cukai yang tidak dikutip sehingga tahun 2009; dan perbelanjaan negara terus meningkat disebabkan inflasi dan kenaikan harga minyak.
Bebanan ini begitu terasa tatkala kerajaan dituntut mengotakan janji, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'!
Nasihat saya, pelbagaikanlah pendekatan dan jangan sesekali cuba untuk mengimbangi bajet negara. Hasrat untuk mempamerkan kebijaksanaan merancang bajet dan niat menarik perhatian agensi pengkreditan antarabangsa, Standard & Poors dengan menaikkan credit rating Malaysia pasti akan memakan diri sendiri!
Demi kesejahteraan ekonomi dan politik Malaysia, bajet defisit akan dipandang lebih bermakna. Jika tidak, ia akan menjurus kepada pertumbuhan ekonomi time warp (fasa ekonomi beku), menjadikan komuniti SME/SMI melarat dan menjerat ekonomi negara.
Kesannya jelas dalam masa dua atau tiga tahun selepas itu apabila majoriti rakyat mula terasa bahang ekonomi akibat putus punca rezeki. Akhirnya, rakyat menzahirkan protes terhadap kepimpinan negara gara-gara keputusan ekonomi yang salah melalui pilihan raya.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
No comments:
Post a Comment