Tuesday, January 12, 2010

HIKMAH DI SEBALIK ISU KALIMAH

(Utusan Malaysia - Ruangan Feriz Omar : Edisi Selasa, 12 Januari 2010, muka 11)

LEBIH kurang seminggu yang lalu, tahun 2009 sudahpun melabuhkan tirainya. Kemelut, caca merba, kejutan dan pelbagai hiruk-pikuk mewarnai sepanjang tahun 2009.

Minggu lalu yang menyaksikan minggu pertama tahun baru, kita seakan-akan dibayangkan bahawa pola suasana tahun ini tidak akan begitu banyak berbeza dengan tahun sebelumnya. Awal-awal lagi nampaknya kita telahpun dihidangkan dengan kegemparan isu penggunaan kalimah Allah yang diluluskan penggunaanya untuk majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi.

Menyelusuri kronologi isu ini yang bermula dari tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebenarnya telahpun memutuskan untuk memberi kebenaran kepada majalah Herald-The Catholic Weekly (khusus untuk golongan Kristian Katolik) untuk merujuk istilah 'God' dengan kalimah Allah.

Walaubagaimanapun, mengambil kira reaksi umat Islam dan di samping memikirkan kepentingan keharmonian masyarakat, kementerian tersebut telah segera menarik balik keputusan itu. Namun, setelah kes itu dibawa ke mahkamah, mengejutkan sekali kerana kini ia berakhir dengan keputusan kontroversi yang menyebelahi majalah berkenaan.

Ekoran keputusan itu, majoriti umat Islam mula bersuara dan suara-suara protes kedengaran hampir di mana-mana sahaja. Tidak kiralah sama ada penyokong UMNO atau PAS, kesemuanya memberikan reaksi yang lebih kurang sama. Ternyata ramai yang kurang selesa dengan keputusan yang dibuat itu.

Ironinya, parti UMNO yang selalu dituduh sebagai parti rasis Melayu oleh kelompok PAS dilihat menjadi 'juara' dan 'front-end' dalam mendepani isu menyentuh kepentingan Islam, dan bukan PAS. Walhal, PAS yang seringkali menobatkan diri mereka 'pejuang' Islam sebaliknya begitu mengecewakan dalam kenyataan rasmi yang disiar di laman rasmi parti tersebut.

Baur-baur kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada awalnya digambarkan oleh beberapa pemimpin PAS telah ditransformasi kepada suatu kenyataan rasmi Presiden PAS yang lebih lemah, kurang pengisian dan tidak tegas pendirian!

Sudah tentulah pada dasarnya, penggunaan nama Allah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi. Akan tetapi, mengambil konteks di Malaysia ini, di mana istilah Allah sudah sekian lama difahami sebagai 'Tuhan kepada orang Islam' dan dalam pada itu pula telah sentiasa memastikan kedamaian di kalangan masyarakat, tidak ada salahnya PAS berterus-terang untuk tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Apatah lagi mengambil kira istilah 'Islam' yang kononnya menjadi dokongan PAS, terlihat akan pendirian sebenar parti itu yang nyata semakin lewa dan 'hopeless' dalam isu membabitkan kepentingan akidah masyarakat Islam. Dengan masyarakat yang kini berdepan dengan pelbagai kekeliruan dan masalah seperti ancaman murtad, isu Islam liberal dan kekalutan hak penjagaan anak yang ibu bapanya berbeza agama, sikap PAS memang tidak boleh diterima.

Pada saya pula, isu ini tidak sepatutnya hadir sama sekali kerana istilah 'God' boleh diguna pakai oleh ajaran Kristian. Justeru, persoalan sama ada ajaran Kristian sememangnya ada merujuk kepada kalimah Allah tidak sepatutnya timbul. Lebih penting lagi, hak Islam sebagai agama rasmi negara yang meletakkan Allah sebagai tuhan yang Esa, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan perlulah dihormati. Sensitiviti majoriti masyarakat juga wajib diambil kira demi keharmonian masyarakat yang telah sekian lama terjalin tanpa apa-apa sengketa.

Kejadian letupan di beberapa gereja baru-baru ini adalah bukti bagaimana sesuatu normaliti yang cuba diubah ada harga yang cukup mahal untuk dibayar. Tindakan ganas ini tidak kita sokong. Kerajaan sendiri di atas semangat 1Malaysia dengan segera menghadirkan sumbangan RM500,000 untuk gereja-gereja terlibat. Malahan, kerajaan menyeru agar tindakan sebegini tidak lagi dilakukan.

Namun perlu difahami, daripada lebih 20 juta rakyat Malaysia, tidak semuanya berfikiran sama. Sesetengahnya ekstremis, nekad dan sukar dijangka tindak-tanduknya. Maka demi kesejahteraan dan keamanan, saya rasa tidak ada rugi apa-apa sekiranya kebiasaan yang terdahulu dikekalkan. Justeru saya beranggapan, laporan akhbar semalam yang menyebut terdapat beberapa kumpulan Kristian yang menggambarkan bahawa akhbar Herald perlu 'mengalah' dalam isu ini adalah satu tindakan yang patut, terbaik dan menghormati kumpulan majoriti di Malaysia.

Dalam masa sama, siri letupan gereja adalah suatu petanda tidak semua orang Islam faham dengan ajaran Islam yang menganjurkan kedamaian. Timbulnya isu ini juga adalah gara-gara umat Islam lemah dan tidak bersatu hati. Tidak hairanlah hak Islam dan Melayu dalam pelbagai isu yang sepatutnya sensitif, kini begitu mudah diperkotak-katik dan dipersoalkan. Barangkali kita terlalu leka berpolitik daripada mencari persamaan sesama saudara!

Mungkinkah inilah sebenarnya peringatan berhikmah dari Allah untuk kita seawal tahun baru 2010 dan 1431 Hijrah ini. Bahawa kini sudah sampai masa dan ketikanya untuk masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu, saling bermaafan dan bermuafakat?

Kelmarin di dada-dada akhbar terdapat beberapa golongan Kristian yang bersetuju agar tuntutan penggunaan kalimah Allah tidak diteruskan lagi. Ini membuktikan bahawa tuntutan tersebut adalah bukan tuntutan daripada golongan majoriti masyarakat Kristian Malaysia. Sekiranya, golongan masyarakat Kristian dapat memikirkan isu ini dari perspektif keharmonian dan perpaduan negara, sudah sampai masanya masyarakat Islam seluruh Malaysia termasuk UMNO, Pas, PKR dan lain-lain mencapai tahap kematangan yang sama.

Tepuk dada, insaflah dan tanya kepada iman. Semoga 2010 akan mekar dengan perpaduan dan ukhuwah fillah di kalangan ummah. Sama-samalah kita berdoa dan usahakan, insya-Allah!

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

9 comments:

WanLanun said...

Adakah perkataan 'Tuhan' tidak cukup untuk memberi erti 'God'? Akhbar Herald ingin menggunakan bahasa Melayu, maka dalam bahasa Melayu 'God' adalah 'Tuhan'. Kalimah Allah adalah bahasa Arab yang digunapakai orang beragama Islam di Malaysia. Jika mereka ingin menulis dalam bahasa Arab di Malaysia mungkin boleh dipertimbangkan....Apa kata Dewan Bahasa?

kzahmad said...

penulis mengajak kepada permuafakatan dikalangan penganut Islam dan pada masa yang sama perlu mencermin diri.... syabas..

Apa yang kita pertikaikan adalah penggunaan nama Allah... kita tidak mempertikaikan apa yang kristian hendak percaya.

Dizaman Rasulullah, memang ada golongan yang bila ditanya, mereka mengaku Allah tuhan mereka, tetapi tidak beriman... ini berlaku juga hari ini.

Dalam suasana Malaysia yang RAPUH Islamnya.. maka kita bertegas dalam hal penggunaan nama Allah.

Lain lah di dunia Arab yang hebat urusan agamanya, walau pun yahudi dan kristian guna nama Allah, bible dalam bahasa arab seperti Al Quran, diorang tak ganggu agama Islam. Nahas kalau ganggu.

salam.

AMK Batu said...

Asslamualaikum.

En. Feriz, sememangnya bahaya kepada umat Islam di Malaysia apabila dibenarkan penganut katolik menggunakan Khalimah Allah tetapi mengapa puak UMNO sebagai tunggak kerajaan tidak menghalang pihak Herald semasa mahu isu ini ke Mahkamah. Mengapa baru sekarang kononnya UMNO menjadi wira agama Islam.

Walaupun pandangan kepimpinan PAS berbeza, mengapa tiada pandangan langsung dari PM dan TPM?

Kalaupun UMNO halang Khalimah Allah dipergunakan, mengapa apabila dibenarkan oleh Kerajaan UMNO penggunaan khalimah Allah di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, mengapa UMNO tak mengamuk macam hai-hari sebelum ini. Inilah dikatakan politik didahulukan dari agama. Apabila nak pakai Islam, kita gunakan, bila tak nak guna Islam, kita buang jauh-jauh.

Cuba fikirkan, penganut Katolik mahu gunakan Khalimah Allah untuk keluaran Bahasa Malaysia, tetapi umat Islam di Malaysia selalu menentang perintah Allah. Ada umat Islam buat dakwah untuk sedarkan mereka-mereka ini.

Feriz Omar said...

AMK Batu,

Assalamualaikum wbt.

Terimakasih atas pandangan bernas saudara.

Memang benar, dalam UMNO sendiri malah di dalam mana-mana organisasi pun terdapat pemimpin-pemimpin berlainan pendapat. Saya sentiasa peka dan mengkaji perbezaan pandangan pemimpin tidak kira dari parti pembangkang mahupun yang sedang memerintah.

Ini semua tergantung kepada pemuliharaan roh jati diri seseorang pemimpin. Jika dikaji secara mendalam, rohnya pasti mengikut cara seseorang pemimpin itu dibesarkan dan pendidikan diberikan oleh ibubapa mereka.

Dalam perjuangan pemuliharaan roh ini, kita perlu bersabar seperti Rasulullah SAW yang terpaksa berhadapan dengan 1001 karakter roh jiwa yang sesat malah menyesatkan semasa menyebarkan seruan suci Allah SWT lebih 1400 tahun dahulu.

Marilah kita bersama memperbetulkan keadaan dan membina rangkaian agar kita dapat bergerak bersama dalam satu tujuan hidup yang murni dan harmoni.

Ringan-ringankan tangan dan jari jemari untuk terus membalas pandangan dengan saya.

Wassalam.

FERIZ OMAR

AMK Batu said...

Assalamualaikum?

En.Feriz. Apa yang saya nampak hikmah daripada isu Khalimah Allah adalah Allah ingin menyedarkan umat Islam supaya kembali jalanNYA. Kita telah leka dengan hal dunia sehingga lupa siapa penciptanya. Penganut agama lain sanggup berebut menggunakan nama Allah untuk mengajak penganut lain mendekati agama mereka tetapi kita sebagai agama yang sememangnya diakui oleh Allah tidak menlaksanakan tuntutanNYA. Adakah kita ISLAM apabila kita mempertahankan perkataan ALLAH tetapi kita sering memungkarkan banyak perkara. Contohnya kita solat tetapi kita minum arak, bagaimana dengan solat kita? Begitu juga dengan hal ini, kita mempertahankan kalimah Allah tetapi kita masih lagi melakukan dosa-dosa besar.

Kita perlu pandang dari sudut diri kita sendiri, mengapa Allah izinkan untuk adakan isu Khalimah Allah, adakah untuk Herald atau umat Islam?

Unknown said...

AMK Batu,

Allah izinkan isu2 tersebut untuk menegur supaya kita kembali kepada-Nya dan bersatu.

Bukan atas label UMNO, bukan atas panji-panji PAS dan bukan juga atas dasar KeADILan. Tetapi atas dasar Islam dan Melayu.

Unknown said...

By the way AMK Batu, saudara kata 'Inilah dikatakan politik didahulukan dari agama' yang barangkali merujuk kepada UMNO.

Mungkin boleh renung juga ketetapan PAS dan KeADILan dalam hal ini yang juga sama. Mendahulukan politik dari agama. Mengutamakan politik dari kemaslahatan rakyat banyak.

Sila rujuk thread kzahmad di atas untuk maksud saya jika kurang jelas.

AMK Batu said...

Dalam mengenai isu Khalimah Allah, saya tidak memandang apa pandangan mana-mana parti tetapi yang pasti pandangan diri saya sendiri cuma pandangan dari parti membentuk pandangan peribadi sang pengikut parti.

UMNO sebagai Kerajaan perlu mengambil langkah awal semasa HERALD mengemukakan fail ke mahkamah untuk menggunakan khalimah Allah tetapi mengapa kini apabila keputusan yang dibuat oleh Hakim orang bukan Islam. Bak nasi sudah menjadi bubur dan bubur itu UMNO menampah perasa.

Unknown said...

Mungkin. Lantaran 'bubur itu UMNO menampah perasa', pakatan taruk ajinomoto :P